Pastikan Islam dan negara tidak diceroboh anasir

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Hubungan diikat antara PAS dan Umno kini menuntut tanggungjawab besar anggota dan kepimpinannya untuk memastikan agama Islam dan negara ini daripada diceroboh oleh anasir yang tidak baik.

- Advertisement -

Kewaspadaan itu diperingatkan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Perak, Salmah Abdul Latif ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kangsar di Kompleks PAS Kuala Kangsar, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu katanya, untuk mencapai perkara tersebut memerlukan ahli memberi wala’ kepada kepimpinan dan sedia menerima serta bekerjasama bersama dengan ahli-ahli Umno serta mengenepikan kemahuan peribadi.

Akui beliau, sememangnya perkara itu adalah ujian kerana tidak mudah akar umbi PAS menerima Umno, tetapi wala’ dalam hal tersebut perlu diasuh agar hasrat ‘Perak Sejahtera, Malaysia Sejahtera Untuk Semua’ akan tercapai.

Tegas beliau, kekuatan untuk menerima ujian sedemikian hanya akan dapat dengan mendekatkan diri kepada Allah dan sentiasa bermuhasabah hinggalah agenda agar negara terpelihara dan rakyat hidup aman makmur direalisasikan.

Menyentuh mengenai situasi politik semasa, beliau mengajak perwakilan mengingati bahawa setiap perancangan musuh pasti berhadapan juga dengan perancangan Allah dan Dia membalas tipu daya mereka.

Pada majlis turut dihadiri Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datin Rahayu Abd Razak itu beliau menegaskan bahawa masalah berlaku dalam politik dan pentadbiran negara menuntut kepada kepimpinan yang telus. – HARAKAHDAILY 10/3/2020

- Advertisement -