K’jaan baharu jangan ketepikan Orang Asal dan NGO

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) menasihatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar segera sensitif dengan teguran, di mana Kabinet yang dibentuk mestilah dilihat inklusif dengan mengambil kira kemajmukan masyarakat Malaysia dan juga tidak lupa menghargai peranan NGO yang boleh membantu memberi kekuatan dan keutuhan kepada kerajaan.

Kabinet yang baru dibentuk pada 9 Mac lepas, mendapat respons sedikit kesal apabila mengenepikan segolongan kaum penting dalam masyarakat Malaysia iaitu Orang Asli dan Orang Asal sebagaimana yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands iaitu YB Ramli Mohd Noor. Mereka juga mesti diintegrasikan dalam arus pembangunan negara supaya tidak ketinggalan, bagi meningkatkan taraf hidup, sosial, pendidikan, kesihatan dan ekonomi jangka panjang.

UMMAH juga menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional mestilah inklusif dengan NGO bagi merealisasikan aspek kemajmukan Kabinet yang dibentuk, bagi mewakili semua lapisan rakyat Malaysia bermula daripada ahli politik, Teknokrat, profesional, ulamak, wakil pelbagai kaum, pemimpin NGO dan masyarakat. Kabinet ini dibentuk untuk kesejahteraan rakyat dan bukan untuk orang politik semata-mata.

- Advertisement -

Masih ada peluang untuk membetulkan kesilapan ini dan berharap wakil Orang Asli dan NGO diberi peluang untuk bersama dalam Kerajaan PN.

UMMAH akan sentiasa mendukung semua usaha Kerajaan (PN) bagi merealisasikan masyarakat Malaysia yang sejahtera, dan akan sentiasa memberikan pandangan yang konstruktif kepada semua Menteri agar tidak terlepas pandang dan sentiasa beramanah serta berhemah dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan.

Ke arah Malaysia yang lebih sejahtera untuk rakyat.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -