PAS bertanggungjawab jayakan Kerajaan Pusat

- Advertisement -

KRISIS politik dan kepimpinan dalam negara telah pun selesai. Dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir dan Kabinetnya pada 24 Febuari lalu telah memberi laluan kepada Yang Dipertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan menjalankan kuasa Baginda melantik Perdana Menteri (PM) Malaysia yang baru.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun dilantik sebagai PM yang ke-8 setelah sokongan diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen PBBM, BN, PAS, GPS, blok Azmin Ali dan beberapa parti kecil lain.

Ternyata Institusi Yang Dipertuan Agong telah berperanan dengan penuh teliti dan tanggungjawab berdasarkan peraturan dan undang-undang negara demi mengelakkan konflik dan ketegangan.

Rakyat menarik nafas lega dengan penyelesaian krisis ini dan rata-rata mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan boleh segera dibentuk dan menjalankan tugasnya membina dan membangun negara. Banyak masa telah dihabiskan oleh orang-orang politik bercakaran angkara kemelut ini, dan ia sesungguhnya telah merugikan semua pihak.

- Advertisement -

Kini semua pihak perlu berlapang dada dan menerima keputusan yang telah dibuat dan ruang seluas-luasnya perlulah diberikan kepada PM baru untuk mengemudi negara dengan pasukannya. Yang kerajaan dan yang membangkang perlu memain peranan masing-masing dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan.

PAS tidak ragu-ragu menyokong PM ke-8 setelah pakatan baru yang dikenali Perikatan Nasional ini menggabungkan parti-parti yang sehaluan dan tidak bermasalah dengan PAS. Yang pentingnya DAP tidak menjadi regu sekali gus bersama PAN dan PKR mereka beralih ke bangku pembangkang.

PAS meletakkan harapan tinggi agar penyertaannya dalam Kerajaan Persekutuan dapat membantu proses pembangunan negara dan dengan permuafakatan yang baik antara parti-parti Perikatan Nasional nasib dan masa depan serta kesejahteraan rakyat dan negara dapat dibela dan diperjuangkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menggariskan bahawa isu kenaikan kos hidup, gejala sosial, cabaran terhadap perpaduan rakyat dan isu pembangunan insan perlu segera diangkat dan diberi perhatian oleh kerajaan.

Perkara-perkara inilah yang kini membelenggu kehidupan rakyat dan langkah segera perlu diambil untuk memastikan ianya segera ditangani.

Tuan Guru turut memohon agar Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada langkah-langkah memulihkan ekonomi negara, mempromosi pendidikan tinggi, merapatkan jurang sosial ekonomi rakyat dan memastikan pembangunan yang seimbang dirancang buat semua negeri dengan prinsip Federalisma sentiasa dihormati.

Ternyata dengan pendirian ini rakyat dapat melihat bahawa PAS berjuang untuk kepentingan semua termasuklah masyarakat berbilang kaum dan agama. PAS telah sedia punya rekod memerintah dua buah negeri, dan melalui rekod itu rakyat sebenarnya boleh melihat betapa keadilan terjamin buat semua rakyatnya dan tidak pernah ada diskriminasi atau tekanan dikenakan kepada mana-mana pihak apatah lagi golongan minoriti bukan-Melayu.

Kini dengan penyertaannya dalam Kerajaan Persekutuan, PAS akan mengenengahkan pimpinannya yang berkualiti, bersih, berkelayakan dan ternyata punya komitmen memimpin berasaskan prinsip Islam yang merupakan dasar perjuangannya.

Adalah diharapkan dengan penonjolan pimpinan PAS dalam Kabinet dan kerajaan, rakyat jelata dapat menilai dan lebih mengenali PAS dari dekat dan yang lebih penting Malaysia akan kembali makmur dan sejahtera buat semua.

Sebelum ini rakyat telah melihat kualiti kepimpinan yang PAS lahirkan di Kelantan dan Terengganu dan kini mereka dapat mengukur wakil-wakil PAS dalam Kabinet dan Kerajaan Persekutuan pula.

Selain itu PAS juga dijangka akan memastikan kerajaan memberi tumpuan kepada beberapa isu besar yang sebelum ini gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan terdahulu dengan harapan keyakinan dan sokongan rakyat dapat dikembalikan.

Isu Tabung Haji umpamanya cukup rapat di hati orang Melayu dan umat Islam. Pengurusan dan beberapa polisi kerajaan terdahulu ternyata telah membangkitkan keresahan rakyat. Tuntutan agar satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja atau RCI dibentuk untuk menyiasat ke akar umbi pengurusan institusi keramat ini agar dapat ia dikembalikan sebagai satu institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam dan negara sebagaimana dahulu perlu diberi perhatian oleh PAS.

Rakyat Malaysia juga masih tertunggu-tunggu apakah kesudahan kes pembunuhan anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Setelah Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Allahyarham Adib, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali, ianya terhenti setakat itu. Sehingga kini tiada tangkapan dan pendakwaan dibuat terhadap mereka yang terlibat.

PAS perlu segera mengambil langkah memadamkan kemarahan rakyat dengan membuktikan kerajaan serius dan akan memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Adib, pasukan Bomba dan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan mengikutinya.

Kerajaan Malaysia di bawah PM ke-8 akan segera menggalas tanggungjawab dan melaksanakan tugas-tugas mereka sejurus selesai pembentukan Kabinet.

Rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi agar kerajaan ini dapat memulihkan nasib dan kehidupan rakyat serta meredakan segala ketidaktentuan ekonomi dan politik yang telah banyak merugikan negara sebelum ini.

Perikatan Nasional perlu menjalin kerjasama dan permuafakatan yang baik dan kukuh antara parti-parti komponennya. PPBM, BN, PAS, GPS dan parti-parti lain perlu matang dan mengambil iktibar dari kesilapan Pakatan Harapan yang lalu.

Jangan lagi ada politik cantas-mencantas, perebutan kuasa sebagaimana berlaku antara Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim sehingga membawa kepada keruntuhan Kerajaan PH.

Kepimpinan politik perlu fokus pada usaha dan kerja-kerja memulihkan ekonomi dan mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Sejarah hitam kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan jangan diulangi.

Semoga Malaysia kembali makmur dan sejahtera buat semua di bawah Perikatan Nasional.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -