Peserta ijtimak tabligh perlu jalani saringan: Sultan Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menitahkan rakyat negeri itu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan dalam membantu usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan semalam, baginda menyeru rakyat Kelantan bertenang menghadapi situasi yang berlaku.

Titah baginda, orang ramai usah membeli barangan keperluan lebih daripada yang diperlukan bagi memastikan bekalan makanan di pasaran mencukupi.

“Beta mencadangkan pemilik kedai merancang penjualan barangan mereka supaya bahan keperluan harian mencukupi.

- Advertisement -

“Seeloknya, Beta menyarankan pemilik premis menyediakan waktu khas kepada warga emas dan golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan untuk membeli dalam persekitaran yang selamat,” titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda turut menggesa semua yang menghadiri Ijtimak Jord Qudama’ dan Ulama Malaysia di Masjid Seri Petaling, Selangor baru-baru ini yang belum menjalani pemeriksaan segera ke hospital untuk menjalani ujian saringan.

Dalam titah yang sama, baginda menyarankan rakyat yang ingin mendapatkan maklumat sahih hendaklah daripada saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kerajaan negeri.

“Jangan terburu-buru untuk mempercayai berita tular yang belum disahkan,” ujar baginda.

Titah baginda juga semua pihak memainkan peranan penting untuk mencegah virus berkenaan dari terus merebak.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan Covid-19 akan dapat dikawal dan keadaan di Malaysia akan pulih serta kembali seperti biasa,” titah baginda lagi.- HARAKAHDAILY 19/3/2020

- Advertisement -