Bijaksana pemimpin bawa umat kepada Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kepimpinan yang menerajui sistem pentadbiran pemerintahan memerlukan kebijaksanaan ke arah menyatukan manusia berdasarkan kepada elemen-elemen yang wujud dalam ajaran Islam.

- Advertisement -

Demikian itu, terdapat perkara diizinkan kepada para ulamak untuk melakukan ijtihad dalam memberi pandangan kepada masalah-masalah semasa dengan syarat akhlak mulia yang diajar oleh Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan jawaban tersebut pada program Bicara Naratif TV1 membicarakan tajuk Kabinet Perpaduan Ummah di Angkasapuri, di sini sebentar tadi.

“Ada ajaran disebut Tsawabit, ajaran yang tetap, tak berubah, yang tak mungkin dicipta oleh akal manusia, dalam ilmu Allah Taala, perkara halal, perkara haram, perkara rukun dalam agama Islam. 

“Yang kedua, Mutaghayyirat, perkara yang berubah, mengikut perkembangan semasa, realiti, situasi, tempat yang berbeza. Ini boleh menyatukan manusia berdasarkan kepada elemen-elemen yang wujud dalam ajaran Islam,” terangnya.

Malah kemukanya, Islam mengajar untuk menerima kebijaksanaan yang datang dari mana sekalipun termasuk daripada orang bukan-Islam, sepertimana Khulafa’ ar-Rasyidin mengambil konsep dari pentadbiran Rom dan Parsi.

“Diambil oleh Islam, dan di-Islamkan, dimasukkan roh dosa pahala dalam ajaran itu. (Tetapi) Sistem pentadbiran yang ada pada kita hari ini banyak (diambil dari) British. British ambil daripada Islam sebenarnya.

“Bila mereka menjajah kita dulu, mereka bukannya mengangkut hasil bumi, mereka mengangkut juga penulisan ulamak-ulamak Islam, di mana sistem pentadbiran British banyak dipengaruhi oleh pentadbiran Islam.

“Bila kita bawa ke sini, kita bawa cara British. Mereka buang akidah dalam pentadbiran itu. Ini sangat mudah untuk kita membuat pembaharuan. Kita sedar bahawa kita telah menerima kesan-kesan penjajahan.

“Penjajah bukan sahaja menjajah tanah air kita, termasuk menjajah pemikiran umat kita. Bukan sahaja kita perlu merdeka dari segi tanah air, termasuk merdeka dari segi pemikiran,” ujar beliau.

Keadaan tersebut katanya, hingga menyebabkan kefahaman umat Islam terhadap agama sangat terbatas dan terhad sedangkan Islam satu agama yang sempurna dan lengkap, sekali gus menuntut kemerdekaan pemikiran dilakukan terlebih dahulu.

Bahkan peringat beliau, peranan pemimpin juga dalam Islam perlu memahami bahawa terdapat janji yang wajib ditunaikan, sebaliknya jika membawa keburukan haram ditunaikan, termasuk sama halnya dengan sumpah. – HARAKAHDAILY 17/3/2020

- Advertisement -