Henti tuding jari, bersatu tangani krisis

- Advertisement -

ADA ORANG bertanya kenapa saya tidak mengkritik langsung mana-mana pihak atas beberapa kesilapan besar dalam pengurusan COVID-19.

Baik. Biar saya bercerita satu kisah mengenai Sultan Saifuddin Qutuz, pemerintah Kerajaan Mameluk Mesir (1259M / 657H).

Ketika Sultan Saifuddin menaiki takhta, dunia ketika itu sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan paling besar kesan perluasan kuasa tentera Monggol.

Penyembelihan besar-besaran di Beijing, kejatuhan Baghdad, pembunuhan Khalifah, pencerobohan Russia serta wabak penyakit kesan pengurusan mayat yang terlalu banyak (5 peratus penduduk dunia mati kerana perang melibatkan Monggol) adalah krisis besar kepada masyarakat dunia ketika itu.

Sultan Saifuddin pula bukanlah seorang pemerintah yang sangat berpengalaman. Kerajaan Mameluk yang diperintahnya juga bukan sebuah empayar yang stabil. Dalam tempoh 144 tahun pertama, kerajaan ini diketuai 29 orang Sultan. 10 daripadanya mati dibunuh, 12 digulingkan dan hanya 7 Sultan sahaja berjaya memerintah sehingga ke akhir hayat.

- Advertisement -

Ketika itu pula Rejim Monggol berada di kemuncak kuasa. Empayar mereka terbentang daripada Poland di Barat hingga ke Semenanjung Korea di Timur. Russia di Utara sehingga ke Pakistan di Selatan. 1/4 dunia ketika itu berada di bawah tapak kaki kuda mereka. Mereka tidak pernah kalah semenjak diasaskan oleh The Great Khan pada tahun 1206.

Berdepan dengan ancaman Monggol ketika itu bukan sesuatu yang mudah buat Sultan Saifuddin. Siri-siri Perang Salib sebelum ini sudahpun hampir melumpuhkan ekonomi Mesir. Dan kini mereka perlu berhadapan dengan tentera ‘The Invincibles’ (bukan macam Liverpool) yang mahu meluaskan kuasa ke bumi Afrika.

Sudahlah keseorangan selepas tumbangnya Baghdad dan Empayar Khwarizam Syah, Mesir juga dikhianati oleh Kerajaan-kerajaan Islam kecil di sekitarnya. Raja Damsyik dan Halab mengadakan perjanjian damai dengan Monggol dan bersedia membantu rejim itu menakluk Mesir. Sebahagian ulamak pula mengharuskan berdamai dengan Monggol dengan hujah yang sangat mengelirukan.

Sultan Saifuddin merayu ketika itu. Baginda menulis surat kepada Raja Nasir (Pemerintah Damsyik dan Halab) menyatakan kesanggupan untuk dipimpin oleh Raja Nasir asal sahaja baginda menolak untuk bersekutu dengan Monggol. Malangnya Raja Nasir tidak melayan langsung permintaan saudara seagamanya.

Ketika itulah Sultan Saifuddin nekad – mengisytihar perang kepada Monggol. Keputusan itu ditentang sebahagian Panglimanya – dianggap seolah-olah membunuh diri.

Maka terbitlah satu kata-kata masyhur daripada Sultan Saifuddin yang menjadi tinta emas kemuliaan Kerajaan Islam;

“Wahai pimpinan Muslimin. Kamu tidak suka berperang. Sedangkan aku akan keluar berperang. Barangsiapa yang memilih untuk berjihad, temankanlah aku. Barangsiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahmu. Allah akan memerhatikannya. Sesungguhnya setiap kehormatan Muslimin yang dicabul, maka dosanya akan ditanggung oleh mereka yang enggan berjihad.”

Ketika itu tersentaklah semua Panglima perang Mameluk. Bahawa jihad ketika itu adalah satu kefardhuan dan bukan lagi satu pilihan.

Ketegasan dan semangat Sultan inilah yang membakar semangat seluruh rakyat. Mereka lemah, mereka tiada apa-apa. Tetapi mereka tahu bahawa penyatuan adalah kekuatan sebenar umat Islam.

Ulamak memberi restu. Sultanul Ulamak Izz Abdul Salam mengeluarkan fatwa kewajipan berperang serta sama-sama menyelesaikan masalah kewangan ketenteraan yang sedang meruncing.

Sultan Saifuddin kemudiannya melaksanakan strategi penting – membawa keluar tentera berperang di luar Mesir. Ia amat janggal memandangkan kebiasaannya tentera yang kecil akan memilih untuk bertahan di kota.

Tetapi pandangan baginda, menyerang dahulu akan membolehkan tentera Islam memiliki elemen kejutan dan mengelakkan kerosakan besar kepada negaranya.

Perang akhirnya berlaku di Ain Jalut, Palestin pada tahun 1260 Masihi. Kejutan serangan Mameluk serta sikap terlalu yakin Monggol akhirnya menyebabkan kekalahan pertama rejim itu di dalam sejarah. Panglima utamanya – Katabgha mati dibunuh Jamaluddin Aqusy. Tentera Monggol yang lain sama ada ditawan atau terpaksa melarikan diri.

Apa pengajarannya? Bagi saya di dalam krisis yang besar, matlamat kita adalah menyelesaikan masalah. Mengkritik keputusan yang dibuat tidak akan menyelesaikan apa-apa tetapi mencadangkan penyelesaian akan membolehkan kita menyumbang sesuatu

Sudah tentu saya tidak setuju dengan kesilapan mengosongkan universiti dan kekhilafan tidak memanggil MB Kerajaan PH dalam Mesyuarat Khas Persekutuan. Tetapi daripada menyalahkan prosedur semasa, bukankah lebih baik kita mencadangkan pembaikan pada kerosakan yang berlaku?

Contohnya, arah universiti untuk panggil semula mahasiswa pulang ke kampus. Sediakan makanan berpaket sepanjang krisis. Buka pusat rawatan di setiap universiti. Tubuh pasukan khas krisis di setiap institusi dan laksana pemeriksaan kesihatan berkala kepada kelompok mahasiswa.

Hanya dan hanya jika kerajaan hari ini melakukan kesilapan yang sama secara berulang, maka barulah kita wajar mengkritik keras mereka. Ini adalah apa yang saya lakukan ketika krisis pencemaran di Johor setahun lalu.

Krisis kemanusiaan tidak boleh diselesaikan oleh seorang pemimpin yang cerdik. Ia hanya boleh diselamatkan oleh barisan rakyat yang berdisiplin dan meletakkan kepercayaan kepada kerajaannya.

Untuk rakyat, bersatu hati dan yakinlah kepada kepimpinan ini. Untuk kerajaan, hargailah kepercayaan rakyat selama ia masih ada untuk kamu.

Kepada Allah kami berserah.

ABDUL RAHIM HILMI ZAKARIYA
Bukit Tunggal Kuala Terengganu

Nota: Gambar adalah peta empayar Monggol setahun sebelum peperangan Ain Jalut (1259M)HARAKAHDAILY 18/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -