KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Solahuddin Hashim berharap agar Kementerian Sumber Manusia yang diterajui Dato’ Seri M Saravanan dan beliau sebagai pembantu dapat melengkapi gagasan yang dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia merupakan satu sektor yang penting dan beliau akan meletakkan satu fokus ataupun visi untuk melahirkan sumber manusia berpendidikan tinggi supaya seiring dengan kehendak yang dibawa oleh negara.
Katanya, beliau meletakkan fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pakar berkelulusan tinggi, dan syarat minima adalah paling kurang 70 peratus mempunyai Ijazah Sarjana Muda.
“Kita akan mengambil masa 20 ke 30 tahun akan datang, ini saya punya ‘describing‘ dengan Kementerian Sumber Manusia, dan Insya-Allah saya akan berbincang dengan meteri saya.
“Saya akan melihat pandangan menteri saya dan kami akan berkongsi untuk sama-sama membantu (saya) sebagai Timbalan untuk membantu Yang Berhormat Menteri bagi merealisaikan misi dan visi yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” ujarnya ketika dihubungi Harakah sebentar tadi.
Sementara itu, ditanya berkenaan kemasukan beliau ke pejabat kementerian, beliau berkata akan melaporkan diri ke Pejabat Kementerian Sumber Manusia secara rasminya esok. – HARAKAHDAILY 11/3/2020