Membina Negara Islam

- Advertisement -

APAKAH maksud Negara Islam? Sudah pasti dua soalan ini akan berlegar di fikiran apabila kita mendengar tajuk “Membina Negara Islam.” Islam merupakan agama yang meliputi semua aspek kehidupan manusia. Islam mempunyai syariat yang menyeluruh untuk panduan hidup manusia.

- Advertisement -

Dan secara fitrahnya perkaitan antara Islam dalam membina sebuah negara adalah satu keperluan masyarakat. Manusia memerlukan pemimpin untuk mengetuai kehidupan bernegara. Selain itu,  pembentukan negara  Islam juga sangat berkait rapat dengan pelaksanaan syariat.

Tuntutan pelaksanaan syariat ini adalah wajib ke atas semua umat Islam. Maka, pemerintahan Islam juga wajib diwujudkan. Antara asas untuk membina negara  ialah tempat, penduduk dan kekuasaan. Tanpa tiga skop ini, sesebuah negara tidak akan tertegak. 

Untuk membina Negara Islam, kekuasaan perlulah dipegang orang Islam. Agama Islam menjadi agama rasmi negara. Selain itu, keharmonian antara umat Islam juga penting. Mengikut pendapat Imam Hasan Al-Banna  kerajaan Islam dalam Islam tertegak di atas tiga kaedah tetap yang dimaklumi iaitu:

(1)  Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah dan manusia.

(2)  Kesatuan umat Islam atas dasar akidah Islam.

(3)  Menghormati kehendak umat dengan mewajibkan bermesyuarat, mengambil pendapat dan menerima perintah serta larangan umat.

Realiti kehidupan kaum muslimin pada masa sekarang dipenuhi dengan kelemahan, perpecahan dan kemunduran. Manakala musuh-musuh Islam memiliki seluruh kekuatan dan keunggulan. Keadaan seperti ini menjadikan kita terpaksa menerima perkara-perkara yng sepatutnya kita tolak semasa kita dalam keadaan kuat dan bersatu.

Di serata negara Islam dewasa ini, hukum dan pemerintahan Islam belum lagi ditegakkan sepenuhnya. Umat Islam belum mampu melaksanakan kehendak Allah kecuali dalam lingkungan golongan Islam sahaja.

Justeru itu, dalam konteks zaman moden ini para sarjana muslim perlu merangka semula konsep negara Islam moden yang selaras dengan zaman kini kerana agama Islam tidak meletakkan format yang tetap dalam melaksanakan perkara tersebut. Ia terpulang kepada keperluan dan kebijaksanaan masyarakat tersebut menjalankan pemerintahan asalkan ia melaksanakan prinsip-prinsip asas sebagai sebuah negara yang adil dan makmur.

USTAZ KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Yang DiPertua
PAS Kawasan Tebrau – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -