Tiada lagi pembelian panik di Kota Bharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hari pertama Perintah Larangan Pergerakan di Kota Bharu yang bermula hari ini menyaksikan aktiviti harian rakyatnya berjalan seperti biasa.

Pada sebelah pagi mereka memenuhi Pasar Besar Siti Khadijah untuk mencari bekalan makanan, penjual surat khabar juga beroperasi seperti biasa dan tiada lagi pembelian panik seperti semalam.

- Advertisement -

Malah ada penjual rancak membuat tawaran harga bagi menarik perhatian pelanggan.

Di pusat bandar Kota Bharu kelihatan kakitangan bahagian kebersihan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) meneruskan tugas rutin mereka apabila terdapat beberapa lori sampah mengangkut sampah sarap di kawasan pasar.

Beberapa kedai makan juga memulakan jualan namun tidak menyusun kerusi kepada pelanggan, mereka hanya menjual makanan untuk bungkus sahaja.

Begitu juga di Kubang Kerian beberapa petugas MPKB BRI menyapu, memotong rumput dan membersih kawasan taman.

Kakitangan Jabatan Penerangan Kelantan pula menggunakan van untuk menghebahkan kepada orang ramai yang merasakan kurang sihat perlu mendapat rawatan segera.

Van tersebut bergerak di sekitar kawasan Kota Bharu dengann memasang pembesar suara meminta orang ramai mematuhi peraturan pergerakan terhad.

Manakala premis yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan dan swasta sekitar bandar pula tidak beroperasi.– HARAKAHDAILY 18/3/2020

- Advertisement -