Allah lindungi kerajaan yang Dia anugerahkan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Penyatuan umat Islam yang datang dari sikap perdamaian termasuk antara perintah Allah di mana dengan kekuatan itulah Dia mengurniakan kelebihan termasuk dianugerahkan kerajaan ke atas lainnya.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Sallehin Mukhyi berkata, kerajaan itu sumbernya milik Allah di mana diberikan-Nya kepada sesiapa dikehendaki apabila sampai masanya dan dicabut juga dari sesiapa dikehendaki-Nya.

“Tak perlu tunggu pilihan raya, tak perlu ada manifesto. Sebab itu dunia tak menyangka boleh jadi; dalam sebuah negara demokrasi yang kekuasaan diperoleh melalui pilihan raya, tiba-tiba Muafakat Nasional jadi kerajaan tidak melalui pilihan raya.

“Ia juga tidak melalui pintu belakang kerana PH sudah terbakar habis, langsung tiada pintu,” ujarnya pada ceramah Muafakat Nasional anjuran PAS Kawasan Bagan Serai di Markas PAS Tebuk Panchur, Semanggol, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, perdamaian antara PAS dan Umno setelah kedua-dua parti memiliki pengalaman pahit dialami dan hubungan itu semakin mengukuh, walaupun tanpa terfikir diberi kerajaan di pertengahan penggal begini, namun itulah anugerah Allah.

Sebaliknya ujar beliau, perlu diyakini adalah kerajaan yang naik dengan fitnah, pasti tidak akan bertahan lama, apatah lagi meminggirkan panduan al-Quran di mana seruan berdamai juga akan menjadi kekuatan dalam menyingkirkan perancangan jahat musuh.

Menyedari serangan musuh terhadap kerajaan yang baharu dibentuk dengan pandangan serong dan fitnah sebagai mainan mereka, Ustaz Sallehin meneguhkan dengan pesanan untuk yakin dengan penyatuan dan hadapi makar tersebut.

“Apabila kita berdamai, yakinlah kita berada dalam lindungan Allah. Biarlah mereka nak kata kita kerajaan pintu belakang. Allah telah beri kerajaan ini. Bila Allah dah kurniakan, siapa yang boleh menolak? Tak akan jadi kudis dengan kejian mereka,” terangnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2020

- Advertisement -