MB: Mukhriz sebaiknya serah kepada PAS

- Advertisement -

ALOR SETAR: Rakyat di negeri ini mula menyuarakan supaya PAS segera diberi peluang untuk mengemudikan kerajaan susulan situasi yang seakan buntu melanda politik Kedah sejak minggu lalu.

- Advertisement -

Amran Bakar, 40, dari Jitra berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir perlu melepaskan jawatan apabila beliau dilihat tidak mampu lagi menguasai parti-parti politik dalam Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, seluruh negara tahu partinya sendiri, BERSATU telahpun keluar meninggalkan gabungan itu bulan lalu.

“Bagaimana dia nak terus berfungsi sebagai Menteri Besar kalau anggota EXCO bawah pimpinannya adalah daripada satu gabungan yang diketuai oleh orang lain, sedangkan parti dia bergerak secara tunggal di luar gabungan itu?

“Saya tidak fikir Mukhriz mampu jadi Menteri Besar yang berkesan dalam situasi seperti ini, apatah lagi (Dato’) Johari Abdul (Pengerusi PH Kedah) juga ada cita-cita nak jadi Menteri Besar. Mereka bersaing dan PH hanya berpura-pura sokong Mukhriz,” ujarnya.

Mesyuarat PH Kedah pada 6 Mac lalu yang dihadiri pimpinan PKR, DAP dan PAN, melantik Johari sebagai Pengerusi PH Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz.

Johari yang juga Pengerusi PKR Kedah menyatakan perubahan kepimpinan itu tidak dapat dielak kerana BERSATU kini tidak lagi berada dalam koalisi PH.

Umum mengetahui ADUN Gurun yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani itu adalah pesaing Mukhriz bagi jawatan Menteri Besar ketika sama-sama berada dalam PH.

Mukhriz yang partinya, BERSATU sekadar memiliki enam kerusi DUN kini terpaksa mengharapkan sokongan daripada tujuh ADUN PKR, empat PAN dan dua wakil DAP untuk kekal sebagai Menteri Besar.

Kelmarin, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu wartawan beberapa ADUN PH dijangka akan mengisytihar sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Hal itu maklumnya, akan berlaku dalam tempoh terdekat, sekali gus menyebabkan perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri tidak dapat dielak.

PAS kini mempunyai 15 kerusi DUN bersekutu dengan Umno-BN yang memiliki dua kerusi di mana gabungan itu memerlukan dua kerusi sahaja lagi sokongan untuk mengambil alih pemerintahan negeri.

Bagi S. Gunalan dari Lunas, PAS walaupun dikenali sebagai parti Islam, tetapi mempunyai rekod yang sangat baik semasa memerintah negeri ini antara 2008 hingga 2013.

“Saya sendiri bukan Islam tetapi saya tidak nampak kami hidup ada masalah semasa (Tan Sri) Ustaz Azizan (Abdul Razak) jadi Menteri Besar. Kita semua ok saja,” katanya.

Dari segi pembangunan, kata Gunalan, dia melihat usaha yang dilakukan oleh Azizan adalah jauh lebih baik berbanding Menteri Besar lain, termasuk Mukhriz.

“Mukhriz sudah dua kali diberi peluang, apa yang dia buat?,” soalnya.

Ahli perniagaan, Ng Chye Soon dari Serdang menegaskan, kemelut politik tidak boleh dibiarkan sampai menjejaskan kehidupan rakyat.

“Saya sendiri setuju kalau PAS memerintah. Masa 2008 dulu kita tidak nampak apa masalah pun. Semua perkara berjalan dengan baik. Kita berniaga pun ok,” katanya.

Manakala, Sitianida Ali Musa dari Baling juga mengharap adanya Menteri Besar baharu untuk negeri ini setelah Mukhriz baginya telah gagal menjalankan peranan membawa pembangunan yang diperlukan oleh rakyat Kedah.

“Apa yang dia bawa? Cerita pasal airport (lapangan terbang) Kulim tak nampak apa pun! Yang lain pun tidak ada. Harap cerita saja sedangkan dia sudah dua kali diberi peluang, daripada zaman Umno (BN) sampai zaman PH.

“Kedua-duanya sebagai Menteri Besar daripada parti  yang juga pemerintah Pusat tapi tidak ada apa yang dibawa sedangkan Kedah antara negeri yang paling miskin di negara kita,” katanya.

Nazri Ishak dari Mahang, Kulim berkata, Mukhriz tidak harus memberikan alasan untuk menepis kegagalannya menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Kedah.

“Masa BN dulu, dia beri alasan masalah dengan (Dato’ Seri) Najib (Tun Razak). Selepas itu, bapa dia sendiri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) Perdana Menteri, pun kita tidak nampak apa pun perubahan yang dia bawa.

“Kalau sekarang dia nak terus pegang jawatan dengan alasan masalah dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) pula, atau masalah dengan PH Kedah, saya fikir lebih baik dia lepaskan saja jawatan itu kepada PAS.

“Orang Kedah kata, kalau sudah tahu tak boleh, buat apa nak ‘terak’ pi jugak? Ustaz Azizan dulu, negeri pembangkang… pun macam-macam dibuat. Ini bezanya ikhlas dengan tak ikhlas nak berkhidmat untuk rakyat, atau sekadar nak pegang jawatan,” katanya.

Menurut Nazri, dalam keadaan sekarang, Mukhriz perlu lebih mengutamakan kepentingan rakyat, bukan diri sendiri. – HARAKAHDAILY 13/3/2020

- Advertisement -