Ziarah Kasih promosi kempen daftar mengundi

- Advertisement -

TITIWANGSA: PAS Kawasan Titiwangsa Zon Keramat telah menganjurkan Ziarah Kasih bersama Umno Bahagian Titiwangsa menyantuni para penduduk di Flat Sri Perlis 2, Keramat Jaya, di sini semalam.

- Advertisement -

Program di atas inisiatif di bawah Muafakat Nasional Parlimen Titiwangsa ini juga turut menggiatkan kempen kesedaran politik dengan mengajak para penduduk dikunjungi untuk mendaftar sebagai pengundi.

Yang DiPertua PAS Titiwangsa, Khairul Anuar Abdul Manap berkata, masyarakat setempat perlu diberi kesedaran akan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia berkenaan kewajiban mendaftar sebagai pengundi. 

Hal demikian kerana menurut beliau, masih ramai penduduk setempat khususnya golongan muda memandang remeh terhadap tanggungjawab daftar mengundi ini kerana tidak tahu cara atau mengambil sikap tidak peduli.

Sementara itu, sumbangan berupa keperluan asas telah diagihkan kepada 30 keluarga miskin, OKU, sakit, warga emas, ibu tunggal serta anak yatim (MOSWAY) bagi membantu sedikit sebanyak keperluan harian mereka.

Pada masa yang sama, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya turut membuka kaunter daftar mengundi di Flat Sri Perlis 2 bagi memudahkan penduduk setempat khususnya warganya untuk daftar mengundi.

Turut hadir di program ziarah kasih tersebut ialah Pengarah Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa, Hedzer Ibrahim dan Ketua Muslimat PAS Titiwangsa, Sharifah Rashida Sayed Idrus serta Naib Ketua Umno Titiwangsa, Zulkifli Zainudin. 

Ziarah kasih kali ini juga dibantu Ameerah dan Unit Amal PAS Kawasan Titiwangsa.

PAS Titiwangsa amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai demi kelangsungan gerak kerja kebajikan di mana sebarang transaksi boleh disalurkan melalui akaun Maybank 5640-9850-4101. – HARAKAHDAILY 15/3/2020

- Advertisement -