Jangan ‘under-estimate’ PAS – Penganalisis Politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keberadaan PAS di dalam Kabinet tidak harus dilihat dengan pandangan ‘di bawah jangkaan’ kerana terbukti mempunyai kualiti tertentu bersama pengalaman serta kepelbagaian latar belakang kepakaran dimiliki.

Penganalisis Politik, Dato’ Mohd Nizar Sudin mengemukakan pandangan demikian ketika mengulas mengenai perkara tersebut dalam temubual dalam satu rancangan bersama Astro AWANI, baru-baru ini.

Menurut beliau, semua pihak jangan mempunyai pandangan tidak endah kepada PAS kerana parti itu memberi rangsangan cukup kuat untuk mengembalikan keyakinan rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu.

“Kita jangan ‘under-estimate’ Ahli-ahli Parlimen PAS yang mempunyai kelulusan profesional. Macam YB  Takiyuddin Kota Bharu, misalnya. Beliau mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang misalnya. Dan PAS telah membuktikan bahawa di peringkat Ahli Parlimen mereka juga mempunyai kualiti yang tertentu.

“Pada hemat saya, beri ruang dan peluang yang sebebasnya kepada Perdana Menteri untuk Ahli Parlimen PAS ini supaya berada di tempat-tempat yang strategik, Menteri-menteri yang strategik untuk melihat kepada keyakinan rakyat, kembalikan kepada Menteri yang akan dilantik ini,” ujarnya.

Penganalisis Politik, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri turut mengemukakan pandangan senada ketika bersiaran dalam temubual dengan stesen televisyen sama terutama dalam mengulas mengenai dakwaan PAS tidak berpengalaman di Pusat.

Katanya, PAS bukan partinpolitik baharu di mana sudah wujud sebelum Merdeka, bahkan pernah berada dalam Kerajaan Persekutuan 1974 yakni setidak-tidaknya di peringkat Kementerian Luar Bandar ketika itu.

Malah kupasnya, PAS di peringkat negeri pernah menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain para pemimpin lama semasa dalam Kerajaan Persekutuan dahulu masih ada lagi hingga kini.

- Advertisement -

“Jadi saya percaya dengan pengalaman-pengalaman yang ada di dalam parti PAS, apatah lagi PAS pun dah berubah sejak 20 ke 30 tahun yang lalu, di mana ahli-ahli profesional pun dah banyak di dalam parti politik PAS. Doktor-doktor, engineer, banyak.

“Pilih satu mana sahaja, nak cari yang integriti, yang berpendidikan, yang berpengetahuan, yang lama dalam politik, apatah lagi yang beragama. Semua ada dalam parti PAS. Jadi jangan kita melihat ini akan menjadi masalah kepada Perdana Menteri.

“Dan satu yang terbaik (adalah) ulasan Haji Hadi Awang, sehari dua selepas pembentukan Perikatan Nasional. Haji Hadi Awang kata, kita jangan melupakan bahawa negara ini negara ‘multi-racial’. Maknanya dia peka bahawa negara Malaysia ini adalah bukan negara 100 peratus Islam sahaja, Muslim sahaja.

“Kita ada juga bangsa-bangsa kita, kawan-kawan kita yang lain, yang perlu kita layan secara adil dan saksama yang termaktub di dalam Perlembagaan kita. Jadi saya rasa PAS melihat semua perkara ini dengan jelas, dan Perdana Menteri pun dapat melihat rakyat tidak perlu risau.

“Kembali kepada Rukun Negara, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Maka negara kita, rakyat kita akan aman dan damai. Itu yang utama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -