COVID-19: Jangan diheret ke isu perkauman, agama

- Advertisement -

MEDIA berbahasa Cina perlu segera berhenti mempolemikkan isu COVID-19 dan menjadikannya bahan sindiran di media mereka. Dengan anda terus menjadikan isu penularan COVID-19 ini sebagai isu agama dan bangsa tidak akan membantu keadaan malahan memburukkan lagi hubungan antara kaum dan agama.

Sahabat bukan-Melayu, anda boleh terus menulis di dalam Bahasa Cina dan mungkin anda sangka boleh menyindir Melayu, Muslim dan mungkin agama Islam berkaitan COVID-19 tetapi perbuatan anda akan menyebabkan ketegangan kaum dan agama. Ini isu kesihatan bukan isu agama dan bangsa. Cukuplah.

Para asatizah berhentilah anda dari beretorik dan sindir menyindir. Anda mendalami agama dan sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat tetapi apa yang kelihatan sekarang dalam isu COVID-19 seperti anda yang memerlukan bimbingan dari masyarakat.

- Advertisement -

Masyarakat menanti panduan dari anda tetapi kerana berbeza ideologi dan manhaj maka apa jua yang datang dari geng satu lagi akan disindir dan dikritik tetapi apakah penyelesaian terbaik untuk semua rakyat Malaysia? Jangan kerana sikap dan ego anda menyebabkan agama Islam dipersenda mereka di luar.

Bagi mereka yang telah menghadiri majlis keagamaan, Jemaah Tabligh, perayaan Hindu dan sebagainya, pergilah buat pemeriksaan khususnya yang menghadiri Ijtima’ Tabligh.

Bukan sengaja menyalahkan Ijtima’ tetapi kerana ada kes yang positif dari peserta yang menghadiri Ijtima’ tetapi setakat ini tiada lagi yang hadir majlis keagamaan Hindu disahkan positif maka oleh itu fokus banyak dialihkan kepada jemaah Tabligh bukannya sengaja menyalahkan jemaah Tabligh.

Yang telah hadir pemeriksaan, tahniah dan yang belum, segeralah pergi. Jangan mementingkan diri dan kononnya bertawakal tetapi anda mendedahkan masyarakat dengan bahaya kerana kejahilan dan kesombongan anda itu. Berubat itu ikhtiar yang perlu sebelum bertawakal bukannya bertawakal tanpa berikhtiar dengan berubat.

Semoga Allah S.W.T lindungi Malaysia dan seluruh dunia dari wabak COVID-19 ini. Allahuma Ameen

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 17/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -