PEMUDA PAS menyahut penuh seruan YAB Perdana Menteri berkenaan arahan untuk melaksanakan Movement Control Order (MCO) bagi setiap individu rakyat Malaysia, dan langkah ini sangat tepat bagi membendung penularan sebaran Covid-19 dengan lebih kritikal.
Pemuda PAS membuat keputusan untuk mengarahkan seluruh ahli Pemuda PAS, termasuklah yang berstatus pelajar universiti untuk mematuhi arahan dan terus kekal berada di dalam rumah dan hanya keluar pada keadaan yang memerlukan sahaja sepertimana yang telah dimaklumkan berkenaan garis panduan MCO oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Arahan ini juga termasuk untuk larangan pulang ke kampung halaman selagimana tiada urusan penting dan kecemasan yang perlu dilakukan. InsyaAllah ianya selari dengan kehendak syariah agama dan arahan parti untuk potensi tidak membawa mudharat yang lebih besar kepada orang yang tersayang.
Pada masa yang sama, seluruh anggota Jabatan Amal Malaysia di peringkat Negeri dan Kawasan juga perlu bersiap sedia untuk membantu pihak Kerajaan jika keadaan memerlukan. Sila tunggu arahan selanjutnya daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk sebarang bantuan yang bakal diumumkan.
Ucapan jutaan terima kasih juga diberikan kepada seluruh anggota frontline di setiap hospital dan premis yang terlibat dalam urusan bencana CoVid 19 di tanah air kita yang tercinta. Allah adalah sebaik tempat pemberian rahmat kepada anda semua.
Sekian.
Ir Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 18/3/2020