Kabinet transformasi aspirasi rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan barisan jemaah Menteri Kabinet di bawah kerajaan Perikatan Nasional adalah Kabinet transformasi yang memenuhi aspirasi rakyat.

Ketuanya, Shahir Adnan menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kabinet baru, terutama pimpinan PAS yang mengetuai Gagasan Sejahtera.

Iaitu khususnya Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).

“Sememangnya barisan Kabinet ini merupakan barisan Kabinet yang bersih, tidak terbabit dengan rasuah atau jenayah. Ini adalah kabinet transformasi yang memenuhi aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihaknya menyokong penuh pelantikan Menteri-Menteri Kanan yang diharapkan untuk terus menjulang isu-isu rakyat di samping menyantuni dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional untuk membela nasib rakyat jelata.

“Sekarang adalah masanya untuk kerajaan baru menumpukan masa, tenaga dan keringat untuk membela rakyat, bukannya terus bermain politik, seperti kerajaan Pakatan Harapan terdahulu,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyokong penubuhan Kementerian Perpaduan di bawah kerajaan Perikatan Nasional untuk menstabilkan situasi perpaduan antara kaum dan persengketaan politik tanahair.

Hal ini katanya, apabila politik stabil, maka kerajaan dapat menumpukan perhatian untuk memperbetulkan ekonomi negara yang terus merudum sejak PRU-14.

Tambahnya lagi, pihak DPIM akan terus fokus kepada agenda rakyat dan agenda Muafakat Nasional demi kepentingan anak muda sekali pun tiada kerusi di Parlimen.

“Jangan kita ulangi kesilapan Pakatan Harapan yang terleka dengan kuasa hingga meranapkan harapan rakyat Malaysia. Perikatan Nasional harus utamakan rakyat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2020

- Advertisement -