Contohi Nabi, layan musuh dengan baik – PU Syed

- Advertisement -

TAMBUN: Ketua Penerangan Ulamak PAS Kawasan Tambun, Syed Mohd Bakri Syed Ishak menasihatkan ahli PAS supaya menangkis sifat ralat dan hairan apabila Presiden PAS tidak diberi sebarang jawatan Kabinet melalui pembentukan kerajaan baharu ini.

- Advertisement -

“(Sebaliknya) Kita perlu rasa bangga dengan Tuan Guru. Bangga menyelami bagaimana Tuan Guru merintis jalan memberi laluan kepada orang lain maju ke hadapan. Ia (berjuang) merupakan satu tugas yang bukan senang dan memakan masa yang sangat panjang.

“(Namun) bila mana (telah) dikecapi kemenangan ini, ingatlah kemenangan ini anugerah daripada Allah. Allah beri (kemenangan) dikala kita mampu menanggung galas tugas tersebut,” jelas beliau di Markaz Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru, di sini kelmarin dahulu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai PU Syed berkata, pada masa kini ahli PAS khususnya perlu menangkis serangan oleh pihak lawan di mana mereka sentiasa mahu menyerang PAS berbanding Umno dan BERSATU dalam Perikatan Nasional.

Terangnya, biarpun PAS kini berada di marhalah kepimpinan negara, namun gerak kerja menyedarkan anak muda yang telah mencapai umur layak mengundi akan kepentingan daftar undi amatlah penting dan tidak harus dipandang enteng.

Selain itu pesan beliau, mana-mana pemimpin masyarakat hendaklah memahami bahawa jawatan mahupun pangkat bukanlah tasyrif yang perlu dibanggakan malah ia merupakan taklif perlu dipelihara sebaiknya.

“Ketika peristiwa Fathu Makkah, Nabi masuk ke Kota Makkah tersebut dalam keadaan Nabi menundukkan kepalanya hingga paras tempat duduk unta. Dengan penuh rendah diri beliau masuk ke Makkah. Nabi tidak mendabik dada,” pesan beliau.

Mengulas tindakan tiga ADUN PH Perak keluar parti, PU Syed menasihati agar ahli PAS tidak gopoh dalam melemparkan pandangan, sebaliknya perlu mencontohi Nabi Muhammad S.A.W yang memuliakan Abu Sufyan setelah sekian lama bermusuh.

“Jangan mengejek mereka (PH). Kita (perlu) kenang mereka itu saudara kita juga. Kita doakan untuk kita dan juga doakan mereka. Moga dengan (mencontohi) cara Rasulullah S.A.W akan menyebabkan mereka cenderung kembali kepada Islam,” pesan beliau. – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -