‘Wang Ehsan’ pesakit Covid-19-Dr Khairuddin

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kerajaan Malaysia menyediakan bantuan ‘wang ehsan’ kepada pesakit positif wabak Covid-19, di kalangan rakyat khasnya pekerja yang terjejas jangkitan wabak ini.

- Advertisement -

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kabinet kerajaan telah membincangkan peruntukan bagi pengidap Covid-19.

Menurutnya, peruntukan wang ehsan itu hanya akan diberikan kepada pengidap virus tersebut di kalangan rakyat biasa, yang bekerja tidak bergaji seperti pegawai kerajaan.

“Dalam mesyuarat kabinet baru ini ada dibincangkan tentang ‘wang ehsan’. PM (Perdana Menteri) pun ada sebut dalam sidang media selepas kabinet baru ini.

“Ada (wang) ehsan yang diberi kepada bukan pegawai kerajaan. Peruntukan itu ada, Insya’Allah. Wang Ehsan itu akan diberi kepada mana-mana orang yang terkesan dengan virus Covid-19.

“Kalau kena mereka tak boleh pergi kerja. Orang yang kerja kerajaan sudah ada gaji tapi yang tak kerja kerajaan mereka tak ada gaji. Itu (wang ehsan) untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rakyat sempena pelantikan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, di Dewan Serbaguna, Kampung Baru Seberang Takir, hari ini.

Namun, Dr Khairuddin yakin negara dan ekonomi akan kembali meningkat dengan lebih baik setelah pulih dari virus Covid-19.

Menurutnya, penyakit bawaan virus Covid-19 itu merupakan ujian dari Allah SWT yang akan membawa kebaikan selepas itu.

“Kita akan teruskan kerja kita. Jika kita boleh meningkatkan apa yang kita ada itu terbaik. Sakit (Covid-19) ini satu ujian. Allah akan memberi gandaan (kebaikan) selepas ini, Insya’Allah.

“Yakinlah Covid-19 ini ujian yang Allah berikan kepada kita untuk menambahkan lagi rezeki kita dimasa akan datang. Setelah berakhirnya Covid-19, negara akan pulih dan ekonomi kita akan naik semula,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Berdasarkan sumber maklumat terkini, statistik daripada Worldometer bahawa kadar kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini hampir mencecah 5,000 mangsa dengan jangkitan positif sebanyak 134,720 kes.

Pada majlis jamuan itu, lebih 2,000 penduduk setempat di Kampung Baru Seberang Takir yang merupakan kampung kelahiran beliau bagi meraikan pelantikannya sebagai menteri. – HARAKAHDAILY 13/3/2020

- Advertisement -