Covid-19: Fokus ringankan beban rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penularan wabak Covid-19 telah memberi kesan kepada pendapatan rakyat apabila terdapat syarikat yang mewajibkan kakitangan mereka mengambil cuti tanpa gaji.

Namun berbeza pula nasib dengan mereka yang bekerja sendiri mungkin tidak mendapat perhatian ramai.

Contohnya para peniaga dan penjaja seperti di pasar, di pasar malam atau di tepi-tepi jalan, begitu juga dengan pemandu teksi dan e-hailing.

Tidak lupa juga pembekal perkhidmatan seperti tukang gunting, pendandan rambut, tukang urut refleksologi atau mekanik kenderaan.

Bagaimanapun, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ramai di antara mereka ini mempunyai komitmen bulanan atau komitmen yang berjadual.

- Advertisement -

“Ia seperti ansuran bulanan untuk pinjaman perumahan sama ada daripada kerajaan atau institusi kewangan swasta, ansuran bulanan untuk pinjaman perniagaan sama daripada kerajaan atau institusi kewangan swasta dan ansuran bulanan untuk pinjaman kenderaan sama daripada kerajaan atau institusi kewangan swasta.

“Bil-bil utiliti seperti elektrik dan air, cukai taksiran Pihak Berkuasa Tempatan serta cukai tanah Pejabat Daerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun begitu, pihaknya yakin ramai di antara mereka yang akan menghadapi masalah untuk memenuhi komitmen tersebut akibat dari kekurangan pelanggan atau permintaan dalam suasana yang begitu mencabar ini.

Justeru itu, Iskandar berkata pihaknya mencadangkan langkah-langkah untuk meringankan beban mereka antaranya membantu mereka untuk menangguhkan atau menjadualkan semula bayaran ansuran.

Selain itu, mengecualikan sebarang penalti untuk pembayaran ansuran yang lewat, menganjakkan tarikh akhir untuk pembayaran bil dan cukai serta mengecualikan sebarang denda lewat untuk pembayaran bil atau cukai.

Susulan daripada itu, beliau berharap kerajaan akan mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah, institusi kewangan dan syarikat-syarikat utiliti untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut bagi meringankan beban rakyat. – HARAKAHDAILY 16/3/2020

- Advertisement -