Thabat dukung kemenangan, tampil kebolehan memerintah

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Kemenangan dianugerahkan Allah menuntut jentera melakukan penambahbaikan pelaksanaan dan mengurangkan kelemahan dalam menzahirkan kebolehan memerintah sebagai kerajaan.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin bagaimanapun mengingatkan, disebalik kemanisan kemenangan perjuangan selepas melalui kemelut juga memerlukan muhasabah kerana cabaran sentiasa datang.

Peringatan dan nasihat itu dikemukakan beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar di Kompleks PAS Kuala Kangsar, Bukit Chandan, di sini kelmarin dahulu.

Seru beliau, Pemuda PAS juga perlu sedia berganding bahu dengan Pemuda Umno untuk mendepani sebarang krisis politik, seterusnya sentiasa mantap menangani permasalahan rakyat hingga mereka menerima Muafakat Nasional.

Manakala Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam ketika memugar erti “Thabat Berjuang” yang menjadi tema MAT ini menegaskan betapa kemenangan memerlukan jihad dan perjuangan dilaksanakan dalam semua keadaan.

Jelasnya, seiring kemampuan diri, komitmen mesti diberi bersama sikap mengenepikan kepentingan duniawi, sebaliknya sentiasa memandang kepada pencapaian ukhrawi di mana lumrah itu telah dilalui para anbiya’ dan syuhada’.

Pun begitu kata beliau, hakikatnya cabaran dilalui hari ini terlalu kecil berbanding generasi lalu, di mana ia sebenarnya memerlukan Pemuda melengkapkan diri dengan ciri Muslim pejuang agar tidak mudah futur dan goyah.

Ustaz Omar memetik kisah Sahabat R.A iaitu Khabab al-‘Arat yang berjuang menempuh mehnah, namun keimanan mereka adalah kerana menyedari bayaran Allah dan syurga dengan penuh kenikmatan dijanjikan-Nya.

Turut serta pada majlis itu adalah Setiausaha Pemuda PAS Perak, Helmi Affendi Mohd Ali dan Naib Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar, Mustafa Azmi Kamal Mustafa. – HARAKAHDAILY 11/3/2020

- Advertisement -