Bertuahnya PAS miliki TG Abdul Hadi

- Advertisement -

DEMI Allah aku bersaksi, inilah insan puluhan tahun mengelek kitab-kitab suci melangkah setiap pagi Jumaat dan menjarah seluruh pelosok bumi mengajar ilmu agar peradaban manusia patuh akan hukum-hakam pencipta yang Maha Agung.

Hari ini PAS dianugerahkan bersama memacu kerajaan baharu yang dinamika membentuk kesatuan atas teras agama Islam dan Perlembagaan Negara. Disandarkan seorang Menteri untuk menjaga Hal Ehwal Agama dari kalangan Mufti, satu sejarah hebat Islam di Malaysia

Namun di sana dia tersenyum. Menunaikan janjinya. Ingin melihat Islam memimpin. Sesungguhnya pergorbananmu satu susunan atur indah membawa sinar baharu, menyembunyikan kepayahan, keperitan kezaliman sang penguasa dan pelbagai rintangan yang dilaluinya puluhan tahun.

- Advertisement -

Dari gagah berpidato, zaman mudanya membina kelompok manusia yang taat dan patuh kepada Islam sehinggalah menjadi tokoh pendamai di dunia Islam. Hari ini lihatlah rauk wajahnya. Seorang ketua parti gerakan Islam yang pulang tanpa anugerah besar berjawatan Menteri tatkala partinya menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan.

Meninggalkan legasi baharu menjadi penegak teras Islam Memimpin, dia tetap dia akan terus mengelek kitab-kitab rujukan, walaupun di dalam dadanya padat dengan ribuan kitab, tapi masih mengeleknya ke sana ke mari selagi ada kudrat dan nyawa.

Masjid Rusila tempatnya, pantai dan laut permainannya, anak cucu penyeri hidupnya. Seluruh dunia disantuninya, dia bertekad meminta dia tidak dihalang mengilas kain pelekat dan berteduhkan terendak menyembunyikan kedutan rauk wajah dimamah usia untuk terus mengalas jala dan kail mencuba nasib lautan.

Dia guru kita. Dia pemimpin kita, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Semoga Allah merahmatinya sepanjang hayat dan memuliakannya sepanjang usia sebagai Murabbi Ummah serta terus berterusan menyampaikan kalam Allah sebagai peringatan kepada umat.

Berkali-kali dia mengulanginya dia maafkan semua orang yang pernah mengherdik, mencaci maki, mengkhianatinya dan bermacam kata nista mainan orang yang membenci dakwahnya. Hari ini kita semua bersaksi.

NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 10/3/2020

- Advertisement -