Peniaga IKS terkesan, harap solidariti rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak dapat dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac nanti sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelbagai pihak, namun penting demi keselamatan seluruh penduduk Malaysia.

- Advertisement -

Demi berwaspada dalam membendung penularan COVID-19, rakyat perlu bersolidariti dan merencana aktiviti yang sangat terhad sebagai satu langkah memastikan keadaan sedang dialami kini tidak semakin bertambah buruk dan menyebabkan ancaman.

Simpati terfokus paling utama kepada golongan B40 dalam kalangan rakyat kebanyakan terutama mereka yang bekerja mencari pendapatan sendiri, termasuk para peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS) kerana tidak dapat aktif berniaga.

Golongan yang menerima akibat langsung juga adalah para penjaja kecil dan peniaga di pasar tani atau pasar malam di mana selama inipun tawakal dengan usaha mereka itu umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Menurut Pengerusi Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan PAS Negeri Pulau Pinang, Nor Zamri Latiff, penutupan pelbagai premis dan penangguhan majlis atau program bermakna turut menyebabkan pesanan pembelian dan jualan ditunda.

Paling terjejas katanya, pihak yang melakukan produktiviti, selain rantaian terlibat serta golongan bekerja dalam rantaian terbabit di mana pengeluaran dan pemasaran tidak dapat diadakan, manakala pekerja terpaksa bercuti tanpa gaji.

Malah jelasnya, pihak pengeluar yang memiliki stok sedia ada pula kemungkinan besar berisiko berdepan kerugian lantaran produk menjadi rosak atau tamat tempoh setelah ia tidak dapat diberikan pelanggan kerana berlaku penangguhan.

Beliau sendiri yang merupakan pengusaha roti Arab turut mengalami keadaan tersebut di mana tempahan dari pelanggannya tidak dapat diberikan kerana tarikh majlis ditunda, sedangkan produk makanan tersebut tidak boleh disimpan lama.

Menurutnya, beliau terpaksa memberhentikan operasi dan ‘lebihan stok’ yang terjadi kini terpaksa melalui pembungkusan semula bagi penjualan biasa, namun berdepan ketidaktentuan dalam tempoh perintah sedang berjalan kini.

Oleh itu, orang ramai boleh mendapatkan makanan itu daripada beliau yang dijual RM10 bagi 3 paket yang mengandungi 4 keping roti Arab atau pembelian secara pos dengan minimum 10 paket berharga RM45 termasuk pos.

Sebarang pembelian atau pertanyaan juga boleh diajukan kepada beliau menerusi talian 018-407 4716 atau 019-480 6546. – HARAKAHDAILY 18/3/2020

- Advertisement -