Menteri bukan pensyarah

- Advertisement -

TIADA fakta untuk mereka pertikaikan pelantikan beberapa orang menteri dan timbalan menteri daripada PAS, akhirnya mereka pertikaikan kewajaran portfolio menteri yang dilantik berbanding kelulusan yang mereka miliki.

- Advertisement -


Menteri bukan pensyarah di universiti yang bertugas mengikut bidang pengajian. Sebaliknya ia adalah pemimpin yang membawa dasar parti yang diwakili untuk membangunkan negara dan rakyatnya, mendukung keluhuran perlembagaan negara dan kedaulatan undang-undang.


Parti yang diwakilinya bertanggungjawab memantau dan memastikan performance menterinya demi kemajuan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat. 


Pada masa yang sama, jamaah menteri akan membuat dasar yang pastinya tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan negara. (Kalaupun mereka mahu meminda perlembagaan, selayaknya mereka perlukan persetujuan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat)


Sementara pelaksanaan dasar yang telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, akan disempurnakan oleh pasukan pakar dan terlatih yang dibentuk pada peringkat kementerianmasing-masing dan diterajui oleh menteri yang berkenaan.


Justeru itu, sebagai contoh boleh sahaja seorang menteri yang berlatar belakang pengajian di bidang kepimpinan dan dakwah menjadi Menteri Alam Sekitar sebagaimana seorang yang berlatar belakang bidang kedoktoran tetapi menjadi perdana menteri atau menteri lainnya.


Perkara yang mustahak bagi seorang menteri ialah :


a) Bertaqwa kepada Allah dan berkeperibadian yang soleh.(tidak rasuah dan salah guna kuasa).


b) Memiliki tenaga dan aqal yang cerdas.


c) Jujur dan dedikasi menggalas tanggungjawab.


d) Membina team kerja yang pakar, berpengalaman dan terlatih.


e) Kreatif dan mempunyai inovasi tinggi serta cepat mempelajari bidang yang diceburi.


f) Karisma kepimpinan dan kewibawaan diri sebagai seorang pemimpin.


Insyaallah, Menteri dan timbalan menteri yang mewakili PAS mempunyai asas upaya yang tersendiri untuk menggalas tanggungjawab yang diberi. Mereka perlu diberi peluang untuk membuktikan keupayaan mereka.


Sangat tidak masuk akal, apabila serangan terhadap mereka dilancarkan pada hari pertama perlantikan dan belum pun sempat memasuki pejabat.


PAS terbuka kepada nilaian dan bersedia dimuhasabah oleh rakyat. Malah rakyat berhak menolak jika PAS gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan berkesan. Namun berilah peluang dan bantulah mereka untuk menjalankan tugas.


Islam Memimpin Perpaduan

NASRUDIN HASSAN 
HARAKAHDAILY 11/3/2020

- Advertisement -