Sebenarnya Khalid dipukul dengan ‘Tali’

- Advertisement -

SECARA tiba-tiba, terpancullah berita mengenai mantan Menteri Wilayah, YB Khalid Samad diserang ketika mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa kerat anggota PAN Terengganu. Kehadirannya ialah bertujuan untuk berbincang mungkin berkenaan strategi baharu bagi menghadapi kemungkinan PRU15 yang mereka sedar akan kalah lebih teruk lagi insya-Allah.

- Advertisement -

Maka terjadilah sebagaimana yang dilaporkan di akhbar-akhbar bahawa Khalid Samad lari menyelamatkan diri ke balai polis, konon atas rasa tidak selamat dengan kehadiran beberapa orang yang dikatakan mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya. Tidaklah terduga oleh kita yang Khalid begitu bacul. Sekurang-kurangnya tanyalah dahulu, apa sebabnya, kan?

Semua orang tahu yang Khalid Samad sebelum ini, telah mengeluarkan kenyataan menghina Presiden PAS. Ianya dilakukan secara jelas dan ditonton oleh jutaan orang. Maka dikhabarkan lagi melalui laporan itu bahawa ada laungan seperti “jangan sentuh Tok Guru kami”. Dan atas alasan itu, maka PAN Terengganu membuat kesimpulan bahawa, kejadian itu, dirancang oleh ‘parti lebai’. Provokasinya kelihatan menjadi.

Di media sosial, telah tular akan kejadian itu. Tetapi dengan sedikit penambahan iaitu Khalid dipukul. Namun, polis segera menafikan cerita itu. Laporan salah itu, akan pasti memberikan keuntungan bagi Khalid, kerana lebih parah keadaan Khalid, lebih besar manfaat yang akan beliau perolehi. Mengaut simpati rakyat dengan publisiti murahan. Idea yang murah, semestinya datang dari yang murah harga diri.

Manakala YB Dato’ Raja Kamarul Bahrain, Pengerusi PAN Terengganu dalam satu hantaran Facebook beliau, cuba mengajak rakyat berfikir secara salah apabila secara terang mengaitkan Pakatan Nasional sebagai Kerajaan Taliban. Jauh sungguh angau beliau. Semasa orang PAS menyokong dia menang Parlimen, kemudian dia melarikan kerusi, dia kelihatan tenang sahaja dengan sumpah seranah pengundi.

Tetapi kita sudah maklum akan keadaan RB, selepas terkena strok di Dubai dahulu, dia kemudiannya makan nasi beriani kambing bagi membayar kifarah baiah. Selepas itu, kewarasan dia hanya menjadi sejarah. Orang kanannya Ibrahim atau Che Him yang selalu bersamanya di atas kenderaan pacuan empat roda ketika berceramah, kini pun telah meninggalkan dia. Khabarnya Che Him kata, RB banyak mengarut.

Cerita sebenarnya Khalid Samad telah dipukul dengan tiga ‘tali’ oleh orang-orang PAS kerana dia menghina Presiden PAS. Ini kerana belum lagi siasatan dijalankan, Raja Bahrain cuba berbohong bahawa negara sedang dipandu ke arah negara ‘Tali’ban konon kerana keganasan ini. Sayang, dia buta kerana ketika berlangsung pemilihan PAN, hampir semua tempat, ahli-ahlinya menunjukkan aksi yang lebih ganas.

Cubaan memberikan gambaran yang jahat dan salah terhadap rakyat adalah satu percubaan yang boleh dikatakan sangat ketinggalan zaman. Apatah lagi rakyat sangat cerdik melihat PAN itu sendiri tanpa haluan. Penerimaan keahlian PAS diumumkan, dan purnama berganti purnama, jumlahnya semakin bertambah. Jadi mengulangi isu Taliban ini ibarat memukul diri mereka sendiri. Bagaikan Syiah memukul diri pada hari Asyura. Tidakkah ia dilihat bodoh?

Tali kedua yang memukul Khalid Samad ialah ‘Tali’barut. Ya, PAN tidak berjaya memisahkan dirinya daripada digelar oleh majoriti rakyat Melayu-Islam di Malaysia sebagai talibarut DAP. Terdesak mahu melepaskan PAN dari pandangan itu, dia melakukan berbagai cara bagi mengalihkan kebenaran itu. Maka salah satu caranya ialah membuat provokasi terhadap PAS dan juga majoriti rakyat Melayu-Islam.

Dia dilihat cuba meniru cara Yahudi iaitu dia yang memukul, kemudiannya dia yang menangis. Sudah jelas dilihat seluruh manusia yang cerdik dan sedar bahawa DAP menguasai PH, malah diakui sendiri oleh Tun Mahathir bahawa DAP berkuasa, Khalid kemudiannya tetap memilih menyelewengkan kebenaran agar bosnya iaitu DAP dilihat suci oleh Melayu-Islam. Jadi tidaklah salah dugaan orang, iaitu PAN talibarut DAP.

Yang terakhir, dan inilah ‘tali’ terkuat yang memukul Khalid, PAN, PKR dan juga DAP secara keseluruhannya iaitu ‘Tali’ Allah. Tali yang mengikat muafakat antara PAS dan Umno dengan tertubuhnya Muafakat Nasional. Firman Allah agar berpegang teguh kepada ‘Tali’ Allah dan jangan berpecah belah, dilaksanakan dengan benar. Maka menggelupurlah syaitan dan juga manusia yang membenci Islam, melihat hal ini.

PH mengetahui dengan jelas, jika Melayu-Islam bersatu, maka, tiada ruang kepada pembenci-pembenci Islam untuk merobek maruah agama dan bangsa ini. Maka halangan demi halangan mereka telah usahakan, sedangkan kerja buat mereka adalah jelas mencegah makruf, tetapi mereka rasakan mereka sedang mencegah mungkar. Begitulah Allah balikkan hati mereka daripada melihat kebenaran.

Ternyata, ikatan ‘tali-tali’ ini menjadi pukulan yang sangat berkesan kepada PH. Hanya terserah kepada Umno, bagaimana mahu bersabar dengan kedudukan mereka dalam PN, kerana mereka sedang diperhati rakyat. Jika terus meraung-raung meminta jawatan, rakyat melihat mereka masih tidak sedar diri. Dan PAS pula perlu juga bersabar dengan adanya jawatan penting dalam kerajaan. Tali Allah ini akan kekal kukuh dengan bersabar. Insya-Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 16/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -