Isu sawit: Malaysia cadang hantar rombongan ke India

Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempengerusikan sidang media di MPIC, hari ini
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Terdapat beberapa perkara yang menjadi cabaran kepada pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi menangani isu sawit di peringkat Antarabangsa.

Demikian kata Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada sidang media selepas taklimat berhubung skop dan bidang tugasan Menteri Kabinet bagi penggal pertama hari ini.

Namun katanya, melihat kepada respon Kerajaan India terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ia menunjukkan satu permulaan yang baik bagi meneruskan rundingan bersama negara berkenaan dalam isu eksport sawit.

- Advertisement -

Jelas beliau, pihaknya bercadang akan menghantar rombongan ke India bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dengan negara itu, sekali gus boleh memperkasakan ekonomi khususnya melibatkan eksport sawit.

Sehubungan itu ujarnya, antara yang turut dibincangkan adalah langkah pihak kementerian dalam membantu rakyat dari sudut penjanaan ekonomi melihat kepada keadaan dan isu yang berlaku pada hari ini.

“Ini kerana yang turut terlibat di bawah kementerian MPIC terdapat satu juta pekebun kecil dan antara lain melibatkan isu getah juga,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak kementerian juga akan melihat pada isu yang melibatkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG), namun perkara tersebut masih lagi belum dibincangkan secara lebih terperinci.

Bagaimanapun, beliau yakin apa sahaja permasalahan yang ada mampu diselesaikan jika rundingan bersama diadakan.

Dalam masa yang sama, boleh membina hubungan yang lebih besar lagi dengan seluruh negara. – HARAKAHDAILY 11/3/2020

- Advertisement -