Islam dan bala wabak penyakit

- Advertisement -

PERINGATAN berlaku dengan ketentuan Allah

Tidak ada perkara yang berlaku di atas muka bumi ini melainkan semua dalam ilmu Allah dan di atas ketentuan-Nya. Ini iktikad yang dipegang oleh umat Islam. Menjadikan umat Islam sentiasa bergantung harap pada Allah dan tidak merasai untuk ‘bebas’ dari qadha’ dan qadar-Nya.

Sehinggakan dalam membicarakan wabak penyakit yang melanda sebagai musibah di serata dunia juga adalah berlaku dengan izin Allah walau atas sebab musabab tertentu.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۗ وَمَن يُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ يَہۡدِ قَلۡبَهُ ۥ‌ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬

“Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah.”

[al-Taghabun: 11]

Bila keyakinan dipasak, maka iktikad umat Islam wajar kembali kepada Allah. Sebagaimana Allah S.W.T Maha Berkuasa menurunkan bala musibah, maka Dia jualah Maha Berkuasa menghilangkan musibah itu.

Wabak penyakit menjadi bala diturunkan secara kolektif

Kadang kala menjadi persoalan di benak fikiran manusia seperti mengapa mereka turut terkena bala sedangkan yang melakukannya kekufuran dan kezaliman adalah pihak lain dan di tempat lain.

Jika tidak difahami dengan jelas boleh menjadikan seseorang tersebut seakan tidak redha akan ketentuan Allah sekali gus tidak bermuhasabah dengan apa yang berlaku.

Hakikatnya, ada bala yang ditimpakan oleh Allah S.W.T secara kolektif kerana beberapa sebab sebagai pengajaran atas manusia itu sendiri, antaranya:

(1) Tidak peduli kerosakan yang berlaku di sekeliling mereka tanpa usaha membantu dan mencegah.
(2) Sebagai peringatan umum agar sedia maklum maksiat, kemungkaran, kezaliman yang sedia ada tersebut dimurkai oleh Allah.
(3) Membangkitkan rasa keinsafan ke atas umat untuk melakukan sesuatu bagi memperbaiki keadaan setelah kerosakan yang dilakukan sebelumnya.

Firman Allah S.W.T:

وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬‌ۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”

[al-Anfal: 25]

Ditimpa mengejut agar manusia taubat

Bala Allah kadang menimpa dalam keadaan mengejut tanpa manusia menjangkakan. Ini kerana ilmu manusia terbatas dan balasan ditimpakan atas kelalaian yang berlaku kerana sibuk dengan habuan, keseronokan dan sebagainya.

Ia juga membuktikan manusia lemah walau mendakwa memiliki kecanggihan teknologi dengan kemajuan yang sentiasa berkembang. Ini kerana bukan semua yang berlaku dalam jangkaan pengetahuan manusia itu.

Firman Allah S.W.T:

فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦ فَتَحۡنَا عَلَيۡهِمۡ أَبۡوَٲبَ ڪُلِّ شَىۡءٍ * حَتَّىٰٓ إِذَا فَرِحُواْ بِمَآ أُوتُوٓاْ أَخَذۡنَـٰهُم بَغۡتَةً۬ فَإِذَا هُم مُّبۡلِسُونَ

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).”

[al-An’aam: 44]

Lantaran itu, dengan bala yang menimpa hakikatnya agar manusia sedar dan kembali kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:

أَوَلَا يَرَوۡنَ أَنَّهُمۡ يُفۡتَنُونَ فِى ڪُلِّ عَامٍ۬ مَّرَّةً أَوۡ مَرَّتَيۡنِ ثُمَّ لَا يَتُوبُونَ وَلَا هُمۡ يَذَّڪَّرُونَ

“Dan mereka tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan pelbagai ujian) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat (serta insaf)?”

[al-Taubah: 126]

Ikhtiar kita mesti menjauhi, mengekang dari menular

Tindakan yang mesti diambil ialah melakukan pencegahan agar wabak penyakit yang sedia ada tidak menular sehingga menjadikan keadaan lebih parah.

Ia bukanlah bermaksud kita menolak ketentuan Allah malah ia merupakan kewajipan dalam usaha kita sebagai hamba kepada-Nya mencari keselamatan dan kebaikan yang juga diperintahkan dalam Islam.

Menjadi kesalahan dan kefahaman yang menyeleweng apabila ditimpa musibah seperti wabak penyakit kita hanya berdiam diri dan kononnya ‘tawakal’ sedangkan tiada usaha yang dilakukan bagi menanganinya.

Lihat bagaimana kisah yang berlaku di zaman Sayiduna Umar al-Khattab mengenai terdapat wabak penyakit di wilayah Syam dengan diambil tindakan tidak memasuki perkampungan yang terdapat wabak penyakit itu. Dalam masa yang sama, manusia yang dalam perkampungan tersebut tidak keluar, iaitu dikuarantinkan.

Secara lengkap kisah tersebut, rujuk di bawah ini:

عن ‏ ‏عبد الله بن عباس أن ‏ ‏عمر بن الخطاب ‏ ‏خرج إلى ‏ ‏الشام ‏ ‏حتى إذا كان ‏ ‏بسرغ ‏ ‏لقيه أهل الأجناد ‏ ‏أبو عبيدة بن الجراح ‏ ‏وأصحابه فأخبروه أن الوباء قد وقع ‏ ‏بالشام

‏ ‏قال ‏ ‏ابن عباس ‏ ‏فقال ‏ ‏عمر ‏ ‏ادع لي ‏ ‏المهاجرين ‏ ‏الأولين فدعوتهم فاستشارهم وأخبرهم أن الوباء قد وقع ‏ ‏بالشام ‏ ‏فاختلفوا فقال بعضهم قد خرجت لأمر ولا نرى أن ترجع عنه

وقال بعضهم معك بقية الناس ‏ ‏‏وأصحاب رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ولا نرى أن تقدمهم على هذا الوباء فقال ‏ ‏ارتفعوا ‏ ‏عني

ثم قال ادع لي ‏ ‏الأنصار ‏ ‏فدعوتهم له فاستشارهم فسلكوا سبيل ‏ ‏المهاجرين ‏ ‏واختلفوا كاختلافهم فقال ‏ ‏ارتفعوا ‏ ‏عني ثم قال ادع لي من كان هاهنا من مشيخة ‏ ‏قريش ‏ ‏من مهاجرة الفتح فدعوتهم فلم يختلف عليه رجلان فقالوا نرى أن ترجع بالناس ولا تقدمهم على هذا الوباء فنادى ‏ ‏عمر ‏ ‏في الناس إني مصبح على ‏ ‏ظهر ‏ ‏فأصبحوا عليه

فقال ‏ ‏أبو عبيدة بن الجراح ‏ ‏أفرارا من قدر الله فقال ‏ ‏عمر ‏ ‏لو غيرك قالها يا ‏ ‏أبا عبيدة ‏ ‏وكان ‏ ‏عمر ‏ ‏يكره خلافه نعم نفر من قدر الله إلى قدر الله أرأيت لو كانت لك إبل فهبطت واديا له ‏ ‏عدوتان ‏ ‏إحداهما خصبة والأخرى ‏ ‏جدبة ‏ ‏أليس إن رعيت الخصبة رعيتها بقدر الله وإن رعيت ‏ ‏الجدبة ‏ ‏رعيتها بقدر الله ‏

‏قال فجاء ‏ ‏عبد الرحمن بن عوف ‏ ‏وكان متغيبا في بعض حاجته فقال إن عندي من هذا علما سمعت رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يقول:

” ‏ ‏إذا سمعتم به بأرض فلا تقدموا عليه وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه”

قال ‏ ‏عمر بن الخطاب فحمد الله ‏ ‏ثم انصرف ‏

“Hadis Abdullah bin Abbas R.A: Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para pengikutnya.

“Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para Sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam.

“Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para Sahabat Rasulullah S.A.W, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini.

“Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para Sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para Sahabat Muhajirin.

“Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini.

“Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah?

“Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain.

“Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga?

“Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini.

“Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya.

“Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu.”

Wajib berdoa dan mengharapkan kesembuhan dari Allah

Umat Islam juga wajib dalam keadaan penularan wabak serta usaha pencegahan yang dilakukan untuk terus berdoa dan memohon penyembuhan dari Allah S.W.T.

Manusia hanya mampu berusaha namun hakikatnya Allah jualah yang memberikan kesembuhan.

Firman Allah S.W.T:

وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ یَشۡفِینِ

“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.”

[As-Shu’ara: 80]

Al-Quran memaparkan kisah Nabi Ayub yang diuji Allah dengan penyakit yang kronik. Walhal Baginda seorang utusan-Nya namun tetap diuji sebagai menaikkan makam kemuliaan Baginda di sisi Allah serta dirakamkan sebagai pedoman untuk seluruh umat.

Pedoman penting yang ditunjukkan menerusi kisah tersebut ialah perasaan Nabi Ayub yang meletakkan sepenuh kebergantungan pada Allah mengharapkan bantuan dan penyembuhan ke atas penyakit yang menimpa dirinya.

Firman Allah S.W.T:

۞ وَأَیُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥۤ أَنِّی مَسَّنِیَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّ ٰ⁠حِمِینَ * فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُۥ فَكَشَفۡنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرࣲّۖ وَءَاتَیۡنَـٰهُ أَهۡلَهُۥ وَمِثۡلَهُم مَّعَهُمۡ رَحۡمَةࣰ مِّنۡ عِندِنَا وَذِكۡرَىٰ لِلۡعَـٰبِدِینَ

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).”

[Al-Anbiya’: 83 – 84]

Bala bagi yang kufur dan zalim

Wabak penyakit menjadi ketakutan dan panik manusia secara ramai kerana sifat wabak adalah menular iaitu berpindah dari seseorang ke seseorang. Ia berjangkit menerusi medium yang ada berdasarkan kriteria penyakit tertentu itu.

Malah wabak penyakit juga antara hukuman dan bala ke atas golongan yang kufur dan zalim serta melampaui batas. Akhir perbuatan jahat mereka ditimpakan hukuman oleh Allah dengan pelbagai bentuk bala di antaranya juga ialah wabak penyakit yang mengakibatkan ketakutan dan ancaman.

Allah menjelaskan di dalam al-Quran mengenai balasan bagi mereka yang kufur kepada Allah sebagaimana berikut:

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ قَرۡيَةً۬ ڪَانَتۡ ءَامِنَةً۬ مُّطۡمَٮِٕنَّةً۬ يَأۡتِيهَا رِزۡقُهَا رَغَدً۬ا مِّن كُلِّ مَكَانٍ۬ * فَڪَفَرَتۡ بِأَنۡعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَٲقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلۡجُوعِ وَٱلۡخَوۡفِ بِمَا ڪَانُواْ يَصۡنَعُونَ

“Dan Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu (tidak bersyukur), maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

[al-Nahl: 112]

Allah juga menjelaskan bahawa balasan yang ditimpakan itu hasil apa yang mereka sendiri ‘undang’ dengan melakukan sesuatu yang dimurkai oleh Allah dan kezaliman mereka.

Walau sewaktu hidup di dunia mereka memiliki kehebatan namun mereka tidak akan mampu melemahkan Allah atau menyekat kuasa Allah dari menimpakan ke atas mereka dengan sesuatu.

Firman Allah S.W.T:

وَمَآ أَصَـٰبَڪُم مِّن مُّصِيبَةٍ۬ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِيكُمۡ وَيَعۡفُواْ عَن كَثِيرٍ۬ * وَمَآ أَنتُم بِمُعۡجِزِينَ فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۖ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ۬ وَلَا نَصِيرٍ۬

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu musibah, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan musibah, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi; dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.”

[al-Syura: 30-31]

Bagi umat Islam, ia bersifat ujian penghapus dosa

Asasnya kehidupan di dunia ini pasti tidak sunyi dari ujian Allah. Sama ada berupa ujian kesenangan atau juga ujian berbentuk musibah dalam apa jua jenis gambarannya.

Firman Allah S.W.T:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

[al-Baqarah: 155]

Sehubungan itu, bagi orang Islam ujian yang dikenakan itu, bersangka pada Allah ia menjadi penghapus dosa. Dalam masa yang sama wajib berusaha mencegah dan mengubat dengan ikhtiar dan usaha yang ada.

Sabda Rasulullah S.A.W :

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ.

“Tidaklah sesuatu menimpa seorang Muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/3/2020

- Advertisement -