Zahir kesyukuran dengan akhlak dan peribadi baik

- Advertisement -

TAMBUN: Allah S.W.T sudahpun mentakdirkan perjuangan Islam akan menang pada masa yang sesuai seperti dalam ketetapan-Nya dan ia akan senantiasa digerakkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu walau di mana zaman sekalipun.

- Advertisement -

Mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Tuan Guru Sidek Noor berkata demikian dalam pidatonya di program Bicara ‘Baldatun Toyyibatun Warobbun Ghafur’ di Markaz Tarbiah PAS Kawasan Tambun, di sini baru-baru ini.

“Allah Taala nak bagi kita (PAS) menang, boleh dengan bersebab (dan) boleh dengan tidak bersebab. Allah Taala boleh jatuhkan musuh dengan tangan kita dan Allah Taala boleh jatuhkan musuh dengan sebab tangan mereka sendiri.

“Macam main bolalah. Bukan semestinya kita sepak (tendang), masuk. Kadang mereka yang sepak sendiri. Kita bukan sepak pun, kita buat tak tahu ja. Begitulah krisis yang berlaku yang menyebabkan runtuhnya PH,” jelas beliau.

Dikesempatan itu beliau turut menitip pesanan kepada seluruh ahli dan pendokong PAS agar sama sekali tidak bangga dan takbur bahawa kemenangan yang telah diraih ini adalah kerana usaha, kepandaian dan strategi peribadi masing-masing.

Ulas beliau mengingatkan, jawatan merupakan taklifan yang berat dan tidak perlu diminta-minta kerana pastinya apabila jawatan diraih itu adalah datangnya dari amanah rakyat, maka sudah tentu Allah akan menghantarkan Malaikat untuk turut sama membantu.

Tuan Guru Sidek Noor juga berpesan agar ahli PAS dan pendokong Perikatan Nasional memperkuat ukhuwah antara satu sama lain bagi mengelakkan perkelahian kerana jelasnya, antara faktor kejatuhan PH adalah ketandusan kasih sayang sesama mereka dan saling mahu menjatuhkan biarpun dari pakatan yang sama.

“Kemenangan ini nikmat dari Allah. Sesungguhnya nikmat itu adalah liar, maka tambahlah ia (nikmat) dengan syukur. Zahirkan kesyukuran kita untuk membawa masyarakat pada Allah dengan akhlak dan peribadi yang baik,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -