Kepimpinan kolektif sempurnakan pemerintahan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam suasana dunia sangat mencabar hari ini sememangnya terlalu sukar untuk mencari pemimpin yang bersih, namun kesempurnaan cuba diwujudkan secara kolektif, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Kata beliau, ianya bertujuan menyempurnakan pemerintahan negara dengan cara yang sebaiknya di mana pemimpin mestilah terbuka menerima nasihat, kritikan, pandangan dan tidak tertutup atau menolak teguran ke atasnya.

Malah kemukanya, selain seorang Islam, beriman dan budiman, pemimpin juga mestilah bersifat ‘adalah iaitu adil yakni tidak fasik dengan makna berakhlak, berwibawa dan tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan dalam dosa kecil.

“Tak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah. Perkara-perkara yang dia buat itu tidak dosa, tapi maruahnya tak ada. Itu tak boleh, pemimpin. Mesti dia punya kehaibatan. Di samping ilmu, mesti ‘adalah, iaitulah baik dan ada maruah yang tinggi, ada kehaibatan.

“Pemimpin yang loose, yang suka bergurau sehingga tak tahu masa umpamanya sebagai contohnya, yang tak ada kehaibatan, itu kurang syaratnya. Mungkin zaman kini kita tak mungkin dapat pemimpin macam Nabi Muhammad, macam Khulafa’ ar-Rasyidin, tetapi dapat diwujudkan secara kolektif.

“Bahkan pemerintahan negara pada hari ini walaupun disebut Perdana Menteri disebut Presiden, disebut Raja, ada ahli mesyuarat, ada majlis syura, ada Kabinet dia, itu pemerintahan secara kolektif,” ujarnya pada program Bicara Naratif TV1 di Angkasapuri, di sini sebentar tadi.

Terang beliau, Perikatan Nasional pada hari ini memegang pada konsep integriti di mana pemimpin yang dituduh di mahkamah, namun tidak lantik sehingga selesai kes mereka, berbeza dari Pakatan Harapan dulu telah bertindak membatalkan kes di tengah perbicaraan.

Bahkan tegasnya, mengikut ajaran Islam, pihak dituduh di mahkamah tidak dianggap salah, sehingga dibuktikan kesalahannya kerana konsep kehakiman Islam ini turutditerima oleh Barat, sekali gus menasihati agar tidak dihukum oleh media atau orang ramai.

Ahli Parlimen Marang itu turut menjelaskan bahawa Islam memperkenalkan Negara Berkebajikan yang bukan sahaja kebajikan masyarakat, tetapi termasuk kebajikan aspek kehidupan manusia seluruhnya, alam sekitar, pembangunan, ekonomi, politik dan lain-laim.

“Kerana Islam adalah mata rantai, tak pisah antara satu sama lain.  Bila laksana sebahagian sahaja, tak sebahagian yang lain, maka jadi canggung. Ini berlaku tidak seimbang. Di sini punca kegagalan ideologi ciptaan manusia pada hari ini.

“Kita menyaksikan di abad yang lalu, kemusnahan Komunisma. Sehingga negara Komunis terpaksa menuju kepada Liberalisma. Hari ini kita melihat tanda-tanda kemusnahan Liberal Kapitalis Barat pada hari ini. Ini kerana ajaran mereka tak sempurna.

“Dengan sebab itu kita perlu memperkenalkan Islam yang pernah dipraktikkan di masa yang lalu. Cuma kita mesti melihat pembaharuan-pembaharuan yang perlu dilihat berdasarkan kepada nas-nas yang umum yang ada dalam ajaran Islam,” kemukanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2020

- Advertisement -