Menurunkan harga tanah dan barang keperluan (Solusi 1)

- Advertisement -

LATAR belakang

(1) Hari ini antara yang ditegaskan oleh Presiden PAS ialah ‘memperbaiki negara’. Kepincangan yang sedia ada di Malaysia ini harus dipulihkan dengan cara Islam.

Dalam artikel-artikel saya sebelum ini sudah banyak mendedahkan ideologi-ideologi yang asalnya bertujuan untuk memperbaiki negara, tetapi tidak menyelesaikan masalah.

Bahkan menambahkan rumit lagi. Contohnya penyelesaian bab ekonomi, bertembung sama ada dengan cara Kapitalis, atau Sosialis. Pertembungan ini telah menyebabkan kematian jutaan nyawa.

- Advertisement -

(2) Sebelum ini saya ada menulis mengenai ekonomi Islam [1] dan beberapa artikel mengenai Kapitalism. Saya bukan seorang economist, cuma saya ingin menyatakan idea-idea yang dikemukakan oleh PAS.

Khususnya melalui Dokumen Hijau, yang lebih fokus kepada penyelesaian cara Islam. Sudah-sudahlah bersilat antara Kapitalis dan Sosialis, mari kita pelajari bagaimana Islam itu menyelesaikan ekonomi.

(3) Secara mukadimahnya Islam meletakkan sistem pelantikan pimpinan bagi memastikan kepimpinan yang naik adalah orang yang sepatutnya. Hal ini saya akan ulas dalam artikel lain.

Yang kedua, Islam mengharamkan monopoli. Kalau monopoli dalam ekonomi disebut الاحتكار. Manakala monopoli dalam pengurusan tanah disebut الحمى.

Kedua-dua sistem karut ini, menyebabkan berlakunya krisis ekonomi yang ada pada hari ini, selain daripada sistem riba (bunga), rasuah dan lain-lain.

Larangan monopoli

(1) Semua orang tahu bahawa di Malaysia selama ini berhadapan dengan tiga krisis utama yang bersangkutan dengan ekonomi;

(a) Pemerintah yang tidak beretika, korup rasuah dan sebagainya.

(b) Sistem pendakwaan atau kehakiman yang tidak independent, berat sebelah, atau di bawah pengaruh politik.

(c) Isu ekonomi yang membebankan rakyat.

Ketiga-tiga ini saling berkaitan antara satu sama lain, dan perlu diperbaiki ketiga-tiga ini sekali gus bagi memastikan perjalanan sesebuah negara itu kembali tenteram bersama Islam.

(2) Dari segi ekonomi Malaysia yang sangat terdedah dengan konsep الاحتكار (monopoli barang keperluan) dan juga konsep الحمى (monopoli tanah).

Menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan himpitan kemiskinan. Kedua-dua ini sangat subur di Amerika yang dikenali sebagai model Kapitalism. [2]

(3) Dalam Islam, apa yang menjadi keperluan manusia, diharamkan daripada dimonopoli. Antaranya air. Dalam Islam melarang mana-mana individu untuk memonopoli air.

Contohnya satu syarikat sahaja yang dibenarkan atau diberi lesen untuk mengeluarkan air. Menyebabkan air yang menjadi keperluan umum, dimonopoli oleh satu syarikat.

Maka, ia bakal mendedahkan kepada kerakusan pemilik syarikat tersebut, untuk menaikkan harga air sesuka hati. Kerana orang lain tidak dibenarkan untuk mengeluarkan air.

Harga barang keperluan

(1) Apabila orang-orang tertentu sahaja yang diberikan lesen untuk mengeluarkan air, maka akan membuka peluang kepada pemiliknya untuk menaikkan harga air.

Bagaimana untuk memperbaiki keadaan? Pengurusan air perlu dibuka kepada mana-mana syarikat untuk bersaing secara sihat, untuk menguruskan atau mengeluarkan air.

(2) Bila mana wujudnya persaingan ini, maka harga air akan semakin rendah. Syarikat yang meletakkan harga air dengan tinggi, akan mengalami kerugian.

Justeru, semua syarikat akan berlumba-lumba untuk menyediakan perkhidmatan air yang lebih murah. Sehinggalah harga air mencapai tahap ‘equilibrium price’.

Apabila mencapai tahap tersebut, maka rakyat boleh menikmati keperluan mereka dengan kadar yang rendah dan murah. Hal ini sama sahaja dengan barang-barang keperluan lain.

(3) Contoh yang lain, lesen AP untuk mengimport gula hanya diberikan kepada satu syarikat sahaja. Maka, tauke syarikat ini berpeluang meletakkan harga yang tinggi terhadap gula.

Justeru, lesen AP untuk mengimport gula perlu dibuka bagi mewujudkan persaingan sihat, dan seterusnya membuatkan harga gula semakin merendah sehingga mencapai equilibrium price.

Iaitu harga ‘habis rendah’. Mana-mana syarikat yang meletakkan gula dengan harga tinggi, akan menyebabkan perniagaannya tak laku, dan gulanya tidak dibeli orang.

Harga tanah

(1) Dalam menyelesaikan isu harga tanah yang melambung disebabkan sistem الحمى yang diharamkan di dalam Islam, telah saya huraikan dalam artikel yang lepas. [3] [4]

Sistem الحمى boleh difahami dalam konteks sekarang ialah hak kelulusan tanah diberikan kepada satu kuasa, seperti Menteri Besar. Seolah-olah dia sahaja yang berkuasa menentukan hak tanah.

(2) Maka, jika Menteri Besar itu tiada integriti, dia akan mengagihkan tanah-tanah di negerinya kepada tauke-tauke besar yang pernah menaja kemenangannya dalam pilihan raya.

Manakala tanah-tanah di kampung-kampung yang dimohon oleh ‘bukan kroninya’ sangat liat untuk diluluskan permohonannya. Menyebabkan berlakunya monopoli tanah secara tak langsung.

(3) Apabila berlakunya monopoli tanah, menyebabkan tanah semakin kurang dan semakin sukar untuk diperolehi. Maka harga tanah semakin naik dan menggila.

Rakyat semakin sukar untuk mendapatkan tanah. Bagaimana penyelesaiannya?

(a) Perlu menukar Menteri Besar yang mengamalkan kronism, kepada Menteri Besar yang berintegriti.

(b) Membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk membuka tanah, dan kerajaan wajib memudahkan kelulusan permohonan tanah.

Apabila ruang ini dibuka seluas-luasnya dan dimudahkan, insyaAllah harga tanah akan menurun kerana sekiranya kekal dengan harga yang tinggi tiada siapa akan membelinya.

Purchasing Power

(1) Apabila monopoli dihapuskan, maka harga barang keperluan dan tanah akan menurun. Lebih banyak tanah dimanfaatkan, dan mengurangkan isu homeless serta kemiskinan.

Barang-barang keperluan akan menurun harganya menjadikan ‘purchasing power’ kuasa beli semakin naik. Apabila kuasa beli semakin naik, maka ekonomi akan berjalan dengan baik.

(2) Contohnya seorang penjual goreng pisang, asalnya jualannya rendah kerana masyarakat sekitar agak berkira-kira nak membeli goreng pisang kerana perlu simpan duit untuk membeli keperluan yang lain.

Namun, setelah dihapuskan monopoli, harga tepung menurun, harga gula menurun, harga minyak menurun, harga pisang menurun, harga gas menurun, maka harga goreng pisang juga akan menurun.

(3) Menyebabkan orang semakin ramai membeli goreng pisangnya kerana kemampuan (kuasa beli). Apabila goreng pisangnya laku, maka peniaga tadi mampu me‘renovate rumahnya’.

(a) Maka, kontraktor yang akan dapat projek me‘renovate rumah’ itu. Apabila kontraktor mudah daat projek, maka dia berpeluang untuk menukar kereta baru.

(b) Penjual kereta pula akan berjaya meningkatkan ‘sale’nya kerana ‘purchasing power’ yang semakin meningkat di kalangan rakyat disebabkan penghapusan monopoli.

Inilah salah satu daripada penyelesaian Islam yang disediakan bagi menyelesaikan masalah negara. Banyak lagi penyelesaian Islam yang akan saya tulis dalam siri berikutnya insyaAllah.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3254021664639571&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3535893229785745&id=100000953077134

[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3010025825705824&id=100000953077134

[4] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3010025825705824&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 10/3/2020

- Advertisement -