Covid-19: Islam jadi contoh penyelesaian-Presiden PAS

- Advertisement -

MARANG: Islam mendahului tamadun barat ribuan tahun dalam penyelesaian menyekat wabak penyakit seperti taun yang kini menyamai koronavirus atau Covid-19, menular ke seluruh dunia.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, apabila berlaku wabak seperti coronavirus atau Covid-19 yang tersebar ke seluruh dunia, Islam ada penyelesaiannya.

Kata beliau, orang Islam mesti menunjukkan contoh boleh memerintah, mentadbir dan menguruskan negeri dalam semua perkara dengan sebaik-baiknya.

“Apabila ada wabak yang seperti ini (Covid-19) sehingga tersebar ke seluruh dunia. Kita kena tunjuk bagaimana penyelesaian Islam dalam masalah ini.

“Sepatutnya, kita orang Islam menjadi contoh kepada bukan Islam. Malulah kita orang Islam, kita tidak menunjukkan suatu contoh yang baik. Kita kena sedar, kita orang Islam ini menjadi model dalam sejarah Islam zaman dahulu.

“Ilmu perubatan ini orang Islam yang teroka dulu, tiba-tiba kita tinggal ilmu kita sendiri. Orang barat ini belajar ilmu perubatan daripada orang Islam. Orang Islam yang dahulu memperkenalkan (ubat) bius, memperkenalkan pembedahan, memperkenalkan pemisahan (kuarantin) dalam sakit taun.

“Islam mendahului ribu tahun dari tamadun barat dalam perkara ini. Dengan sebab itu, jangan kita malukan agama kita, jangan kita malukan orang Islam,” tegasnya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat secara online atas talian dari Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Ini berikutan, arahan kerajaan Malaysia yang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, bermula 18 hingga 31 Mac ini di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, kata Tuan Guru Abdul Hadi, perintah larangan dan arahan itu adalah betul serta menepati maqosid syariat bagi menjaga agama, nyawa, akal fikiran, maruah keluarga dan harta.

“Bila berlaku arahan supaya kita tidak dibenarkan solat Jumaat, solat berjemaah, ini perkara agama. Pemerintah tidak larang orang sembahyang, jika dilarang orang sembahyang, puasa itu tidak betul. Ini (sekarang) boleh lagi. Cuma bila ada ‘penyakit’ (wabak) solat Jumaat diganti dengan solat Zohor. Sebab, jaga nyawa, jaga agama dan jaga masyarakat.

“Kita kena faham, wabak (yang tidak nampak) ini seumpama api juga mesti selamatkan diri. Ribu-ribu orang telah mati dan jangan kita (rakyat) degil dalam masalah ini. Kita tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain,” jelasnya.

Menurutnya, jika ada di kalangan rakyat negara ini yang tidak mematuhi larangan pihak berkuasa itu sama seperti tindakan memudaratkan diri dan orang lain.

“Bila mari penyakit, wabak yang boleh memudaratkan diri kita sendiri. Umpamanya, mana lebih baik bunuh diri dengan panjang umur dan boleh beribadat lagi?

“Bunuh diri adalah haram. Sebab, bunuh diri ini bukan sahaja terjun dalam api atau gantung diri. Ini (bunuh diri) termasuklah mendedahkan diri kepada penyakit yang boleh membunuh kita dengan penyakit.

“Sedangkan, ada ikhtiar untuk berubat dan hindari diri dari penyakit itu. Dalam masa yang sama tidak boleh memudaratkan orang lain hingga berjangkit pula kepada orang lain, itu tidak boleh.

“Kita manusia mesti hidup bermasyarakat dan dengan sebab itu ada larangan dengan menjaga diri dan untuk menjaga masyarakat. Arahan ini adalah arahan yang betul bukan arahan yang salah,” tegasnya.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan wabak penyakit seperti Covid-19 itu adalah ujian dari Allah SWT kepada manusia hari ini.

Justeru, katanya buktikan bahawa Islam itu agama yang hebat dan boleh menyelesaikan segala permasalahan dunia ini dengan sebaik mungkin.

“Kadang-kala kita hendak tunjuk yang kita ini kuat sangat Islam tetapi tidak ‘reti’ (faham) Islam. Kita merosakkan agama kita sendiri, merosakkan maruah agama Islam kita sendiri.

“Malulah kita, biar kita tunjuk Islam ini satu agama yang baik dan lebih baik dari yang lain. Ini satu contoh yang Tuhan uji kepada kita dengan penyakit-penyakit wabak seperti ini.

“Kebetulan pendekatan (Islam) ini boleh kita tunjuk di mana kebaikan Islam. Itulah nasihat yang dapat saya berikan untuk menjadi renungan kita semua,” ujarnya.

Menurutnya, Islam sama sekali melarang umat ini dari memudaratkan diri sendiri dan memudaratkan orang lain termasuklah dalam wabak penyakit Covid-19. – HARAKAHDAILY 20/3/2020

- Advertisement -