Syed Saddiq dinasihat agar tidak keterlaluan

- Advertisement -

WAWANCARA bekas Menteri Kabinet, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di _Al-Jazeera_ semalam jelas terlampau merendah rendahkan kebijaksanaan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dalam membuat penilaian siapa yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

- Advertisement -

Tuduhan beliau bahawa YDPA telah tertipu oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa dua maksud.

Pertama, YDP Agong ditohmah oleh Syed Saddiq sebagai tidak berhati-hati dalam menilai apa yang dipersembah maklumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan sepanjang episod ini berlaku, rakyat dapat melihat sendiri YDPA telah sangat berhati hati dan memperhalusi, malah memanggil Majlis Raja-Raja untuk membantu memberikan pandangan kepada YDPA, sedangkan Baginda mempunyai budibicara mutlak untuk menentukan.

Kedua, TSMY telah ditohmah oleh Syed Saddiq sebagai penipu yang memperdaya YDPA dengan memaklumkan semua ahli Parlimen BERSATU telah menyokong beliau. Ini tuduhan yang sangat berat kerana sepanjang ingatan saya, turut serta dalam taklimat dari masa ke semasa yang diberi kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional,  TSMY memang tidak memasukkan nama-nama yg tidak menyokong beliau dari kalangan MP BERSATU di dalam representasi partinya. Nama Syed Saddiq, Tun M dan Mukhriz memang tidak dinyatakan menyokong TSMY.

Saya fikir adalah lebih selamat untuk Syed Saddiq ‘cool down’ sedikit dan cermat dalam penggunaan kata-katanya. Di media antarabangsa Al-Jazeera, beliau telah memusnahkan kredibilitinya sendiri dan dilihat sebagai pemuja Tun Mahathir yang tidak rasional dengan respon yang beliau berikan terhadap beberapa soalan soalan mudah oleh wartawan Al-Jazeera berkenaan.

Sekalipun berlainan kem, saya melihat Syed Saddiq mempunyai kualiti yang boleh diasah untuk lebih berjaya di masa hadapan dan berharap lebih cermat dan tidak merosakkan diri sendiri.

Semoga Allah S.W.T memelihara kita semua dengan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengikut keutamaan yang sepatutnya.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
8 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 8/3/2020

- Advertisement -