Ke arah pulihkan hubungan Tun M-TS Muhyiddin

- Advertisement -

SEWAKTU Tan Sri Muhyiddin Yassin mula-mula mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac lalu, banyak pihak yang merasa bimbang mengenai kemampuan untuk kerajaan baru pimpinan beliau boleh bertahan.

- Advertisement -

Ini adalah terutamanya kerana Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan bersungguh-sungguh mahu menjadi Perdana Menteri kembali di bawah tiket Pakatan Harapan sehingga ke tahap mahu mahu membuat usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin dalam sidang Parlimen.

Begitupun, setelah menonton rakaman video “Wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad” yang disiarkan oleh Sinar Harian pada 12 Mac lalu dalam mana Tun Dr Mahathir secara panjang lebar meluahkan perasaan dan pemikiran beliau maka kebimbangan ini sudah semakin terhakis.

Dapat dilihat dengan jelas di dalam wawancara eksklusif ini bahawa Tun Dr Mahathir sebenarnya tidaklah begitu berminat untuk menjadi Perdana Menteri tetapi cubaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri kembali sebelum ini adalah lebih kepada untuk memenuhi hasrat pihak-pihak lain.

Di dalam wawancara eksklusif ini, bila ditanya apakah cita-cita beliau sekarang, jawapan yang Tun Dr Mahathir berikan adalah beliau hendak berehat dan, kalau boleh, sekadar mahu pemimpin yang dipilih “datang kepada saya dan saya memberi pandangan dan nasihat.”

Begitu juga penegasan Tun Dr Mahathir bahawa “bukan kedudukan sebagai Perdana Menteri yang penting” tetapi “kalau saya boleh tolong pulihkan keadaan orang Melayu itu bagi saya memberi kepuasan” yang menghapuskan persepsi negatif bahawa beliau gila kuasa.

Memang Tun Dr Mahathir menyebut bahawa beliau masih akan “terpaksa memainkan peranan sikit kalau diminta oleh orang ramai”, tetapi penegasan ini adalah didahului oleh kenyataan bahawa hanya “kalau saya lihat ada kemungkaran berlaku (dalam kerajaan baru)”.

Perkara yang menjadi perhitungan utama Tun Dr Mahathir di dalam menerima atau tidak kerajaan baru ini adalah bagaimana Tan Sri Muhyiddin mengendalikan isu beberapa mantan pemimpin kerajaan yang sedang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah.

Bila Tan Sri Muhyiddin tidak menyenaraikan mereka dalam kabinet Tun Dr Mahathir pun menerima baik kabinet beliau. Kata Tun Dr Mahathir: “Setakat ini kita dapati bahawa mereka yang sedang dihadapkan ke mahkamah tak disenaraikan dalam kabinet, baik lah.”

Walaupun sebahagian Menteri tiada pengalaman, Tun Dr Mahathir tidak mengecam mereka kerana mereka tiada masalah integriti. Kata beliau: “Banyak Menteri lain agak junior, jadi mereka tak ada pengalaman, mereka perlu ambil masa dan saya harap mereka berjayalah.”

Tan Sri Muhyiddin patut lega bila Tun Dr Mahathir tidak lagi mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik beliau sebagai Perdana Menteri. Kata Tun Dr Mahathir: “Yang itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong lah, Saya tak nak kacau. Apa dia nak putus dia putuslah.”

Begitu juga bila Tun Dr Mahathir sudah tidak berminat untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin dengan berkata: “Saya percaya pada masa itu Muhyiddin ada majoriti dalam Parlimen. Kalau ada majoriti tak guna kita adakan satu usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin.”

Lebih jauh lagi, Tun Dr Mahathir juga sudah mula menunjukkan sikap lunak terhadap Tan Sri Muhyiddin sendiri. Ini boleh kita fahami melalui tiga kenyataan beliau ini:
(1)    Bila ditanya adakah beliau bersedia untuk bertemu Tan Sri Muhyiddin, Tun Dr Mahathir tidak menolaknya terus tetapi berkata “waktu ini saya ingat saya tak bersedialah.”
(2)    Bila ditanya adakah beliau bersedia untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin, Tun Dr Mahathir tidak menolaknya terus tetapi berkata “waktu ini tak bolehlah.”
(3)    Bila ditanya adakah beliau bersedia untuk bersama Tan Sri Muhyiddin dalam menyatukan orang Melayu, Tun Dr Mahathir tidak menolaknya terus tetapi berkata “itu kita boleh fikir kemudianlah.”

Dapat dilihat bahawa kesediaan Tun Dr Mahathir untuk bertemu, menyokong dan bersama Tan Sri Muhyiddin dalam menyatukan orang Melayu, selain turut tertakluk kepada hasutan pihak-pihak lain terhadap beliau, akan banyak bergantung kepada Tan Sri Muhyiddin sendiri.

Penentu utamanya ialah bagaimana Tan Sri Muhyiddin mengendalikan isu mereka yang sedang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah. Kata Tun Dr Mahathir: “Saya nak perhati tengoklah macam mana dia nak tangani masalah mereka yang sedang dihadapkan ke mahkamah ini.”

Malah, bila ditanya apakah beliau akan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin atau tidak, jawapan Tun Dr Mahathir adalah ia bergantung kepada sama ada Tan Sri Muhyiddin akan menggunakan kuasa beliau untuk menghentikan atau mempengaruhi perjalanan kes mahkamah atau tidak.

Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa jika Tan Sri Muhyiddin tidak menghentikan atau mempengaruhi perjalanan kes mahkamah yang melibatkan beberapa mantan pemimpin kerajaan maka kerajaan baru beliau pastilah akan selamat daripada gangguan Tun Dr Mahathir.

Lebih memberangsangkan lagi ialah bila Tun Dr Mahathir di dalam wawancara eksklusif ini juga sudah mula memberikan beberapa petunjuk yang jelas kepada Tan Sri Muhyiddin dan kepada masyarakat awam mengenai bagaimana hubungan beliau dengan Tan Sri Muhyiddin boleh dipulihkan.

Pertama ialah mengenai pengekalan dasar-dasar baik Tun Dr Mahathir sebelum ini: “Saya mintalah kalau boleh Kabinet janganlah gugurkan dasar-dasar yang baik yang telah kita adakan, umpamanya Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama, itu satu benda yang baik, jangan gugur.”

Ini Tun Dr Mahathir huraikan kemudiannya dengan berkata: “Kita sudah ada rangka untuk mengatasi masalah hutang yang besar, finance, kita sudah ada rangka bagaimana mengatasinya. Kita juga sudah ada rangka bagaimana memajukan ekonomi negara kita. Kita juga mempunyai pelan untuk meningkatkan pendapatan orang kampung berbanding dengan orang bandar. Dan macam-macam lagi dah kita sediakan, cuma kita baru nak laksana (tetapi tidak sempat). Sekarang ini saya harap Muhyiddin guna pelan-pelan itu supaya tak jadi masalah kepada negaralah.”

Di dalam wawancara eksklusif ini juga, Tun Dr Mahathir bercakap dengan panjang lebar mengenai kebaikan dan keperluan kepada “pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)” yang disertai dengan kebimbangan beliau bahawa Tan Sri Muhyiddin “tidak suka PPSMI” ini.

Oleh itu, sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak mengganggu perjalanan kes mahkamah, mengekalkan dasar-dasar baik Tun Dr Mahathir sebelum ini dan mengakomodasikan kehendak supaya PPSMI dikembalikan, pastilah beliau akan mampu mendapat sokongan penuh Tun Dr Mahathir.

Bila Tan Sri Muhyiddin mendapat sokongan penuh Tun Dr Mahathir maka tiadalah jalan lagi untuk kerajaan baru pimpinan beliau digugat kerana pihak yang mahu berbuat demikian hanya akan mempunyai peluang untuk berjaya jika Tun Dr Mahathir kembali menyokong mereka.

Begitupun, kepada pihak-pihak yang masih mahu mengheret Tun Dr Mahathir supaya terlibat dengan aktif dalam aktiviti politik kepartian bagi memenuhi kehendak peribadi mereka untuk cuba menjatuhkan kerajaan baru pimpinan Tan Sri Muhyiddin eloklah lupakan hasrat itu.

Tun Dr Mahathir sudah terlalu lama menyumbang jasa bakti kepada negara. Hormatilah kehendak beliau yang mahu berehat dan usahlah lagi beliau cuba diheret dalam aktiviti politik kepartian melainkan jika terbukti kemudiannya ada kemungkaran berlaku dalam kerajaan baru ini.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 16/3/2020

- Advertisement -