PAS tiada masalah wakil kecil dalam kabinet

- Advertisement -

PUTRAJAYA: PAS tiada masalah meskipun mempunyai bilangan wakilnya dalam kabinet lebih kecil berbanding parti lain, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar berkata, apa yang penting adalah kerjasama yang baik daripada parti komponen bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang diharapkan rakyat Malaysia.

“Apa yang penting kita bersama parti komponen bagi membentuk sebuah kerajaan yang diharapkan oleh rakyat seluruhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kementeriannya, semalam.

- Advertisement -

Ditanya mengenai gesaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya semua anggota Kabinet mengisytiharkan harta mereka, Tuan Ibrahim memberi jaminan bahawa kesemua 18 ahli parlimen PAS akan berbuat demikian.

“Kita (PAS) setuju bahawa sekarang berada dalam kerajaan dan kita akan isytihar (harta). Ini jaminan saya bahawa seluruh Ahli Parlimen PAS akan isytihar,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya semalam, dilaporkan menggesa semua anggota Kabinetnya mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya.– HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -