Pemuda saran MB lantik pemimpin teknokrat

- Advertisement -

IPOH: Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu atas pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang ke-13.

- Advertisement -

Beliau dalam satu kenyataan menyarankan kepada Menteri Besar Perak itu agar dapat membuat perubahan yang baik kepada rakyat dengan membawa masuk tenaga teknokrat ke dalam kerajaan negeri.

Beliau juga mengharapkan perubahan dibuat secara menyeluruh kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum disamping turut mengketengahkan keterlibatan anak muda secara langsung.

“Kita berharap agar Menteri Besar bersikap terbuka dengan melibatkan golongan anak muda dalam membangunkan negeri Perak. Anak muda adalah masa hadapan tanah air.

“Oleh itu, sebarang usaha melibat sama, memperkasa dan merancang pembangunan anak muda secara tidak langsung bertujuan menjaga masa hadapan negeri Perak. Marilah bersama-sama kita membina dan membangunkan negeri Perak yang lebih sejahtera,” ujarnya.  

Pemuda PAS Perak turut mengajak seluruh rakyat supaya bersikap terbuka, berlapang dada, sekali gus memberi sepenuh sokongan dan dokongan kepada Menteri Besar dan pasukan yang akan dibentuk dalam tempoh terdekat.

Pada petang semalam, Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah telah berkenan untuk melantik Faizal Azumu selepas berlaku perubahan sokongan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

Blok parti politik yang berjaya membentuk gabungan baharu kerajaan di peringkat Persekutuan turut mengukuhkan Perikatan Nasional di Perak antara PAS, Umno dan BERSATU. – HARAKAHDAILY 14/3/2020

- Advertisement -