Contohi Presiden PAS menjaga diri ketika menang

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, kemelut politik sepanjang dua minggu lalu telah berakhir semalam dengan pengumuman barisan Kabinet baharu Kerajaan Malaysia oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semua nama-nama mereka telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kabinet campuran ahli politik, teknokrat dan juga ulamak, dilihat sebagai satu permulaan yang baik langkahan pertama kerajaan.

- Advertisement -

Paling mengejutkan bagi rakyat Malaysia yang tidak biasa dengan PAS ialah ketiadaan nama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Disebalik ura-ura yang mengatakan bahawa nama beliau amat layak dinaikkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi langsung tiada dalam senarai Kabinet. Bagi mereka yang baik, hairan kenapa tiada. Bagi mereka yang jahat, mentertawakan dan menjadikannya lelucon media sosial.

Sudah dimaklumi dan sudah diketahui bagi kebanyakan orang PAS yang dekat dengan Presiden, beliau tidak mahukan apa-apa jawatan. Sikap menolak jawatan ini dilihat sebagai menolak tuah oleh orang biasa. Tetapi dilihat sebagai tindakan cerdik, menyelamatkan diri dari gilakan jawatan. Sepatah pun tiada keluar dari mulut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melaungkan demi maruah PAS, Presiden sepatutnya ada dalam senarai. Tiada.

Itulah hakikat PAS mengajar ahli-ahlinya agar tidak menjadikan jawatan matlamat kepada perjuangan. Jika mendapat jawatan dalam keadaan meminta-minta, maka tidak akan ditolong Allah. Apa lagi jika seseorang itu sudah bertahun-tahun meminta-minta, sudah menguar-uarkan bahawa jawatan itu jawatan kepunyaannya, hanya menunggu masa, kemudian tak dapat-dapat. Dapat malu sahaja.

Ketika mula-mula pulang ke kampung, Tuan Guru pernah berkerja dengan Kerajaan Terengganu. Kemudian, tidak merasa bebas untuk menyatakan kebenaran, beliau berhenti dan meneruskan berdakwah melalui ABIM dan PAS. Dengan pendapatan yang tidak menentu, beliau tetap teguh dengan keazamannya mahu mendirikan Islam yang benar di Malaysia, malah juga di dunia.

Fenomena Haji Hadi pada awal 80-an tidak mengecualikannya daripada mendapat kesusahan hidup. Dia boleh pada bila-bila masa dengan kehebatannya memohon kembali ke kerajaan. Apatah lagi MB Terengganu ketika itu juga gurunya, Tan Sri Wan Mohktar Ahmad. Masuk Umno, mesti dapat jawatan tinggi, gaji, elaun, kemudahan, projek sana sini dengan tujuan mengumpul harta. Tetapi ia tidak berlaku.

Bukan harta, kepujian yang diterima, tetapi kehinaan. Gelaran ulamak sesat adalah biasa. Tukang sihir, dengan tuduhan beliau mandi bogel dalam kolah Masjid Rusila bagi menarik orang ramai ke masjidnya, melarikan wang derma dengan membeli Pajero, ulamak miang kerana bernikah dua. Tidak terhitung gelaran jahat yang beliau raih sepanjang beliau melalui jalan dakwah ini.

Tetapi beliau tetap teguh dengan pendirian. Istiqamah semenjak dahulu. Rumahnya hanya rumah kayu yang sederhana. Apabila mendapat royalti menulis buku, ia akan ke kantung sekolah beliau. Gaji dan elaun beliau, banyak dihabiskan kepada kerja-kerja dakwah. Pendek kata, bab dunia, tak payah umpan, Tuan Guru Abdul Hadi tak akan terliur. Sebab itu ajakan ke Putrajaya tetapi Islam tidak untung, ditolak mentah-mentah.

Jika mahu, tidak perlu menunggu sekarang untuk menjadi pemerintah. Puluhan tahun dahulu lagi, beliau telah diajak bersama dengan Umno. Sebelum PRU14, PAS ditawarkan untuk bersama PH untuk menumbangkan BN. Kiranya PAS boleh menjadi pemerintah jauh sejak dahulu lagi. Tidak perlu sekarang. Tetapi ia tidak dipedulikan PAS kerana Islam mesti di hadapan. Itu prinsip jelas.

Sewaktu menang di Terengganu, beliau hanya menurut perintah Presiden PAS ketika itu, Dato’ Ustaz Fadzil Noor supaya beliau menjadi MB di Terengganu. Ketika diangkat menjadi Naib Kesatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Qaradhawi yang memilih beliau. Ketika beliau melepaskan jawatan pun, beliau langsung tidak kisah kerana suara beliau tetap ditagih bagi memberikan pandangan-pandangan penting politik dunia.

Sudah banyak kali dalam PRU, beliau menolak untuk menjadi calon bagi DUN. Tetapi sayang dan desakan ahli terlalu kuat untuk beliau tolak. Nama almarhum Cikgu Daud sudah diperkenalkan, Ustaz Khalil juga disebut sebagai pengganti, tetapi ianya hanya berlaku pada PRU yang lalu bagi belau melepaskannya kepada DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. MB dan EXCO amat malu jika ada berlaku sesuatu yang menyebabkan mereka dipanggil oleh Presiden. Ini kerana beliau amat mengambil berat mengenai amanah.

‘Biar syahid ataupun kemenangan’ adalah bait lirik dalam lagu PAS. Kelihatannya ia sudah terjadi sebahagiannya kepada beliau. Menang di dunia dengan memerintah negara, sesuatu yang tidak terfikir oleh akal sama ada lawan PAS, mahupun PAS sendiri. Menang melalui musuh yang puluhan tahun PAS bergelumang. Menang ke atas sahabat yang dahulunya bersama Islam, tetapi kini memilih si kafir.

Hanya beliau dan kita semua menunggu syahid. Syahid yang bakal menemukan kita dengan Allah atas jalan keredhaan. Syahid yang diidam-idamkan oleh seluruh manusia yang beriman. Syahid yang menyaksikan ruh kita tetap hidup, berterbangan di dalam syurga. Syahid yang akan dikira sebagai salah satu jalan ke syurga tanpa hisab. Syahid inilah yang memutuskan nafsu yang terlalu menginginkan kelazatan dunia, harta benda, pangkat dan anak pinak.

Katalah apa sahaja terhadap Presiden kami. Hinalah apa sahaja yang terlintas di fikiranmu. Bandingkanlah beliau dengan sesiapa sahaja, termasuklah almarhum Tuan Guru Nik Aziz atau Dato’ Dr Haron Din atau Dato’ Fadzil Noor. Masing-masing ada kelebihannya sendiri. Namun semua mata telah melihat, bukti kepada kesungguhan dakwah yang beliau laksanakan, dunia tidak beliau cari, kerana beliau berjaya membebaskan diri dari dunia untuk bergerak ke akhirat.

Pesan beliau, mempertahankan kemenangan adalah lebih sukar daripada mengambil kemenangan. Akan ada dalam diri kelemahan yang akan digunakan orang, jika kita meletakkan harta dan pangkat itu sebagai matlamat perjuangan. Apa yang beliau pesan, beliau lakukan, menjadikan dirinya sebagai murabbi tulen, mengajak manusia ke arah kebaikan, buka sahaja dengan suara, bahkan dengan contoh pada dirinya.

MOHD NASIR ABDULLAH
10 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 10/3/2020

- Advertisement -