Islam dan pemakaian

- Advertisement -

PEMAKAIAN kayu ukur sifat malu

Pemakaian menjadi kayu ukur masyarakat pada hari ini dalam menilai kemajuan seseorang. Di Barat, mereka yang berpakaian yang kemas dan berprotokol dilihat lebih maju ke hadapan walaupun pakaian yang mereka pakai tersebut mendedahkan bahagian anggota tubuh yang mesti ditutup iaitu aurat. Masyarakat Islam semakin terikut-ikut cara pemakaian yang datang daripada pihak luar sehingga menjadikan pemikiran mereka diracuni bahawa pemakaian dalam Islam adalah kuno dan kolot seakan-akan Islam merupakan agama yang mundur dan tidak menepati putaran masa yang saban hari semakin canggih dan maju.

Apabila minda masyarakat Islam diracuni dengan doktrin bahawa pemakaian Islam adalah kuno dan dalam masa yang sama sifat semulajadi manusia mahukan suatu pembaharuan yang menepati dengan kemodenan yang sedia ada, maka berlakunya krisis identiti dalam diri masyarakat Islam sehingga menyebabkan mereka mengikut cara pemakaian berfesyenkan masyarakat Barat.

Maka inilah yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Uqbah bin ‘Amru al-Ansori bahawa;

- Advertisement -

إذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْت

“Apabila seseoarang tersebut sudah hilang akan sifat malunya, maka lakukanlah apa yang dia suka.”

(Riwayat al-Bukhari)

Termasuk dalam hadis di atas ialah wanita yang hilang sifat malunya kerana sanggup berpakaian seksi dan ketat demi mengikut peredaran zaman. Begitu juga dengan lelaki Muslim yang sanggup membuang atau mengenepikan pakaian yang lebih Islamik dengan cuba berpakaian menyerupai sesuatu bangsa kerana beranggapan pemakaian sesuatu bangsa tersebut lebih terkehadapan.

Inilah yang dikatakan masyarakat Islam yang mengalami krisis identiti kerana mencari identiti yang selainnya sedangkan dalam Islam, pemakaian yang diajarkan menggambarkan identiti seorang Muslim atau Muslimah.

Konsep pemakaian berasaskan takwa

Secara asasnya, Islam tidak menolak sebarang bentuk urusan atau sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kecantikan. Bahkan Islam sendiri menitik beratkan setiap perkara agar dilakukan dengan cantik, dalam keadaan yang baik dan elok, serta menjaga kebersihan. Kesemua ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis Baginda S.A.W.

Islam tidak ada menetapkan secara khusus bagaimana bentuk pemakaian bagi seseorang Muslim atau Muslimah seperti perlu memakai kain buatan apa, jenis apa, berapa helai, warna apa dan sebagainya. Kreativiti dalam pemakaian adalah terserah kepada individu tersebut mengikut kesesuaian tempat dan masanya selagi mana ia tidak melanggar batasan syarak. Perkara tersebut termasuk dalam urusan keduniaan yang Rasulullah S.A.W menyerahkan kreativitinya kepada manusia itu sendiri untuk berfikir.

Apa yang Islam tekankan ialah konsep takwa dalam pemakaiannya. Justeru, ia merujuk pemakaian seseorang itu boleh menggambarkan ketakwaan bagi pemakainya. Maka sudah tentu pemakaian yang menggambarkan ketakwaan ialah pemakaian yang mengikut cara Islam yang menutupi aurat, tidak mengundang fitnah dan mampu menjaga tubuh badan daripada sebarang kebinasaan.

Pemakaian takwa inilah yang disebutkan oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya;

یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰ⁠رِی سَوۡءَ ٰ⁠ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُون
“Wahai anak cucu Adam, sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutup auratmu dan perhiasan bagi kamu tetapi pakaian takwa itulah yang terbaik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah semoga mereka beringat.”

(al-A’raf: 26)

Islam menuntut diri dan pemakaian yang cantik

Banyak nas dalam al-Quran dan al-hadis yang menjelaskan bahawa Islam meraikan kecantikan bahkan menuntut manusia untuk memperlihatkan diri mereka dalam keadaan yang cantik dalam masa yang sama sunyi daripada sifat riak dan takabbur. Ia dianggap sebagai memperlihatkan nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T ke atas dirinya.

Justeru, apa yang ingin diperlihatkan adalah nikmat Allah S.W.T bukan untuk kebanggaan diri mereka. Apa yang diperlihatkan tersebut merupakan sebagai salah satu tindakan mensyukuri nikmat Allah S.W.T dengan menggunakannya pada landasan yang betul.

Daripada Ibnu Umar R.A berkata, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda;

إن الله يحب أن يُرَى أثرُ نعمته على عبده

“Sesungguhnya Allah menyukai untuk melihat kesan nikmat-Nya ada pada hamba-Nya.”

(Riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi)

Rasulullah S.A.W menggalakkan umatnya untuk memakai pakaian yang baru dan terbaik terutama pada hari-hari kebesaran Islam yang menjadi kegembiraan bagi umat Islam sendiri. Justeru penampilan yang cantik dan terbaik menjadi salah satu tanda kegembiraan yang dizahirkan dalam menyambut hari-hari tersebut.

Para lelaki yang keluar menunaikan solat Jumaat digalakkan memakai pakaian yang berwarna putih kerana ia melambangkan kesucian dan mengingatkan manusia kepada kain kafan yang menjadi simbolik mengingati kematian.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

البسوا من ثيابكم البياض فإنها من خير ثيابكم وكفنوا فيها موتاك

“Pakailah pakaian yang berwarna putih, sesungguhnya pakaian yang berwarna putih adalah sebaik-baik pakaian dan gunakanlah pakaian yang berwarna putih apabila mengkafankan jenazah kamu (orang Islam).”

(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Pada kedua Hari Raya iaitu Eid Fitri dan Eid Adha, umat Islam sama ada lelaki dan wanita digalakkan untuk memakai pakaian yang baru dan cantik. Jika tiada pakaian yang baru, maka digalakkan memakai pakaian yang terlebih baik ada yang dimiliki bagi membezakan hari perayaan dengan hari-hari yang biasa.

Sayiduna Hasan R.A berkata:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَلْبَسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ، وَأَنْ نَتَطَيَّبَ بِأَجْوَدَ مَا نَجِدُ

“Rasulullah S.A.W menyuruh (hukum sunat) kami pada kedua Hari Raya (Eid Fitri dan Eid Adha) untuk memakai pakaian yang terlebih baik apa yang kami ada dan berwangi-wangian dengan sebaik-baik wangian apa yang kami ada.”


(Riwayat al-Hakim)

Berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, maka jelas bahawa Islam meraikan kecantikan dalam penampilan dan pemakaian bahkan Islam menggalakkan umatnya untuk memastikan pakaian yang mereka kenakan pada hari-hari kebesaran dalam Islam dengan pakaian yang bersesuaian bagi menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas nikmat yang diberikan. Bahkan Islam mencela ke atas sesiapa yang mengharamkan sesuatu perhiasan yang diharuskan oleh syarak.

Firman Allah S.W.T:

قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِینَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِیۤ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّیِّبَـٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِیَ لِلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا خَالِصَةࣰ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِۗ كَذَ ٰ⁠لِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡـَٔایَـٰتِ لِقَوۡمࣲ یَعۡلَمُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah disediakan untuk hamba-hamba-Nya, dan rezeki yang baik-baik? Katakanlah: semua itu untuk orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan khusus (untuk mereka sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu untuk orang yang mengetahui.”

(al-A’raf: 32)

Berfesyen dalam pemakaian biar beroleh pahala

Dalam sesebuah syarikat atau organisasi, terdapat etika dan protokol yang melambangkan identiti seseorang yang terikat dengan syarikat tersebut. Bahkan fesyen dan keterampilan tersebut mencerminkan imej syarikat yang maju dan terkehadapan dalam melaksanakan misi dan visinya.

Begitu juga dengan pemakaian dalam Islam. Islam tidak menghalang secara mutlak untuk manusia berfesyen dan berketerampilan kerana Islam sendiri yang menggalakkan umatnya untuk menampilkan apa yang terbaik dan yang elok dalam menzahirkan imej peribadi yang baik dan terhormat.

Maka, tujuan utama bagi etika dan garis panduan dalam pemakaian cara Islam adalah untuk:

(1) Menjaga keamanan diri dan kehormatan diri daripada berlaku fitnah ke atas mereka.
(2) Memberikan perlindungan kepada mereka kerana pakaian adalah salah satu cara menjaga diri daripada bencana, bahaya dan sakit.
(3) Membawa imej yang baik dan elok dalam menampakkan jati diri seorang Muslim dan Muslimah.

Justeru, etika dan garis panduan tersebut ialah:

(1) Menutup tubuh badan yang menjadi aurat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah S.W.T:

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ یَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَیَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا یُبۡدِینَ زِینَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡیَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُیُوبِهِنَّۖ وَلَا یُبۡدِینَ زِینَتَهُنَّ..

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…”

(al-Nur: 31)

Pemakaian yang menutupi aurat ialah pakaian yang tidak terdedah iaitu:

(i) Tidak mendedahkan anggota tubuh yang menjadi aurat.
(ii) Tidak menampakkan warna kulit anggota tubuh yang menjadi aurat.
(iii) Tidak menampakkan secara jelas bentuk anggota tubuh yang menjadi aurat.

Justeru, pakaian yang ketat sehingga memperlihatkan bentuk anggota secara jelas dan nipis sehingga menampakkan warna kulit adalah pemakaian yang tidak menepati ciri-ciri syarak dalam menutupi aurat. Rasulullah S.A.W menyebutkan bahawa antara faktor wanita lebih ramai dimasukkan ke dalam neraka kerana pemakaian mereka yang seolah-olah telanjang iaitu tidak menutupi aurat dengan sempurna, memperlihatkan bentuk tubuh dan warna kulit.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda bahawa antara golongan yang berada dalam neraka ialah:

كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

“dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya (menggoda lelaki ke arah melakukan zina). Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.”


(Muslim)

(2) Dilarang pemakaian yang mengubah fitrah jantina. Pemakaian lelaki tidak boleh menyerupai pemakaian wanita dan begitu juga sebaliknya. Lelaki yang menyerupai wanita serta wanita yang menyerupai lelaki walau dari sudut pemakaian juga adalah termasuk dalam dosa besar malah ia dilaknat oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Perkara ini kerana berlawanan dengan fitrah manusia serta dianggap tidak meredhai dengan ketentuan asal yang diciptakan oleh Allah S.W.T baginya.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa:

لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ ص الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ اْلمَرْأَةِ، وَ اْلمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

“Rasulullah S.A.W melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan juga wanita yang memakai pakaian lelaki.”

(Riwayat Abu Daud)

(3) Emas dan sutera diharamkan ke atas lelaki. Maka segala pakaian, alat perhiasan seperti cincin, jam sebagainya adalah diharamkan. Justeru lelaki mesti memastikan bahawa pemakaian mereka tidak terdapat daripada barangan dan kain yang ada unsur emas dan sutera. Ini kerana emas dan sutera sifatnya kelembutan dan kecantikan. Maka ia lebih sesuai dengan fitrah dan naluri wanita. Sehubungan itu, emas dan sutera dikhususkan kepada wanita sahaja.

Ali bin Abi Talib R.A meriwayatkan;

إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي

“Sesungguhnya Nabi S.A.W mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.”

(Riwayat Ahmad)

Abu Umamah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَلْبَسْ حَرِيرًا وَلَا ذَهَبًا

“Sesiapa yang beriman dengan Allah S.W.T dan hari akhirat, maka janganlah memakai sutera asli dan emas.”

(Riwayat Ahmad)

Adapun jika emas atau sutera bercampur dengan benda atau elemen yang lain, maka hukumnya tidak haram dengan syarat, campuran tadi didominasi oleh elemen selainnya. Hal ini bermaksud sutera yang ada dalam campuran tersebut hanya mempunyai kapasiti yang sedikit sahaja.

(4) Tidak menyerupai bangsa lain yang melibatkan dari sudut kepercayaan dan keagamaan mereka. Ia akan menjadikan timbulnya persepsi bahawa seseorang tersebut meredhai kepercayaan dan keagamaan yang bukan-Islam.

Ibnu Umar R.A meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W;

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam kaum tersebut.”

(Riwayat Abu Daud)

Sekiranya pemakaian yang tidak melibatkan dari sudut kepercayaan dan keagamaan sesuatu kaum, dan pakaian itu merupakan kebiasaan kebanyakan manusia sebagai pakaian sehari-harian atau pekerjaan maka ia dibolehkan.

Justeru, faktor pengharaman pemakaian dan keterampilan yang diharamkan kerana menyerupai sesuatu kaum disebabkan;

(i) Menggambarkan kepercayaan dan keagamaan selain Islam pada zahir mereka melalui pemakaian.

(ii) Menghilangkan identiti umat Islam kerana dengan pemakaian dan keterampilan menjadikan manusia tidak mengenali identiti agamanya sama ada Islam atau bukan. Maka ia telah mencemarkan imej Islam dan mendatangkan fitnah ke atas diri.

(5) Haram mengubah ciptaan Allah S.W.T. Mengubah ciptaan Allah S.W.T adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Ia disebabkan mereka seolah-olah ingin mencabar Allah S.W.T dan menunjukkan perasaan tidak redha terhadap ciptaan semulajadi yang telah Allah S.W.T ditentukan ke atas mereka.

Maka dalam melakukan keterampilan yang menarik dan mengikuti peredaran masa, umat Islam mestilah memastikan bahawa penampilan yang mereka lakukan tidak mengubah ciptaan Allah S.W.T. Antara penampilan yang diharamkan kerana dikira sebagai mengubah ciptaan Allah S.W.T ialah:

(i) Menyambung rambut. Fesyen menyambungkan sesuatu kepada rambut asal yang ada di kepala.

Para ulamak haram ke atas mereka yang melakukan menyambung rambut dan mereka yang meminta untuk melakukan menyambung rambut. Kedua-dua pihak dikira telah melakukan subahat dalam perkara yang haram. Ulamak bersepakat bahawa haram ke atas rambut yang disambung pada rambut yang asal sekiranya sambungan rambut itu ialah daripada rambut anak Adam dan bulu selain anak Adam akan tetapi ia adalah bulu yang najis.

Hal ini berdasarkan larangan Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Asma’ binti Abu Bakar R.A iaitu:

أنَّ امْرَأَةً مِنَ الأنْصَارِ زَوَّجَتِ ابْنَتَهَا، فَتَمَعَّطَ شَعَرُ رَأْسِهَا، فَجَاءَتْ إلى النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَذَكَرَتْ ذلكَ له، فَقالَتْ: إنَّ زَوْجَهَا أمَرَنِي أنْ أصِلَ في شَعَرِهَا، فَقالَ: لَا، إنَّه قدْ لُعِنَ المُوصِلَاتُ.

“Seorang wanita telah datang menemui Nabi Muhammad S.A.W lalu berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku berkahwin seawal usia yang masih terlalu muda. Namun kepalanya ditimpa sesuatu sehingga menyebabkan rambutnya gugur (menjadi jarang), maka adalah boleh aku lakukan menyambung rambut padanya?” Lalu Baginda S.A.W bersabda: “Jangan (lakukan). Sesungguhnya dilaknat wanita yang melakukan menyambung rambut.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun jika yang disambung ke rambut bukan daripada rambut anak Adam dan ia adalah sesuatu yang suci, maka ulamak berbeza pendapat. Ulamak bermazhab Hanafi dan bermazhab Maliki menyatakan bahawa ia tetap haram kerana Nabi Muhammad S.A.W menyatakan secara umum mengenai larangan menyambung rambut.

(ii) Cukur atau cabut bulu kening, melukis tatu, mengasah gigi.

Fesyen terkini daripada Barat yang ditiru oleh kebanyakan masyarakat Islam. Kesemua tersebut adalah bertujuan untuk mencantikkan diri dengan cara mengubah ciptaan Allah S.W.T yang bersifat semulajadi.

Bahkan alasan mencantikkan diri tersebut adalah tidak benar, kerana ciptaan yang sedia ada iaitu bulu kening, gigi dan kulit sudah pun mempamerkan kecantikan seseorang secara neutral. Justeru fesyen tersebut adalah songsang daripada kehendak yang sebenarnya.

Kesemua tersebut adalah diharamkan sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud;

لَعَنَ اللهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ ، وَالنَّامِصَاتِ وَالمُتَنَّمِصَاتِ ، وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ

“Allah S.W.T melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah S.W.T.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(iii) Wanita cukur seluruh kepala.

Bagi lelaki, diharuskan untuk bercukur seluruh kepala. Namun bagi wanita, hukum bercukur seluruh kepala adalah haram kerana ia menyerupai lelaki. Sedangkan antara kecantikan wanita ialah pada rambutnya.

Sayiduna Ali bin Abu Talib meriwayatkan bahawa:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا

“Rasulullah S.A.W melarang wanita mencukur (seluruh) kepalanya.”

(Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi)

Ini merupakan beberapa contoh yang mengubah ciptaan Allah S.W.T yang diharamkan oleh syarak. Begitu juga dengan pembedahan plastik, pembesaran buah dada dengan suntikan silikon dan sebagainya, kesemuanya diharamkan kerana ia termasuk dalam konteks mengubah ciptaan Allah S.W.T.

Larangan Allah S.W.T ini terdapat dalam firman-Nya:

لَا تَبۡدِیلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ

“Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah.”

(al-Rum: 30)

Firman Allah S.W.T:

صُنۡعَ ٱللَّهِ ٱلَّذِیۤ أَتۡقَنَ كُلَّ شَیۡءٍۚ

“(Itulah) Ciptaan Allah yang mencipta dengan sempurna segala sesuatu.”

(al-Naml: 88)

(6) Jauhi kelakuan yang boleh mendatangkan fitnah ke arah zina. Selain pemakaian yang mematuhi garis panduan syariah, maka perilaku juga mestilah terjaga dari sebarang unsur yang menarik perhatian orang yang bukan mahramnya. Ia mendorong ke arah perkara yang menghampiri zina.

Antaranya ialah wanita memakai gelang kaki kemudian menghentak-hentakkan kakinya bagi memperdengarkan kepada lelaki di sekelilingnya perhiasan yang terdapat di kakinya. Ia dilakukan oleh wanita di zaman jahiliyah dahulu.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا یَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِیُعۡلَمَ مَا یُخۡفِینَ مِن زِینَتِهِنَّۚ

“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.”

(al-Nur: 31)

Tidak khusus dari sudut menghentakkan kaki sahaja, bahkan apa jua gerak tubuh wanita yang dilenggokkan dan sebarang aksi yang boleh menarik perhatian masyarakat umum adalah termasuk dalam konteks larangan ayat di atas.

Ini kerana faktor pengharaman disebabkan menarik perhatian orang yang bukan mahram dengan berniat. Ia juga seperti seorang wanita yang melenggok-lenggok suara atau menjadikan suaranya bernada seksi.

Firman Allah S.W.T;

فَلَا تَخۡضَعۡنَ بِٱلۡقَوۡلِ فَیَطۡمَعَ ٱلَّذِی فِی قَلۡبِهِۦ مَرَضࣱ وَقُلۡنَ قَوۡلࣰا مَّعۡرُوفࣰا

“Maka janganlah kamu (wanita) berkata-kata dengan lembut manja (semasa berbicara dengan lelaki yang bukan mahram) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”

(al-Ahzab: 32)

Wanita tidak dihalang menggunakan alat solek kerana ia termasuk dalam konteks menjaga kecantikan namun terdapat batasan yang mesti dijaga iaitu untuk dalam keadaan yang bersih dan cantik secara semulajadi. Penggunaan alat solek yang melampau-lampau adalah dilarang kerana ia menarik perhatian lelaki yang bukan mahramnya. Hal ini seperti memakai wangi-wangian yang begitu kuat sehingga lelaki yang berada berdekatan dengannya merasa asyik dengan keharuman yang ada pada badan wanita tersebut.

Wangi-wangian yang dibenarkan oleh Islam pada wanita ialah untuk menghilangkan bau badan atau bau busuk. Jika penggunaannya untuk menjadikan dirinya wangi seterusnya menarik perhatian awam di khalayak umum adalah tidak diharuskan kerana ia mendorong ke arah yang tidak baik.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa Rasulullah S.A.W ada menegaskan di dalam sabdanya iaitu;

أيُّما امرأةٍ استعطرتْ ثُمَّ خَرَجَتْ ، فمرَّتْ علَى قومٍ ليجِدُوا ريَحها فهِيَ زانيةٌ

“Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian kemudian ia keluar (rumah). Dan manusia (sekelilingnya) mencium baunya maka dia telah (mendapat dosa) berzina”

(Ahmad, al-Nasa’i, al-Tirmizi, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Firman Allah S.W.T;

وَقَرۡنَ فِی بُیُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِیَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ

“Dan hendaklah kamu tetap diam di dalam rumah kamu dan janganlah kamu berkelakuan dalam berhias sebagaimana yang dilakukan oleh wanita jahiliyah terdahulu.”

(al-Ahzab: 33)

Perintah wanita menduduki di rumahnya adalah dibimbangi akan berlakunya fitnah. Disebabkan itu, soal wanita keluar rumah sama ada bekerja, belajar dan sebagainya adalah diharuskan dengan syarak jika terdapat keperluan. Maka tidak menjadi masalah wanita keluar jika terdapat keperluan sebagaimana yang ada pada hari ini.

(7) Jauhi daripada sifat yang dikeji seperti riak dan membazir. Selain memastikan etika dan batasan dalam pemakaian, umat Islam mestilah menjaga sikap mereka daripada melakukan sifat-sifat yang dikeji oleh syarak. Umat Islam dalam berpakaian mestilah menjauhi daripada berlaku pembaziran dan boros.

Soal niat juga amat penting disebabkan itu umat Islam mestilah menjauhi sifat berbangga diri, bermegah, berlagak, menunjuk-nunjuk (riyak) dalam pemakaian apatah lagi jika ia bertujuan memperlekehkan orang lain. Walaupun pakaian yang dikenakan adalah menutupi aurat namun ia tetap mendapat dosa kerana memiliki sifat yang dikeji oleh syarak.

Justeru, galakan memakai pakaian yang elok dan cantik bagi memperlihatkan tanda nikmat Allah S.W.T ke atasnya, ia adalah terbatas iaitu selagi mana tidak timbul sifat yang tidak elok oleh syarak, jika ada maka hukumnya berubah menjadi haram.

Ini berdasarkan peringatan yang diberikan oleh Baginda S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A;

من لبس ثوب شهرة في الدنيا، ألبسه الله ثوب مذلة يوم القيامة

“Sesiapa yang memakai baju untuk bangga (sifat riyak dan takabbur) di dunia maka Allah akan pakaikannya baju yang menghinakan di Hari Kiamat kelak.”

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Begitu juga riwayat dari Muaz bin Anas dari bapanya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

مَنْ تَرَكَ اللِّبَاسَ تَوَاضُعًا لِلَّهِ وَهُوَ يَقْدِرُ عَلَيْهِ دَعَاهُ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ مِنْ أَيِّ حُلَلِ الإِيمَانِ شَاءَ يَلْبَسُهَا

“Sesiapa yang meninggalkan untuk memakai pakaian (yang elok dan cantik) kerana merendahkan diri kerana Allah (bimbang akan timbul sifat yang tidak elok seperti berlagak) sedangkan dalam masa yang sama dia mampu (memiliki dan) memakai pakaian tersebut, di hari kiamat kelak Allah akan menjemputnya di hadapan seluruh makhluk untuk dia memilih akan apa jua pakaian yang ingin dia pakai.”

(Riwayat at-Tirmizi)

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/3/2020

- Advertisement -