DENGAN penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat dengan kesan yang begitu substantif terutama kepada ekonomi negara, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan ini masa yang terbaik untuk terus memperkasa sektor ekonomi digital. Ekonomi digital harus menjadi enjin utama sekarang untuk terus menggerakkan ekonomi terutama sebagai konduit antara penawaran dan permintaan. Ini secara langsung akan menampan kesan negatif krisis sekarang dan memastikan ekonomi kekal dalam keseimbangan.
Dari segi perspektif, menurut Bank Dunia, ekonomi digital akan tumbuh hampir 20 peratus dalam tahun 2020 dari segi nilai tambah. Sektor e-Dagang tumbuh dengan pantas dan dijangka bernilai lebih RM110 billion dalam tahun 2020, yang akan menyumbang 40 peratus kepada saiz ekonomi digital.
Justeru kami mencadang tindakan berikut:
1. Sebagai penyelesaian segera, perlu dimaksima dan diperkasa urusan dan transaksi atas talian untuk semua sektor samada Kerajaan dan swasta. Saluran yang sedia ada dalam semua urusan jabatan-jabatan Kerajaan dan urusniaga dengan pihak swasta harus digunakan sepenuhnya untuk terus menyokong agregat penawaran dan permintaan.
2. Untuk penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang pula, sebagaimana saranan kami yang lalu, perlu dirangka dan digubal undang-undang yang tuntas bagi mengurus dan mengawal selia aktiviti ekonomi digital. Ini bagi memastikan aktiviti bergerak dan tumbuh dalam kerangka dan ruang lingkup yang dikehendaki oleh Kerajaan, bersesuaian dengan pelan pembangunan jangka panjang negara.
Kerangka perundangan yang komprehensif juga akan memastikan negara akan mendapat pendapatan daripada setiap aktiviti dan pelaburan dalam sektor ekonomi digital. Ia juga akan memastikan sektor ini berjaya untuk meningkatkan produktiviti negara ke tahap yang lebih tinggi. Hanya dengan pulangan dan produktiviti yang tinggi akan memastikan ekonomi digital menjadi enjin pertumbuhan baharu yang efektif.
3. Sebagaimana saranan kami yang lalu juga, Malaysia perlu mewujudkan sistem cukai khusus untuk ekonomi digital. Ini akan memastikan sektor yang sedang berkembang pesat ini dicukai dalam struktur yang sepatutnya, yang akhirnya akan memberikan pendapatan yang lebih tinggi kepada Kerajaan. Struktur cukai konvensional seperti cukai korporat sekarang, tidak merangkumi keseluruhan aktiviti ekonomi digital yang mempunyai pulangan tinggi. Ini sudah tentu akan mampu membantu Kerajaan dalam meningkatkan lagi hasil dalam mendepani cabaran ekonomi sekarang.
MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
23 Rejab 1441H | 18 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 18/3/2020