Aspek kendalian makanan juga boleh sebar COVID-19

- Advertisement -

SAYA tidak hadir program Tabligh yang dikaitkan dengan COVID-19 baru-baru ini. Tetapi saya berpengalaman menghadiri beberapa program Tabligh sebelum ini.

Melalui pemerhatian saya, ada beberapa perkara yang perlu dibawa ke perhatian masyarakat umum, mengenai bagaimana kecuaian kita boleh menyebabkan tersebarnya COVID-19.

Ini bukan berkaitan aktiviti Tabligh sahaja, tetapi ia begitu meluas berlaku di kalangan masyarakat kita yang tiada kena-mengena dengan jemaah Tabligh.

- Advertisement -

Paling ketara adalah berkongsi talam dan pinggan ketika makan. Berkongsi cawan atau gelas tanpa dibasuh terlebih dahulu. Juga menggunakan sudu atau camca dengan cara berkongsi tanpa dibersihkan terlebih dahulu.

Apabila kita makan dalam satu talam, kita mungkin basuh tangan dengan bersih, tetapi bagaimana dengan kawan kita yang sama-sama gaul nasi dalam talam yang sama? Saya perhatikan ada setengah itu, hanya cucur air di tangan tanpa gosok dan tanpa sabun. Itu belum dikira yang langsung tidak basuh.

Kita hirup sup pada sudu, kawan kita pun guna sudu yang sama untuk hirup sup. Kesan mulut atau air liur adalah menjadi sebab untuk merebaknya virus.

Begitu juga gelas. Kita berkongsi gelas atau cawan yang sama. Kesan mulut atau air liur pada gelas itu sangat berisiko.

Belum diambil kira sikap sebahagian masyarakat yang apabila memegang cawan dan gelas, mereka suka pegang pada bahagian mulut cawan atau gelas, tempat di mana bibir diletakkan untuk minum.

Kita mungkin ingin menunjukkan bahawa kita tidak jijik untuk berkongsi dengan rakan kita sudu, cawan, gelas dan seumpamanya tanpa dibersihkan terlebih dahulu. Tetapi kita tidak sedar bahawa amalan seperti inilah yang menyebabkan sesuatu wabak termasuk COVID-19 boleh tersebar.

Saya berharap masyarakat akan lebih celik berkaitan, kebersihan diri dan makanan termasuk aspek kebersihan dalam mengendalikan makanan atau minuman.

AHMAD JAILANI ABDUL GHANI – HARAKAHDAILY 17/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -