Covid-19 usaha dan tawakal

- Advertisement -

ARAHAN telah dikeluarkan semalam oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan perintah kawalan pergerakan yang melibatkan penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting bagi menangani penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -


Perintah itu antara lain juga meliputi larangan berhimpun, sekatan perjalanan ke luar negara, sekatan kemasukan pelancong dan pelawat dan penutupan pusat pembelajaran di semua peringkat dari tadika ke universiti.
Tatkala komentar ini diterbitkan, sudah masuk hari kedua perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Mulai beberapa hari sebelum tarikh sekatan iaitu 18 Mac 2020, rakyat bertungkus lumus melakukan ‘panic buying’. Namun bila nyata kepada semua bahawa kehidupan rakyat Malaysia masih boleh berjalan seperti biasa, walaupun dengan sedikit sekatan, insyaAllah kekalutan yang berlaku akan reda dengan sendirinya.


Bagi yang masih belum ada face mask serta hand sanitizer, stok kadang-kala boleh didapati dengan sedikit di lokasi tertentu. Bagi saya sendiri yang berada di Bandar Baru Bangi, face mask gagal ditemui walaupun telah berkunjung ke lebih lapan farmasi berhampiran. Hand sanitizer lebih mudah didapati di kawasan ini.


Apa pun awasi penjual-penjual face mask yang telah dikitar semula yang kehadirannya telah dimaklumkan di media sosial selepas dikesan menjemur ribuan keping face mask di padang-padang serta tempat awam yang lain, dan penjaja-penjaja hand sanitizer palsu yang tidak langsung mengandungi bahan aktif seperti alkohol yang wajib ada untuk membunuh virus dan bakteria.


 Anda dan keluarga kini lebih banyak berada dirumah dalam misi meminimakan pendedahan kepada masyarakat luar.

Sesi panic buying bagi anda sudah pun selesai, kini menunggu tarikh 31 Mac 2020, hari terakhir perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Semua usaha yang boleh dilakukan, telah dilakukan, dan kini tiba masa untuk berdoa dan tawakal.


Daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda yang Maksudnya: “Sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah dengan tawakkal yang bersungguh-sungguh kepada-Nya, kamu akan diberikan rezeki oleh Allah sepertimana Dia memberikan rezeki kepada burung.

Pagi hari burung tersebut keluar dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang. – Riwayat al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ahmad (1/30) dan al-Nasa’ie dalam al-Kubra (11805). 


Ibn Rajab al-Hanbali menyebut: Tawakkal ialah penyandaran hati dengan jujur kepada Allah SWT dalam usaha memperoleh kebaikan-kebaikan dan menolak bahaya-bahaya dalam segenap urusan dunia dan akhirat. 


Imam al-Ghazali menyebut bahawa tawakal adalah menyandarkan diri kepada Allah tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepada-Nya dalam kesukaran, teguh hati tatkala ditimpa bencana disertai jiwa dan hati yang tenang. 


Ibnu al-Qayyim pula menyatakan bahawa tawakkal merupakan amalan dan ubudiyah (penghambaan) hati dengan menyandarkan segala sesuatu hanya kepada Allah, thiqah terhadap-Nya, berlindung hanya kepada-Nya dan redha atas sesuatu yang menimpa dirinya, berdasarkan keyakinan bahawa Allah akan memberikannya segala kecukupan bagi dirinya dengan tetap melaksanakan faktor-faktor yang mengarahkannya pada sesuatu yang dicarinya serta usaha keras untuk dapat memperolehnya. 


Antara kefahaman yang salah berkenaan konsep tawakkal ialah dengan menyerahkan semua urusan kepada Allah, tetapi meninggalkan usaha. Kerana menurut aqidah ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, tawakkal ialah menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT serta disertai dengan usaha. 


Usaha harus tetap dilakukan, kerana Rasulullah SAW juga melakukannya. Rasulullah SAW berperang dengan tombaknya dan memakai dua lapis baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi SAW juga memakai topi besi pada kepalanya. Rasulullah SAW juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta yang Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal. – Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708).


Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Jadi, sebelum tawakkal kepada Allah, mesti ada usaha dan juga penyerahan urusan kepada Allah SWT.

HIRMAN FIRDAUS ABD RAHIM

HARAKAHDAILY 17/3/2020

- Advertisement -