Kerajaan perlu ketengah agenda anak muda

- Advertisement -

UMUR purata Kabinet PH sesi lalu sekitar 56 tahun. Dengan keberadaan atuk yang berumur 93 tahun, umur purata ini diimbangi dengan beberapa Ahli Jemaah Menteri yang agak muda di kalangan BERSATU, DAP dan PKR. Tanpa memasukkan umur PM-7 dalam perkiraan, jangkaan saya purata umur Kabinet PH adalah sekitar 50-52 tahun.

Jika dilihat pula Ahli Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN), tanpa data yang lengkap, saya menjangkakan purata umur Kabinet ini adalah sekitar 54-56 tahun namun kali ini dengan julat umur yang agak kecil, bermakna sejumlah besar Ahli Jemaah Menteri adalah di kalangan yang berumur 52 tahun ke atas.

Melalui perkiraan secara separa kuantitatif ini, saya dapat simpulkan beberapa dapatan:

- Advertisement -

(1) Kabinet Malaysia dikuasai oleh ahli politik lama dan pada masa yang sama mempunyai berpengalaman luas untuk mentadbir negara yang ditinggalkan dengan pelbagai isu dan masalah.

(2) Namun, Kabinet ini kurang wakil anak muda sedangkan komposisi anak muda Malaysia berumur 15-45 tahun sekitar 50-60 peratus. Golongan ini yang sedang berhadapan dengan kemelut kehidupan seharian sama ada kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, membina keluarga dan sebagainya.

Kita boleh berbangga bahawa kemungkinan anak muda majoriti sudah berada di pihak kerajaan dan mereka berpolitik di medan media sosial, namun dengan komposisi Jemaah Menteri yang kebanyakannya golongan veteran dalam generasi ‘baby boomers’, bagaimana kita nak pastikan suara, isi hati dan aspirasi anak muda diangkat dan diambil tindakan?

Saban hari golongan muda dalam parti politik meminta-minta dan merayu-rayu diberi peluang yang lebih luas kepada kepimpinan anak muda untuk menjadi calon dan diketengahkan dalam urus tadbir negeri dan negara, namun kebanyakan masa dipandang sepi.

Di mana komitmen golongan politik yang dianggap berpengalaman ini untuk mewariskan negara kepada golongan politik muda untuk memimpin negara yang kebanyakannya orang muda ini?

Lantas kita sangat memerlukan medan politik itu sendiri perlu dibanjiri dengan anak muda yang terlatih dengan seni Politik Matang dan Sejahtera.

Parti politik perlu lebih agresif dalam pelan pelapis kepimpinan dengan mengetengahkan kepimpinan muda mereka bukan hanya dalam politik atau di media sosial atau di kaca TV semata-mata, tetapi lebih penting daripada itu adalah dalam urus tadbir negeri dan negara agar mereka membina pengalaman untuk menjadi ahli politik yang lebih efektif dalam kerangka Perlembagaan Negara.

Justeru, kepimpinan politik yang sedang berada di tampuk kuasa perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada anak muda untuk terlibat dalam merangka dasar dan polisi negara. Mereka punya idea yang banyak namun perlu dipandu dengan pengalaman anda.

Jika masih lagi kepimpinan parti, negeri dan negara melaksanakan dasar tertutup kepada golongan muda, sudah pasti pilihan raya akan datang, anak muda jugalah yang akan memainkan peranan menamatkan kuasa anda.

HADI AMAT – HARAKAHDAILY 12/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -