Pandemik Covid-19, panik dan kelalaian manusia

- Advertisement -

SEJAK beberapa jam lalu, berita mengenai virus Covid-19 yang kini diumumkan pandemik oleh WHO menjadi topik trending dan antara carian tertinggi. Angka kematian yang semakin meningkat, menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai berita tersebar sejak beberapa minggu lalu, bercampur baur antara yang sahih dan palsu. Virus baharu ini awalnya dispekulasikan sebagai salah satu senjata biologi negara kuasa besar, kini berubah semakin serius dengan kemunculan gelombang kedua di Malaysia dengan selang masa 11 hari selepas gelombang pertama.

Kebimbangan orang awam yang memuncak ketika ini boleh dilihat dengan pelbagai langkah berjaga-jaga yang diambil. Beberapa negara mengalami panic buying. Daripada stok makanan, cucian, mask, sanitiser hinggalah toilet paper licin dari rak-rak pasar raya.

- Advertisement -

Apa sahaja petua penawar yang didengari, pasti segera mahu dicuba. Mujur sahaja hidangan masakan singgang tidak menjadi menu wajib ketika ini.

Sampai suatu tahap, seandainya -semoga dijauhkan- angka jangkitan mencecah ratusan ribu, pasti kita tidak teragak-agak menerima suntikan vaksin sekiranya ada.

Begitulah reaksi masyarakat ketika mana wabak sedang melanda. Kegelisahan menyebabkan kita berwaspada dan menerima saranan pakar-pakar perubatan.

Namun apabila wabak beransur reda, kita akan mula merasa selesa. Dalam keadaan lalai sebegitu, kita mudah mengabaikan langkah-langkah mencegah penyakit wabak.

Sikap seumpama ini turut diingatkan dalam al-Quran, Allah menyatakan perihal manusia dan watak-watak buruk yang telah menjadi tabiat mereka.

إِنَّ الإنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah.”

Ayat ini ditafsirkan oleh firman selanjutnya:

إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا

“Apabila ditimpa kesusahan, dia resah gelisah.”


(Al-Ma’arij: 19-20)

Ayat ini menjelaskan sikap buruk seseorang, apabila ditimpa kesusahan, mereka berkeluh kesah serta jantungnya seakan-akan terhenti kerana teramat takut.

Apabila sesuatu penyakit wabak melanda suatu ketika dahulu, manusia berlumba-lumba mendapatkan rawatan.

Namun ketika ia berjaya dihentikan, langkah-langkah pencegahan mula dipandang remeh dan ditinggalkan.

Smallpox atau cacar pernah menjadi wabak yang meragut jutaan nyawa manusia. Polio juga pernah meragut ratusan ribu nyawa. Wabak difteria yang melanda negara Kesatuan Soviet ketika era 90-an dulu, muncul kembali setelah 20 tahun ia dibasmi.

Benarlah sabda Nabi S.A.W seperti yang diceritakan Ibn Abbas;

نِعْمَتَانِ مَغْبُوْنٌ فِيْهما كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ : الصِّحَّةُ والفَرَاغُ

“Dua kenikmatan yang kebanyakan manusia terpedaya dengan keduanya iaitu; nikmat sihat dan nikmat waktu lapang.”

(Riwayat al-Bukhari, al-Nasa’i dan Ibn Majahk)

Hari ini masing-masing cukup panik dan berwaspada terhadap Covid-19. Kita khuatir kerana tidak mampu menjangka sama ada akan selamat atau tidak. Buat masa ini, tiada jaminan ia akan segera reda. Kita berharap agar wabak ini dapat ditangani sebaiknya.

Cuma kita tidak dapat mengelak daripada merenung perangai mudah lupa manusia. Adakah setelah diizinkan Allah wabak ini dibasmi suatu masa nanti, generasi selepas kita akan kembali lalai? Belajarlah daripada peristiwa hari ini;

إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

“Sesungguhnya manusia amat zalim lagi jahil.”

SOFIA ALWANI ALI
12 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -