Pakaian patuh syariah akan dibincang dengan Menteri Agama

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff akan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Agama bagi membincangkan tentang pemakaian patuh syariah bagi pramugari.

“InsyaAllah dengan kerajaan yang ada ini, saya akan buat kunjungan hormat ke pejabat Menteri Agama (Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri). Saya yakin perkara ini pun sudah ada dalam agenda mereka.

“Kita juga perlu kepada pindaan undang-undang terutama Akta Kerja jika melibatkan kakitangan yang bekerja, supaya polisi patuh syariah itu dilaksanakan dalam pentadbiran negara kita.

“Ia bagi orang Islam sahaja, bagi orang bukan Islam, berpakaian sopan, kita tak paksa,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan makanan kepada mereka yang memerlukan di Pejabat Agung PAS, di sini hari ini.

Berkata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, kementeriannya akan cuba untuk merealisasikan pelaksanaan pemakaian patuh syariah di negara ini.

Hal ini katanya kerana menutup aurat itu satu kewajipan bagi umat Islam.

Jelasnya, beliau pernah mendapat aduan daripada pramugari bahawa mereka tidak selesa dengan pakaian yang singkat dan ketat, masyarakat pun tidak bersetuju dengan pemakaian seragam pramugari yang begitu mencolok mata.

Ditanya adakah kunjungan hormat turut akan diadakan ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan perkara yang sama, katanya ia akan dibincangkan. – HARAKAHDAILY 13/3/2020

- Advertisement -