Ibrah Kahfi: Peranan Sang Penguasa

- Advertisement -

POLITIK di Malaysia menghadapi satu situasi yang cukup tegang apabila berlakunya perubahan tampuk pemerintahan negara berikutan isu peralihan Perdana Menteri yang cukup hangat dimainkan yang akhirnya diselesaikan oleh pihak Istana dengan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan Tun Dr Mahathir.

- Advertisement -

Penulis bukanlah ingin mengulas lanjut berkenaan isu peralihan kuasa yang berlaku tetapi akan mengulas serba sedikit berkenaan peranan penguasa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan kisah Zulkarnain dalam surah al-Kahfi.

Mencegah kezaliman

Peranan utama penguasa dalam pemerintahan adalah mencegah kezaliman yang berlaku dalam masyarakat.

Zulkarnain telah diberikan pilihan tindakan yang harus diberikan kepada dua jenis golongan iaitu golongan yang melakukan kebaikan dan golongan yang melakukan kezaliman.

Tindakan Zulkarnain menghukum golongan yang berbuat zalim adalah bukan untuk melepaskan geram tetapi untuk melahirkan kegerunan terhadap masyarakat supaya tidak melakukan kezaliman.

Memahami denyut nadi rakyat

Diceritakan lagi jalan lain yang dilalui Zulkarnain adalah apabila beliau bertemu dengan satu kaum yang percakapannya sukar difahami.

Disebutkan oleh Syeikh Mutawalli Sya’rawi, sehinggakan mereka terpaksa menggunakan bahasa isyarat bagi menyampaikan bebanan yang mereka tanggung supaya diselesaikan oleh Zulkarnain.

Namun tegas syeikh lagi, sikap Zulkarnain bukanlah meninggalkan mereka walaupun boleh sahaja beralasan sedemikian, tetapi Zulkarnain bekerja keras untuk memahami apa masalah yang ingin disampaikan oleh rakyat bawahan.

Menyelesaikan pokok permasalahan rakyat

Setelah Zulkarnain memahami dengan baik permasalahan rakyatnya, lalu diberikan satu solusi untuk menyelesaikannya.

Walaupun diutarakan cadangan kepada Zulkarnain, tetapi tidaklah ditolak secara mentah cadangan mereka melainkan dengan memberi hujjah dan cadangan yang lebih baik.

Penelitian mendalam dibuat oleh Zulkarnain dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat lalu dibinalah sebuah tembok yang kukuh dan dapat menahan daripada goncangan yang akan dibuat oleh Yakjuj dan Makjuj.

Sekiranya difikirkan secara logik, terima sajalah cadangan rakyat untuk memudahkan kerja tetapi tidak dilakukan Zulkarnain kerana tugas penguasa adalah menyelasaikan pokok masalah rakyat bukannya bekerja untuk rakyat.

Berintegriti

Dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan rakyat, Zulkarnain telah ditawarkan bayaran sebagai upah tetapi telah ditolak olehnya.

Disebutkan Syeikh, Zulkarnain menolak upah yang diberikan adalah kerana meyakini bahawa rezeki itu daripada Allah S.W.T dan bukanlah daripada tugasan pangkatnya.

Sikap sebegini wajib dipunyai dalam diri pemimpin supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan jawatan yang ada untuk mencari kekayaan duniawi. Kerana jawatan itu adalah amanah, bukannya sumber pendapatan.

Mengenali potensi rakyat

Zulkarnain yang merupakan pemerintah bukanlah menjelajah bersendirian malah dilengkapi dengan kekuatan tentera yang ramai dan membolehkan beliau menyuruh sahaja tenteranya untuk membuat tembok.

Kata Syeikh, walaupun mempunyai kekuatan sedemikian, Zulkarnain tetap meminta bantuan penduduk sekitar dalam usahanya mengajar dan mengasah potensi yang ada pada rakyat supaya tidak lagi bergantung dengan kekuatan orang lain.

Tidak bersikap angkuh

Setelah Zulkarnain siap membantu rakyatnya, beliau tidak bersikap angkuh dalam mengakui khidmat yang dilakukan malah adalah kurniaan daripada Allah S.W.T.

Kata Syeikh, Zulkarnain merupakan lelaki soleh yang menganggap beliau hanyalah perantara antara rakyat dengan Allah S.W.T untuk memudahkan mereka melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Pengajaran

Pergolakan politik yang berlaku dalam negara tempoh hari menjadikan pengajaran yang cukup penting kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak dan bukanlah hanya pandai bercakap kosong.

Dalam keadaan politik negara yang mengamalkan sistem demokrasi, maka rakyat hendaklah memahami dengan baik peranan penguasa atau pemimpin ini dengan harapan dapat melakukan pertimbangan yang tepat dalam memilih.

Moga Allah merahmati Malaysiaku!

ASYRAF HANIF
13 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 13/3/2020

- Advertisement -