Agensi k’jaan turun padang mudahkan penduduk

- Advertisement -

LARUT: Urusan agensi kerajaan secara turun padang dengan membuka kaunter perkhidmatan kepada penduduk terutama di luar bandar yang jauh dari premis rasmi berkaitan sememangnya amat membantu rakyat.

- Advertisement -

Hal demikianlah dapat disaksikan pada inisiatif program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Komuniti Kampung yang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Orang Ramai Kampung Bagan Bharu, di sini kelmarin.

Menerusi program ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk memperbaharui cukai jalan, insuran dan lesen memandu, bahkan lebih 100 motosikal telah tamat tempoh cukai jalan melebihi hingga 15 tahun berjaya dihidupkan juga.

Program dari pagi hingga ke petang ini ternyata telah menjadi kemudahan buat penduduk yang rata-rata juga memberi reaksi positif dan harapan agar lebih banyak perkhidmatan dan urusan seumpama diadakan seperti ini.

ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahya ketika ditemui sempena program ini memaklumkan untuk program seumpama diperluaskan lagi di lebih banyak lokasi dalam kawasan ini agar penduduk mendapat manfaat dan menyelesaikan urusan berkaitan.

Ustaz Khalil pada hari sama turut mengadakan ramah mesra bersama penduduk di Kampung Batu 20 Jelai, Batu Kurau dan menghadiri jamuan rakyat serta tahlil dan penerangan isu, selain mendengar permasalah penduduk. – HARAKAHDAILY 14/3/2020

- Advertisement -