Pesan-pesan berharga buat pimpinan

PERUBAHAN lanskap politik negara seminggu dua ini turut menyebabkan berlakunya mobiliti sosial kepada sebahagian pimpinan PAS. Anjakan harkat sosial kadang paralel dengan perubahan gaya hidup dan cara berfikir manusia.

Advertisement

Sejujurnya segalanya berlaku dengan pantas, sebahagian kita hanya mampu memisat-misat mata dan membekap dada, ada pimpinan negara sebelum ini mengakui mereka pulang daripada urusan luar negara dan tampuk kepimpinan negara telah berubah sekelip mata.

Mereka kembali ke jalanan dengan menjaja nama ” perjuangan rakyat” dan tiba-tiba menjadi hina di mata umum. Berseberangan nasib pula kepada pimpinan PAS, daripada mimbar masjid surau ke koridor kuasa dengan gemerlapan takhta. Segalanya menguji dan meruntun jiwa, ujian kemenangan adalah sangat berlapis.

Penulis teringat akan sosok almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menanggani sikap dan tarikan pesona kepada mandraguna kuasa dan kekuasaan. Apabila PAS memenangi Kelantan dalam PRU 1990, almarhum sentiasa memerhatikan cara hidup pimpinan PAS Kelantan.

Ingatan dalam usrah Qiadi , agar jangan bermegah dan bermewah. Menjadi pimpinan adalah pelayan rakyat, jangan rakus membesarkan rumah kediaman, menukar kenderaan mewah, menambah koleksi bini , berwisata keluar negara dengan keluarga dalam keadaan rakyat mengikat perut.

Almarhum Ayah Ziz memberikan cadangan kepada pimpinan agar mengamalkan puasa sunat dengan serius. ” kita ni,kalau makanan halal pun kita tak makan, takkan makanan haram kita akan makan” pesannya lirih kepada para pimpinan.

Kurikulum tersembunyi daripada puasa sunat isnin khamis begitu sekali menatijahkan impak besar kepada pimpinan kerajaan Kelantan. Selama tiga dasawarsa, PAS memerintah Kelantan tanpa adanya sabitan kes SPRM. Puasa sunat menghancurkan obsesi kuasa , menjadikan jasad sihat serta menyelimutkan akhlak mulia kepada pengamalnya.

” comel cincin anta cikgu” tegur Almarhum Tok Guru kepada ADUN Limbungan, Drs Cikgu Zainuddin Awang Hamat sambil matanya tepat memandang jari aktivis dakwah itu. ” ini hadiah seorang sahabat Tok Guru” tukas Cikgu Din, anggota legislatif yang kuat bekerja di Kelantan. ”

Ana menangis apabila teringat pesanan Tok Guru..almarhum sangat memerhati cara gaya wakil-wakil rakyat PAS Kelantan” ujar Cikgu Din dalam satu program di Besut. Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah meninggalkan kita semua dengan seribu kebaktian dan keteladanan.

Syahdu menggamit relung hati kami pada hari ini apabila Tuan Guru Presiden PAS yang kami mesrai dengan panggilan Ayah Chik berpesan kepada semua Menteri ,Timbalan Menteri dan seluruh pimpinan agar menjaga cara hidup.

Murabbi ini tidak mahu meletakkan dirinya dalam barisan kabinet, beliau memantau anak-anak buah bekerja dalam kabinet. Pesan Ayah Chik agar semua pimpinan PAS kena pastikan isteri dijaga dengan baik,tidak menunjuk-nunjuk kepada orang kampung. Memperagakan kekayaan adalah sikap yang jelek, apatah lagi kepada pimpinan gerakan Islam.

Suasana bening seketika, seolah memotong keseronokan kami bermesyuarat di era kemenangan .

Ayah Chik menarik nafas yang bergelombang , “hargai anak-anak buah, pengikut kerana ada yang hidupnya susah berjuang”‚Ķbergetar suara dan sebak Ayah Chik , suara kembali lirih sambil mengesat mata dengan tisu seputih salju yang dikeluarkan daripada kotak di atas meja. Allahu, saat ini akan kukenang sampai kapan pun.

Kami semua diam tak berkutik diingatkan oleh murabbi Presiden. Jawatan bukan kemuliaan namun ianya satu tanggungjawab, ada kira bicara diakhirat disamping ahli-ahli jamaah melakukan observasi.

Menarik juga apabila Dato’ Takiyuddin memaklumkan bahawa Pak Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik akan memotong sejumlah besar gaji asas mereka kepada Jamaah dan parti. Itulah PAS, bergerak di dalam harakatul ummah ini sentiasa kita diingatkan dengan hari akhirat.

Kami berusrah Qiadi dan bermesyuarat Pusat kali ini dengan sebahagian teman-teman pimpinan adalah anggota kabinet Malaysia dan penjawat jawatan politik kanan seperti Setiausaha Politik dan pegawai Khas.

Moga kuasa dan kekuasaan tidak menggerus keperibadian pimpinan PAS. ” the power is sweet” ujar politikus tanpa kitab, mandraguna kuasa adalah sangat menggerunkan!.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 14/3/2020