Menolak persepsi jahat PH dan memahami hakikat

- Advertisement -

PERSEPSI: Kerajaan pintu belakang

Sentimen yang cuba dimainkan oleh PH adalah kerajaan hari ini merupakan kerajaan pintu belakang. Kononnya, kerajaan baharu tidak sah dan mengkhianati mandat rakyat.

Sedangkan kerajaan baharu hari ini dengan permulaan pelantikan Perdana Menteri ke-8, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah setelah tiadanya kerajaan ekoran terbubar disebabkan Tun Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri ke-7.

Tiada istilah pintu belakang, kerana proses pemilihan PM terbaru adalah menerusi proses yang sangat telus sebagaimana yang dilakukan oleh SPB YDPA dengan:

(1) Memanggil dan menemu duga kesemua 222 Ahli Parlimen.
(2) Mengadang sidang mesyuarat Raja-raja.
(3) Memanggil ketua parti politik untuk meminta cadangan nama calon PM peringkat masing-masing.

- Advertisement -

Sehubungan itu, pemilihan PM yang baharu berdasarkan hemat SPB YDPA setelah semua proses dan ruang yang ada digunakan. Maka sememangnya pemilihan PM merupakan peruntukan bidang kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Pencalonan tidak semberono kerana ketiga-tiga proses di atas menunjukkan ketelusan dan mengambil kira semua pihak yang terlibat:

(1) Ahli Parlimen.
(2) Raja-raja.
(3) Ketua-ketua parti politik.

Sudah pasti proses ini bukannya pintu belakang tetapi menerusi pintu hadapan yang masih berada dalam ruang konteks demokrasi kerana antara keistimewaan Ketertinggi Perlembagaan meletakkan bahawa Raja Berperlembagaan.

Menerusi SPB YDPA adalah jalan yang sah dan masih lagi demokratik. Menuduh kerajaan pada hari ini kerajaan pintu belakang bermaksud menderhakai titah SPB YDPA dan menanam imej jahat terhadap pihak Istana Negara sekali gus memburukkan SPB YDPA selaku Ketua Negara.

Persepsi: Khianat mandat rakyat

PH cuba menimbulkan buruk sangka dengan menghasut rakyat apabila menyatakan kerajaan baharu pada hari ini adalah mengkhianati mandat rakyat. Dakwaan mereka kerana rakyat memberi mandat kepada PH untuk memerintah pada PRU14 yang lalu.

PH mainkan isu mandat rakyat kononnya mereka pemegang mandat rakyat. Walhal sepanjang PH memerintah selama 22 bulan, mereka sendiri mengkhianati mandat rakyat yang diberikan iaitu:

(1) Tidak memenuhi janji-janji manifesto. Dengan mudah menyatakan “Janji bukan kitab suci”.

(2) Tidak bersungguh untuk laksana janji manifesto apabila Tun M juga menyatakan asalnya mereka tidak sangka menang, jadi meletakkan manifesto yang susah agar memerangkan pihak lawan.

Sepanjang PH mentadbir apa yang berlaku ialah:

(1) Hutang negara meningkat mencecah RM1 trilion.

(2) Ringgit Malaysia (RM) jatuh nilai.

Dan banyak lagi. Sedangkan mandat rakyat dalam memilih satu kerajaan menerusi PRU adalah untuk membawa kebaikan dan lebih baik dari sebelumnya. Namun sebaliknya berlaku maka ia adalah terang-terangan mengkhianati mandat rakyat.

Persepsi: PAS Umno yang bersalah dalam isu peletakan jawatan oleh Tun M

PH cuba mengalih isu kononnya Tun M meletakkan jawatan disebabkan PAS Umno. Sedangkan PAS khususnya kemudian disusuli oleh kenyataan SU Umno konsisten dalam menyokong pentadbiran Tun M sehingga habis sepenggal demi kestabilan politik dengan bersetuju pada beberapa agenda yang sama dalam menjaga maslahat agama, ummah dan negara.

Malahan beberapa isu yang polemik ekoran sikap DAP kemudian disokong oleh PAN dan juga PKR seperti isu pengiktiraf UEC, ratifikasi ICERD, Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain juga ditentang oleh PAS dan ianya senada dengan pendirian Tun M.

Sebab itu, desakan ke atas Tun M ialah datang dari PH sendiri khususnya PKR apabila asyik membincangkan isu peralihan kuasa. Tidak berkesudahan yang akhirnya jelas menunjukkan kerakusan terhadap jawatan lebih besar dan utama dari agenda maslahat rakyat.

Pergeseran dalam isu desakan peralihan kuasa ini dapat kita lihat tidak menyenangkan Tun M sehingga beliau secara jelas:

(1) Tidak menyebut nama DSAI untuk diserahkan kuasa PM.
(2) Tun M hanya sebut meletakkan jawatan dan serah kepada Dewan Rakyat memilih.
(3) Tun M perjelaskan bukan tugas PM melantik PM yang baru.

Maka peletakan jawatan Tun M hakikatnya desakan dari masalah dalaman PH sendiri dan reaksi Tun M membalas sikap kerakusan politikus dalam PH sendiri terutama DSAI dan pengikutnya. Jadi, ia punca perbalahan masalah dalaman PH sendiri.

Persepsi: Tanda pagar (#) notmypm kerana demokrasi telah ‘mati’

Kelihatan serangan dalam media sosial juga oleh puak macai (pendukung tegar membuta tuli) PH melancarkan kempen atau mewujudkan naratif tanda pagar (#) notmypm atas alasan demokrasi di Malaysia telah ‘mati’ dengan bertukarnya kerajaan.

Hakikatnya sebagaimana disebutkan bertukar kerana:

(1) Kerajaan telah tiada dengan peletakan jawatan Tun M.
(2) Pelantikan PM yang baharu adalah berdasarkan hemat SPB YDPA dalam menyelesaikan kemelut negara yang berlaku dan menitahkan pelantikan setelah melalui beberapa proses dan mengikut peruntukan yang sedia ada.

Justeru, kempen atau naratif tanda pagar (#) notmypm adalah tindakan biadab terhadap SPB YDPA. Malahan demokrasi yang dilaungkan bukan pengamalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Mereka mahukan atas nama demokrasi tapi mereka sendiri:

(1) Biadab.
(2) Menutur kata-kata yang tidak sopan.
(3) Mempertikai bidang kuasa yang diperuntuk dalam Perlembagaan.

Demokrasi telah dijalankan dengan baik dan menerusi proses yang terperinci lagi telus. Laungan demokrasi mati adalah tidak benar, yang benar hakikatnya kita dapat lihat kebimbangan puak Liberal dan LGBT apabila bertukar kerajaan kerana di waktu Kerajaan PH golongan ini dapat kehadapan dan seakan selesa dengan lebih terbuka. Sedangkan golongan sebegini adalah pembawa masalah dan doktrin yang diperjuangkan sama ada Liberlisme, Pluralisme dan LGBT adalah bercanggah dengan enakmen Syariah.

Hakikat: PH gagal mempertahankan dan membela hak umat Islam.

Terlalu banyak isu yang terjadi semenjak PH memerintah. Khususnya dalam isu yang melibatkan hak umat Islam. Ia secara jelas berlaku di hadapan mata walhal sangat membimbangkan jika rekod sebegini diteruskan sehingga habis sepenggal.

Isu seperti:

(1) Polemik penentang khat Jawi oleh Dong Jiao Zong yang meleret.
(2) Kumpulan LGBT diberi muka apabila sidang media menjemput aktivitis Nisha’ Ayob bersama Mujahid Yusuf Rawa yang ketika itu Menteri Agama.
(3). Kecelaruan dalam isu berhubung ‘dosa peribadi’ dan kecaman Mujahid terhadap operasi penangkapan khalwat sehingga menimbulkan polemik mengenai proses dan SOP berkaitan.
(4) Penjualan aset TH iaitu hotel dan ladang yang merunsingkan kerana dibeli serta diambil alih oleh syarikat bukan Muslim sedangkan aset TH adalah eksklusif aset umat Islam.
(5) Konsep ‘istito’ah’ yang dimainkan sebagai langkah perlahan-perlahan untuk menghapuskan subsidi Haji yang perlu ditanggung oleh TH bagi cadangan ke arah masa hadapan.

Serta banyak lagi. Kesemua ini membimbangkan dan membawa keresahan kepada umat Islam di Malaysia ini selaku majoriti rakyat di negara ini dan Islam merupakan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Menongkah arus sehingga seakan mengorbankan agama adalah suatu tindakan biadab dan salah yang tidak boleh diterima oleh semua umat Islam yang sayangkan Islam. Walhal kita juga dapat lihat apabila isu rusuhan kuil yang mengakibatkan korban seorang anggota bomba dan penyelamat, Mohammad Adib sehingga kini masih gagal diselesaikan walaupun telah disahkan kematian disebabkan tindakan ke arah pembunuhan, bukannya mati dilanggar sebagaimana hujah macai PH yang cuba menyembunyikan kebenaran.

Hakikat: PRK petanda aras awal rakyat muak dan menolak PH

Jika mahu melihat reaksi rakyat, ukuran pada siri-siri PRK terakhir yang terjadi boleh dijadikan petanda aras awal. Ini kerana rakyat tidak akan menolak PH jika PH melaksanakan kerja yang baik dan menyenangkan rakyat sebagaimana yang diharapkan. Namun isu dan polemik yang banyak, jelas menjadikan rakyat muak dan bosan dengan tertipu khususnya pada janji-janji manifesto yang tidak dilaksanakan.

Apatah lagi isu pemalsuan sijil akademik oleh beberapa Menteri yang menunjukkan hilang kewibawaan ahli politik kalangan PH. Jika sijil akademik juga dipalsu bagi penipuan maka menipu dalam kerja tugasan adalah perkara yang tidak asing.

Sebab itu boleh lihat siri-siri PRK yang menjadi petanda rakyat sudah mula menolak PH iaitu:

(1) Semenyih.
(2) Cameron Highlands.
(3) Rantau.
(4) Tanjung Piai.
(5) Kimanis.

Walaupun apa alasan yang dikemukakan oleh PH namun realiti zahir dari sudut undi kita mampu lihat, itulah reaksi rakyat ekoran muak dengan politik PH. Justeru, rakyat mahukan perubahan sesuatu yang lebih baik dan bukan hanya berterusan dalam keadaan yang terus menerus rosak dengan sikap politikus yang tidak berkesudahan.

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/3/2020

- Advertisement -