Peranan dan sumbangan wanita dalam ilmu Hadis

- Advertisement -

ISLAM adalah agama yang sangat menitikberatkan soal ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Sebab itu wahyu pertama Surah al Alaq menekankan berkaitan ilmu. Dan perintah ini ditujukan kepada seluruh umat manusia termasuk kaum wanita yang tidak dinafikan mempunyai peranan yang cukup besar dalam masyarakat.

- Advertisement -

Bermula pada zaman Rasulullah S.A.W, wanita menjadi perawi Hadis dan terlibat dalam penyebaran hadis. Sebagai perawi, wanita tidak berbeza dengan lelaki kerana syarat utama yang menentukan kesahihan sesebuah hadis tidak berdasarkan jantina.

Melalui kajian Dr Akram Nadwi, dalam sejarah tidak ada mana-mana perawi wanita yang dituduh pernah memalsukan Hadis. Ini membuktikan wanita mempunyai reputasi yang baik sebagai orang yang adil, benar dan dipercayai.

Menyanggah Persepsi

Kemunculan wanita sebagai seorang ulama yang arif dalam bidang agama telah mengejutkan ramai pihak terutama dunia Barat.

Jelas, kedudukan wanita di dalam Islam bukanlah seperti yang disangkakan sebagai golongan yang tertindas dan dianiaya. Malah mereka juga adalah ilmuwan dan agamawan yang dijadikan tempat rujukan.

Apa yang menarik, wanita yang digelar muhaddithat ini hanya menjalankan tanggungjawab mereka berdasarkan panduan Islam tanpa agresif menyerang lelaki mahupun mengangkat diri mereka menjadi golongan yang lebih baik daripada yang lain.

Peranan Proses Ilmu

Keberjayaan muhaddithat dalam memelihara hadis terbukti melalui dua cara iaitu hafazan dan penulisan. Mereka bukan sahaja mempelajari hadis bahkan mengajar hadis di rumah secara peribadi. Mereka juga adalah guru kepada ulamak-ulamak Hadis yang terkenal sehingga ke hari ini.

Terdapat empat fasa penting dalam sejarah perkembangan muhaddithat.

▪️ Pada kurun pertama dan kedua selepas hijrah, ramai wanita meriwayatkan hadis dalam kalangan sahabat dan tabi’in.

▪️ Pada kurun kedua sehingga kurun kelima selepas hijrah, kuantiti ulama wanita mula mengalami turun dan naik. Dalam masa yang sama, statistik ulama lelaki mencanak naik.

▪️ Pada kurun keenam hingga kesembilan selepas hijrah merupakan fasa kemuncak bagi kegemilangan ulamak wanita. Jumlah mereka berkembang pesat pada awalnya tetapi mula menurun pada kurun kesembilan.

▪️ Pada kurun kesepuluh sehingga kurun kelima belas selepas hijrah menunjukkan penurunan yang ketara ulamak dalam pengajian Islam termasuk Hadis.

Berdasarkan sejarah perkembangan ini, Islam tidak menyekat hak kebebasan wanita malah membuka pintu seluas-luasnya kepada para wanita untuk mendalami ilmu. Bahkan peranan ibu, isteri dan anak bukan penghalang utama untuk menjadi seorang yang berilmu.

Kritikan Terhadap Misologi

Era abad ke 20, Guillaume adalah antara Orientalis pertama membahaskan Hadis berkaitan wanita daripada perspektif negatif. Beliau juga antara orang yang menyokong idea Goldziher dalam menolak Hadis. Dalam bukunya bertajuk The Traditions of Islam (1966), beliau memilih lima hadis berkaitan karakter dan peranan wanita yang dianggap sebagai diskriminasi terhadap wanita.

Walaupun Guillaume menekankan lebih banyak mengenai isu kepalsuan hadis, beliau secara tidak langsung membincangkan bahawa wacana misogini boleh ditemui dalam hadis Nabi S.A.W, sama ada secara langsung mahupun tidak.

Hal yang sama juga dibahaskan oleh beberapa Feminis. Mereka berpendapat bahawa Islam adalah agama yang menyekat hak dan kebebasan wanita. Fahaman Islam dituduh menggalakkan kecenderungan terhadap diskriminasi jantina dan menunjukkan keutamaan kepada lelaki berbanding wanita.

Istilah misogini dalam Hadis muncul kerana ia selari dengan sistem sosial patriarki yang mana lelaki mendominasi hirarki dalam institut agama dan dipengaruhi budaya patriarki.

Walhal sebenarnya jika diteliti hadis yang berkaitan isu wanita mempunyai peratus yang kecil berbanding hadis lain.

Dan kerna itu ulama meletakkan garis panduan bahawa ada beberapa hadis yang tidak boleh difahami secara literal. Ia perlu menggunakan kaedah berbeza. Kaedah itu adalah dengan menggunakan pendekatan kontekstualisasi dalam memahami teks agama.

Konklusi

Dalam sejarah Islam, pengiktirafan tertinggi dan solid diberikan kepada golongan wanita. Islam memperkasakan (empowering) dan mengiktiraf kedudukan wanita melalui keupayaan mereka dalam cabang ilmu. Bahkan dalam cabang yang lain juga sama.

Ini sangat jauh berbeza dengan cara (empowerment) tajaan Barat melalui gerakan Feminisme. Kononnya mahu membebaskan wanita dari cengkaman patriarki tetapi slogan-slogan yang diangkat ketika berarak meletakkan isu wanita tidak lebih seputar isu seksualiti dan desakan untuk menurut hawa nafsu semata. Pada mereka, wanita hanya berkuasa apabila bebas melakukan apa sahaja. Sekalipun memalukan dan merendahkan martabat dan moral diri sendiri.

Ketahuilah, kemuliaan hanya ada dalam Islam kerana Islam mengajar manusia untuk tidak bertuhankan nafsu. Bertakwalah. Hanya dengan itu sahaja, wanita mahupun lelaki akan menjadi mulia dan kekal mulia.

Sebagaimana firman Allah Taala:

إن أكرمكم عند الله أتقكم
“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di kalangan kamu.”

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 13/3/2020

- Advertisement -