Tuduh Presiden PAS bodoh, PATRIOT biadab

- Advertisement -

SAYA melihat Presiden PATRIOT Brig Jen (B) Dato’ Mohamed Arshad Raji begitu marah dengan Presiden PAS sehingga bertindak dengan cara yang hanya mendedahkan tahap pemikiran dan status emosi beliau.

Ia berhubung respon kepada pandangan Presiden PAS terhadap undi tidak percaya di Parlimen, sehingga beliau di dalam kenyataan media telah menghamburkan tuduhan yang tidak berakhlak.

Beliau menuduh Presiden PAS sama ada bodoh (simpleton), jahil terhadap sistem Raja Berlembagaan atau tidak berprinsip (unprincipled). Presiden PAS juga telah dilabel sebagai tidak layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Cercaan ini satu tindakan biadap dari seorang bekas pegawai tinggi tentera yang saya yakin telah dilatih untuk berdisiplin dan bertata susila tetapi saya lihat beliau telah lupa kepada nilai-nilai tersebut.

- Advertisement -

Sebenarnya saya hairan kenapa Presiden PATRIOT itu begitu marah. Sebelum ini saya pernah mempertikaikan kenapa beliau menggunakan istilah ‘kerajaan pintu belakang’ kerana selalunya orang politik atau mereka yang memihak kepada parti politik tertentu sahaja yang akan menggunakan istilah tersebut.

Tidak wajar PATRIOT terlibat dengan politik dan mesti bersikap berkecuali jika seperti matlamat mereka mahu menyatukan Malaysia dalam harmoni (unite Malaysians in harmony).

Patriot juga telah menyatakan matlamat mereka adalah non confrontational (tidak berkonfrontasi) tetapi dengan serangan mereka terhadap Presiden PAS mereka mengundang konfrontasi dengan seluruh ahli PAS.

Dengan kenyataan media yang terkini, saya berharap Presiden PATRIOT dapat menjelaskan matlamat sebenar persatuan itu.

Saya menuntut penjelasan kecenderungan politik PATRIOT. Pada pandangan saya, Presiden Patriot begitu terkesan dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Tidak ada masalah sekiranya PATRIOT mahu menjadi sebuah organisasi politik tetapi sila jelaskan kepada rakyat. Kita tidak mahu rakyat terus memandang Patriot sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkecuali seolah-olah mewakili veteran-veteran tentera dan polis.

Walau bagaimanapun saya yakin pandangan Presiden PATRIOT terhadap Presiden PAS bukan pandangan veteran-veteran tentera atau polis di Malaysia.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat
7 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 7/8/2020

- Advertisement -