Terengganu ucap tahniah kabinet baharu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: – Kerajaan Terengganu merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan menteri dan timbalan menteri bagi kabinet baharu kerajaan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kabinet baharu yang dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin adalah berwibawa dan berintegriti.

“Kerajaan negeri Terengganu ingin merakamkan jutaan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin atas pengumuman Jemaah Menteri Kabinet hari ini.

“Pengumuman ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menyaksikan kemelut politik yang begitu meresahkan kita semua.

“Sudah tentu rakyat mahukan perubahan yang lebih baik dengan pelantikan Menteri Kabinet yang bukan sahaja terdiri daripada tokoh politik berpengalaman, tetapi tidak mengabaikan golongan teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan media kepada Harakah, hari ini.

Sehubungan itu, kata Dato’ Seri Dr Samsuri, Jemaah Menteri itu juga mengambil kira masyarakat majmuk bumiputera dan bukan bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya kesefahaman antara parti-parti dalam Perikatan Nasional mampu membawa Malaysia lebih berdaya saing mendepani cabaran ekonomi global terutama dunia kini berhadapan dengan wabak Covid-19 yang kian meruncing.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turut melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari negeri Terengganu, sekali gus dapat memantapkan hubungan federalisme antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Doa kami mengiringi saf kepimpinan Jemaah Menteri yang dilantik untuk memberikan perkhidmatan yang berwibawa, berintegriti dan peduli rakyat,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebaagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Manakala, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau dikenali Bersatu pula dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

  • HARAKAHDAILY 9/3/2020

- Advertisement -