BERSABAR dan jangan terpedaya dengan keraguan dari Syaitan
Isu global yang berlaku dan juga Malaysia pada hari ini ialah penularan wabak Virus Corona (COVID-19) yang sehingga kini masih belum reda dengan laporan-laporan terkini yang berlaku.
Sebagai umat Islam, apa sahaja yang terjadi di atas muka bumi ini sekalipun gugurnya sehelai daun dari pokok jatuh ke tanah, pegangan kita bahawa:
(1) Berlaku berlaku izin dan ketentuan dari Allah.
(2) Berlaku dengan kekuasaan Allah.
(3) Berlaku dalam ilmu Allah.
Antara, pegangan asas umat Islam dalam isu ini ialah sabar, mengadu merintih dan terus bergantung harap kepada Allah S.W.T. Lihat bagaimana kisah yang dirakamkan oleh Allah S.W.T yang menguji Nabi Ayyub dengan penyakit yang misteri dan membelenggu dirinya.
Sikap Nabi Ayyub tidak membentak dan merungut dengan mempertikaikan ketentuan ujian atas dirinya. Baginda terus bersabar sekalipun Iblis cuba untuk mendatangkan keraguan dan merosakkan imannya dengan ujian yang menimpa atas dirinya.
Berkata syaitan:
لو كنت نبياً حقاً أكان ربك يبتليك بهذا البلاء
“Jika benar kamu ini Nabi sebenar-benarnya, adalah tuhan kamu akan menimpa kamu dengan bala ini?”
Lalu dijawab oleh Nabi Ayyub:
“والله يا إبليس لو علمتَ النعمة التي أنعم الله بها على لحسدتني عليها”
“Demi Allah wahai Iblis, jika kamu mengetahui akan nikmat yang telah dikurniakan Allah ke atasku, nescaya engkau akan hasad (cemburu) atas nikmat itu (kerana banyak diberikan).”
Baginda ditimpa ujian sakit dalam tempoh yang lama. Ulamak berbeza pendapat tempoh kesakitan yang dialami oleh Baginda. Sebahagian mengatakan 13 tahun manakala terdapat juga riwayat menyatakan 18 tahun.
Riwayat yang menyatakan 13 tahun kesabaran Baginda ditimpa ujian kesakitan:
أنَّ أيوبَ عليهِ السلامُ ابتُليَ فلبثَ في بلائهِ ثلاثَ عشرةَ سنةً
“Sesungguhnya Nabi Ayyub A.S diuji dan bertahan dalam tempoh ujian selama 13 tahun”
(Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari)
Riwayat yang menyatakan tempoh 18 tahun pula ialah:
إنَّ نَبيَّ اللهِ أيُّوبَ عليه السَّلامُ لبِثَ به بَلاؤُهُ ثَمانَ عَشْرةَ سَنَةً
“Sesungguhnya Nabi Ayyub A.S diuji dan bertahan dalam tempoh ujian selama 13 tahun.”
(Riwayat Syuaib شعيب الأرناؤوط، في تخريج مشكل الآثار)
Sangka baik pada ketentuan Allah atas hikmat dari bala menimpa
Dalam keadaan ditimpa musibah seperti wabak COVID-19 ini, umat Islam wajib bersangka baik pada menerima ketentuan dari Allah. Ini kerana Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dalam ketentuan-Nya setiap kesabaran atas kesusahan yang dialami sampai masa diizinkan oleh-Nya maka keadaan akan kembali baik.
Rasulullah S.A.W bersabda:
وأعلم أن في الصبر على ما تكره خيرا ًكثيرا، وأن النصر معي الصبر، وأن الفرج مع الكرب، وأن العسر يسراً
“Dan ketahuilah, sesungguhnya pada kesabaran ke atas apa yang kamu tidak sukai adanya kebaikan yang banyak, sesungguhnya pertolongan-Ku (dari Allah) bersama sifat sabar, dan sesungguhnya kelapangan itu bersama kepayahan, dan sesungguhnya kesusahan itu bersama kesenangan.”
(Riwayat Ahmad)
Antara hikmat sesuatu ujian ke atas manusia ini ialah tapisan dari Allah bagi memperlihatkan kalangan orang beriman yang sebenar dalam kesabaran sesuatu yang dihadapi dengan orang yang sebaliknya. Sebab itu sikap orang beriman, sentiasa mencari hikmah di sebalik sesuatu ujian dan kejadian agar mereka kembali kepada Allah. Bersabar dan semakin tinggi keimanan kepada Allah yang Maha Berkuasa.
Firman Allah S.W.T:
وَلَنَبۡلُوَنَّكُمۡ حَتَّىٰ نَعۡلَمَ ٱلۡمُجَـٰهِدِینَ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰبِرِینَ وَنَبۡلُوَا۟ أَخۡبَارَكُمۡ
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami mengenai adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita mengenai keadaan kamu.”
[Muhammad: 31]
Teruskan munajat dan berdoa kepada Allah
Dalam keadaan yang membawa kepada panik atau cemas, asas kita sebagai umat Islam mestilah terus menjaga hubungan dengan Allah. Umat Islam ada Allah sebagai pelindung, untuk pergantungan harap dan merintih segala luahan.
Di sinilah yang membeza nilai umat Islam dengan selainnya. Pasak keimanan dan konsep tawakal menjadi umat Islam di saat berusaha dan merancang, tidak melupai Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Tidak ada yang diuji atas manusia itu bersifat sia-sia mahu pun zalim.
Hanya ujian dan musibah terjadi agar manusia yang lupa kepada-Nya kembali mengingati-Nya. Manusia yang ada silap dan salah kembali memperbaiki dan bertaubat pada-Nya.
Ambillah teladan dari kisah Nabi Ayyub yang bermunajat kepada Allah sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran:
۞ وَأَیُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥۤ أَنِّی مَسَّنِیَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّ ٰحِمِینَ
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”
[Al-Anbiya’: 83]
Jangan lupa doa kepada Allah kerana doa itu senjata orang mukmin. Terlalu banyak doa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hal ini antaranya ialah:
Doa 1:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Doa 2:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ
“Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah S.W.T cipta.”
Doa 3:
“اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
“Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat.”
Doa 4:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
“Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Merujuk kepada ahli dalam bidang tanda kita tawakal
Islam merupakan agama praktikal. Islam tidak mendidik umatnya hanya bersikap dengan serah urusan pada Allah tanpa berusaha. Malahan tidaklah dinamakan bertawakal melainkan mesti disertai dengan usaha.
Dalam hal COVID-19 ini, pihak berautoriti iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun mengeluarkan garis panduan bagi keselamatan dan mencegah wabak ini dari menular seperti:
(1) Jaga kebersihan di tahap yang tinggi. Sentiasa mencuci dan membersihkan tangan.
(2) Elakkan bersalaman dan bersentuhan.
(3) Tidak menghadiri perhimpunan yang boleh mendedahkan diri kepada jangkitan COVID-19.
Dan banyak lagi garis panduan semasa dan spesifik dalam isu ini. Boleh layari lawan web rasmi KKM : (http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2264) bagi memastikan nasihat dituruti.
Mengambil nasihat dari pihak autoriti adalah menepati kehendak syarak iaitu merujuk kepada ahli dalam sesuatu bidang tersebut. Ini dinyatakan oleh Allah S.W.T:
فَسۡـَٔلُوۤا۟ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
“Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan (ahlinya) jika kamu tidak mengetahui.”
[An-Nahl: 43]
Dalam dunia media sosial yang terbuka tanpa sempadan dan sebaran meluas, kita memerlukan disiplin bagi menyemak dan merujuk sesuatu sumber. Ini kerana, sumber yang tidak sahih akan mengundang musibah dan kemudaratan yang menyusul. Sebab itu, merujuk kepada ahli dalam bidang dan sumber yang sahih adalah satu tuntutan masa kini agar tidak berlaku kecelaruan.
Bercakap tanpa ilmu dan merujuk pada bukan sumbernya boleh menyebarkan tersebar penipuan. Ambil pengajaran dari firman Allah S.W.T berikut:
مَّا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمࣲ وَلَا لِـَٔابَاۤىِٕهِمۡۚ كَبُرَتۡ كَلِمَةࣰ تَخۡرُجُ مِنۡ أَفۡوَ ٰهِهِمۡۚ إِن یَقُولُونَ إِلَّا كَذِبࣰا
“(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.”
[Al-Kahf: 5]
Mencegah dan kuarantin bagi tidak berjangkit dan dijangkiti
Bagi individu mestilah sentiasa peka dengan sebarang perkara yang boleh mengakibatkan kemudaratan yang timbul. Sebab itu, jangan pergi atau lakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemudaratan dan jangan pula mendedahkan diri kepada kemudaratan.
Ini kerana kaedah menyebutkan:
الضرر يزال
“Kemudaratan mesti dihilangkan.”
Bagi mereka yang disyaki terlibat dalam jangkitan COVID-19 wajib segera laporkan diri bagi melakukan pemeriksaan. Jika diarahkan mengasingkan diri atau kuarantin, perlu dipatuhi agar tidak merebak dan menambahkan lagi keburukan dalam suasana yang sedia ada.
Malahan, kuarantin dalam Islam adalah satu pencegahan yang diajar dalam Islam. Sama ada orang yang bersih tidak pergi ke tempat yang ada wabak menular serta orang yang disyaki menjangkiti wabak menular tidak keluar dari tempatnya pergi ke tempat luar.
Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إذا سَمِعْتُمْ بالطَّاعُونِ بأَرْضٍ فلا تَدْخُلُوها، وإذا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بها فلا تَخْرُجُوا مِنْها
“Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Beri kepercayaan kepada mufti dan ulamak dalam berijtihad
Turut terkesan apabila isu COVID-19 ini yang semakin tular sehingga berlaku beberapa perkara yang melibatkan soal ibadah seharian umat Islam seperti:
(1) Harus meninggalkan solat Jumaat dan digantikan dengan solat fardhu Zuhur sahaja. Sebagaimana di negeri Perlis dan beberapa negara yang lain seperti Kuwait.
(2) Penutupan masjid dari solat fardhu berjemaah di masjid-masjid. Seperti di Kuwait dan juga diulas oleh beberapa ulamak dalam hal ini bagi mencegah dan mengelakkan masjid menjadi tempat tular atau berjangkit COVID-19. Ini ada dinyatakan oleh Institusi Fatwa Mesir dan juga tokoh ulamak Syeikh Ali Muhyiddin al-Qughah Daghi dan juga para ulamak lain.
(3) Saranan pembacaan khutbah pada hari Jumaat dipendekkan sebagaimana Kenyataan Media oleh Menteri Agama, YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Dalam hal yang melibatkan ibadah dan masjid iaitu institusi agama Islam, maka sikap yang perlu diamalkan ialah:
(1) Beri kepercayaan dan serah urusan kepada pihak mufti dalam ijtihad yang melibatkan negara atau negeri masing-masing dengan panduan yang diperhalusi demi kemaslahatan ummah yang besar.
(2) Umat Islam beramal dengan pendirian dan ketetapan mengikut negara, wilayah atau negeri yang mereka duduki bagi penyelarasan dan disiplin yang baik.
(3) Tidak menimbulkan polemik pada perbandingan tempat sehingga menimbulkan suasana panik serta perbincangan yang kurang baik kalangan orang awam.
Bagi di Malaysia, hal ini mestilah merujuk negeri masing-masing dalam sesuatu pengamalan yang ditetapkan dan ijtihad yang diberikan. Masyarakat awam boleh menambahkan maklumat namun jangan sehingga menimbulkan polemik. Ada prosedurnya bagi memutuskan sesuatu ketetapan dan ia mestilah sampai ke Sultan sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri yang diperintah.
Malah kaedah Fiqh menyatakan:
الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد
“Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad yang lain.”
Perkara-perkara yang di atas adalah penting untuk kita bersikap demikian agar dalam suasana yang panik ini tidak panik. Namun dalam masa yang sama kita mempunyai pegangan aqidah yang mantap di samping usaha yang diberikan dengan mengambil kira pelbagai sebab atas ikhtiar manusia.
Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/3/2020